wrapper

Topik Popular

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng (tengah) menjawab pertanyaan media sempena Majlis Penyerahan Cek Elaun Sara Hidup Kepada Sasterawan Negara di Kementerian Kewangan hari ini. - Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 24 Jun -Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menyatakan keyakinan terhadap komitmen Malaysia ke arah pembaharuan institusi, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Beliau turut menyifatkan pertemuannya dengan Pengarah Urusan IMF, Christine Lagarde di Kementerian Kewangan di sini hari ini juga sebagai positif.

“Pihak IMF yakin yang kita komited dalam melaksanakan pembaharuan, termasuk membabitkan akta tanggungjawab fiskal dan perolehan selain mewujudkan pejabat pengurusan hutang,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Cek Elaun Sara Hidup kepada Sasterawan Negara di Kementerian Kewangan di sini hari ini.

Selain itu, Guan Eng berkata, langkah pembaharuan itu ialah komitmen negara bagi menjamin usaha mengkaji serta mengurus hutang dan liabiliti kerajaan.

“Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan bahawa apa berlaku pada masa lalu (masalah hutang negara) tidak akan dibenarkan kembali berulang. Ini sebab kita laksanakan pembaharuan institusi ini,” katanya.

Dalam pada itu mengulas pelaburan langsung asing (FDI), beliau berkata, berlaku peningkatan signifikan bermula Mei dan bulan seterusnya bagi Malaysia, berbanding suku-suku tahunan sebelumnya.

“Selepas kerajaan baharu mengambil alih, FDI telah meningkat dari Mei ke Disember tahun lalu, berbanding tempoh sama pada 2017,” katanya.