wrapper

Topik Popular

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ir Amiruddin Hamzah (kiri) menyaksikan Datuk Kamal Mohd Ali (tengah) bertukar dokumen dengan Datuk Yunos Abd Ghani (dua dari kanan) dan Mohd Muazzam Mohamed (dua dari kiri) di Hotel Zenith Putrajaya. - NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor

PUTRAJAYA, 2 OGOS -Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) menyasarkan untuk menyalurkan pembiayaan sehingga RM12 bilion pada tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Kamal Mohd Ali, berkata setakat ini, agensi itu telah menyalurkan lebih RM6 bilion pembiayaan kepada lebih 20,000 penjawat awam.

"Setiap tahun, kita meluluskan hampir 40,000 permohonan pembiayaan daripada penjawat awam membabitkan pembiayaan di antara RM10 bilion-RM12 bilion.

"Jumlah keseluruhan pembiayaan yang telah disalurkan sehingga kini ialah sebanyak RM70 bilion membabitkan hampir 800,000 atau separuh daripada 1.6 juta penjawat awam," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pelancaran sistem pemgurusan pembiayaan (LMS) dan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) di antara LPPSA dengan Bank Islam Malaysia Bhd dan Bank Simpanan Nasional (BSN) di sini, hari ini.

Pada majlis MoU itu, LPPSA diwakili oleh Kamal manakala Bank Islam oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Muazzam Mohamed dan BSN oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Yunos Abd Ghani.

Ia disaksikan oleh Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ir Amiruddin Hamzah dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Ahmad Badri Mohd Zahir.

LMS adalah sistem yang telah dibangunkan bagi memudahkan urusan pelanggan LPPSA untuk membuat permohonan pembiayaan perumahan secara atas talian.

Ia juga membolehkan pelanggan menyemak maklumat pembiayaan, memuat turun penyata tahunan, menyemak status baki, status bayaran pembiayaan dan perkhidmatan lain.

Di bawah MoU itu, ia membolehkan penjawat awam memohon pembiayaan daripada LPPSA serta Bank Islam atau BSN yang bersetuju menjadi pemegang gadaian kedua bagi menyelesaikan wang beza.

Sementara itu, Mohd Muazzam berkata, Bank Islam menyasar untuk menyalurkan pembiayaan perumahan berjumlah RM100 juta pada tahun ini dan RM250 juta pada tahun ini menerusi kerjasama dengan LPPSA ini.

"Sebagai contoh, sepasang suami isteri mahu membeli sebuah rumah berharga RM500,000, namun kelayakan pembiayaan LPPSA isteri hanya sehingga RM300,000.

"Jadi, suami yang bekerja di swasta boleh memohon pembiayaan bersama dengan Bank Islam dan kami akan tambahkan lagi baki RM200,000 itu," katanya.