wrapper

Topik Popular

 


PROSES pengambilalihan empat lebuh raya bertol oleh sebuah syarikat tujuan khas (SPV) di bawah anak syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) dijangka dapat diselesaikan pada 31 Disember depan.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, pengambilalihan empat lebuh raya bertol ini adalah langkah pertama untuk mengurangkan beban pengguna lebuh raya dan merealisasikan janji Pakatan Harapan (PH).

Beliau berkata, kerajaan sudah berunding dengan pihak konsesi dengan bersungguh-sungguh untuk membuat nilai tawaran pengambilalihan yang paling wajar supaya ia bukan sahaja dapat memaksimumkan pulangan kepada rakyat, tetapi juga tidak akan mengakibatkan sebarang beban kewangan kepada kerajaan.

"SPV akan membiayai harga tawaran sebanyak RM6.2 bilion dengan penerbitan bon. Kutipan caj kesesakan adalah mencukupi untuk membiayai bayaran balik hutang, segala kos operasi serta penyenggaraan lebuh raya tanpa memerlukan peruntukan daripada Kementerian Kewangan.

"Dengan kata lain, kos pengambilalihan tersebut akan dibayar balik dengan sendirinya daripada kutipan caj kesesakan tanpa membabitkan sebarang perbelanjaan kerajaan," katanya.

Katanya, tawaran pengambilalihan lebuh raya ini adalah berdasarkan situasi menang-menang bagi semua pihak terbabit.

Guan Eng berkata, kerajaan dan pembayar cukai akan jimat RM5.3 bilion dalam bentuk pembayaran pampasan kepada syarikat-syarikat konsesi akibat pembekuan kadar tol.

Selain itu, katanya, pengguna lebuh raya juga akan menikmati penjimatan sehingga RM180 juta setahun dan juga pengurangan kesesakan lalu lintas pada waktu puncak dan sebarang lebihan kutipan caj kesesakan akan disalurkan kepada pembangunan dan penyenggaraan sistem pengangkutan awam Malaysia.

“Pampasan ini tidak perlu lagi dibayar selepas lebuh raya ini diambil alih oleh kerajaan. Ini bermaksud bahawa kerajaan akan mampu memperuntukkan perbelanjaan tambahan melebihi RM5.3 bilion untuk membantu rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, Guan Eng berkata, tanpa mengambil kira kumpulan PLUS, keempat-empat lebuh raya ini menguasai 48 peratus daripada jumlah pendapatan lebuh raya bertol di bandar.

Pada 23 Februari lalu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan cadangan untuk mengambil alih empat konsesi lebuh raya bertol di mana syarikat Gamuda Berhad (Gamuda) mempunyai kepentingan dalam syarikat berkenaan.

Empat lebuh raya yang terbabit ialah Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT), Lebuhraya Shah Alam (KESAS) dan Terowong SMART (SMART).