wrapper

Topik Popular

PUTRAJAYA, 27 Jun -- Menteri Kewangan Lim Guan Eng ketika berucap pada Majlis Konsultasi Belanjawan 2020 di kementeriannya hari ini.--foto BERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA

PUTRAJAYA, 27 Jun -Enam isu utama menjadi tumpuan kerajaan dalam persediaan Belanjawan 2020, antaranya keperluan bagi melonggarkan prosedur pinjaman supaya perniagaan boleh mendapat akses kepada pembiayaan secara lebih meluas.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, isu-isu lain adalah berkaitan hal-hal percukaian serta pengambilan pekerja termasuk pekerja-pekerja asing.

"Isu keempat adalah aset penyampaian kerana ada pandangan bahawa birokrasi boleh dikurangkan dan penyam­paian oleh para anggota pentadbir boleh ditingkatkan supaya urusan rasmi dipermudahkan dan diselesaikan lebih efisien.

"Kelima, ia melibatkan kebimbangan tentang perang da­gangan ketika ini antara Amerika Syarikat dan China yang akan menjejaskan iklim ekonomi negara tetapi itu di luar kawalan negara-negara seperti Malaysia," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Konsultasi Belanjawan 2020 di sini hari ini. Menurutnya, isu keenam adalah keperluan untuk menjalankan transformasi ke arah Industri 4.0.

"Ini supaya kita boleh menjadi sebahagian daripada ekonomi digital yang amat diperlukan untuk membolehkan perniagaan terus wujud dan berkembang pada keadaan ekonomi digital hari ini," katanya.

Selain itu, kata beliau, kerajaan juga memberi penekanan kepada perkara-perkara sosial dan keselamatan memandangkan aspek keselamatan adalah prasyarat untuk pembangunan ekonomi yang kukuh.

Kerajaan kata beliau, telah pun berjaya merendahkan nisbah hutang dan liabilitinya daripada 79.3 peratus berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2017 kepada 75.4 peratus tahun lalu.

Tambahnya, pengurangan itu disumbangkan oleh pengurusan perbelanjaan dan hutang yang lebih cekap, penjimatan daripada pelbagai projek awam serta pertumbuhan ekonomi yang sihat. Dalam pada itu, Guan Eng berkata, kerajaan secara aktif sedang menguruskan tekanan kos hidup yang dihadapi oleh rakyat dan buktinya, pada Mac, April serta Mei lalu, kadar inflasi adalah rendah dan stabil pada tahap 0.2 peratus.

Katanya, kerajaan ketika ini juga sedang merangka satu indeks kos hidup untuk melengkapkan kewujudan Indeks Harga Pengguna (IHP). Berbeza dengan IHP yang memantau perubahan umum pada harga pengguna, beliau menjelaskan, indeks baharu itu akan menentukan kos hidup minimum diperlukan bagi seseorang untuk hidup selesa.