Print this page


LIM GUAN ENG

 

PUTRAJAYA - Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mendedahkan harga simen di Sarawak adalah secara ketara lebih tinggi berbanding di semenanjung Malaysia.

Guan Eng dalam kenyataannya berkata, satu penyiasatan diperlukan bagi menentukan sama ada harga itu akibat amalan monopoli industri tempatan di Sarawak.

Beliau berkata, simen adalah bahan binaan asas dan sebarang kenaikan harga yang ketara akan disalurkan semula ke dalam ekonomi sekali gus menjejaskan kuasa membeli para pengguna.

“Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail telah membuktikan komitmen kerajan untuk mengawal kos sara hidup.

“Ini telah dilakukan dengan mengekang kenaikan harga simen setelah kerajaan berbincang dengan syarikat-syarikat industri simen,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Guan Eng, kejayaan itu sekaligus menjawab kebimbangan awam mengenai ura-ura kenaikan harga simen sebanyak 40 peratus di semenanjung Malaysia.

Katanya, ia juga meredakan kerisauan awam bahawa pengeluar-pengeluar terbesar simen tempatan telah menyalahgunakan kuasa pasaran untuk menaikkan harga simen secara tidak adil.

Dalam pada itu katanya, ketika ini, kadar inflasi bagi pengguna di Malaysia kekal rendah dan stabil.

“Indeks Harga Pengguna untuk April lalu telah meningkat sebanyak 0.2 peratus sahaja iaitu pada kadar yang sama untuk Mac 2019,” katanya.-UTUSAN ONLINE