Print this page

 LIM Guan Eng. - UTUSAN ONLINE

 

PUTRAJAYA - Kerajaan sedang berunding dengan pihak kontraktor China bagi menentukan jumlah pampasan yang perlu dibayar oleh Suria Strategic Energy Resources Sdn. Bhd. (SSER) melibatkan projek Multi-Product Pipeline (MPP) dan Trans-Sabah Gas Pipeline (TSGP).

Kontraktor-kontraktor tersebut ialah China Petroleum Pipeline Engineering Company Ltd. (CPPE) dan Huanqiu Project Management (Beijing) Co. Ltd. (HQPMC).

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, rundingan itu juga bagi menentukan jumlah bayaran telah dibuat yang perlu dipulangkan semula oleh pihak kontraktor kepada SSER.

Menurut beliau, Jabatan Peguam Negara mewakili Kerajaan Malaysia dalam rundingan tersebut dan akan mengesyorkan langkah seterusnya.

“Kontrak kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) bernilai RM9.4 bilion bagi projek-projek saluran paip serta lain-lain kontrak yang berkaitan telahpun ditamatkan.

“Secara keseluruhan, kontrak-kontrak ini bernilai RM10.4 bilion,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Seperti dibongkarkan oleh Kementerian Kewangan tahun lalu, RM8.3 bilion atau 88 peratus daripada kontrak EPCC berkaitan MPP dan TSGP bernilai RM9.4 bilion telah dibayar oleh SSER walaupun hanya 13 peratus kemajuan kerja dicapai.

Tambahan pula, kemajuan kerja sebanyak 13 peratus tersebut masih tidak dapat diaudit dan belum disahkan.

Guan Eng menambah, daripada nilai kontrak EPCC sebanyak RM9.4 bilion tersebut, 85 peratus dibiayai melalui pinjaman bernilai RM7.8 bilion daripada Exim Bank of China yang mana pinjaman tersebut dijamin oleh Kerajaan Malaysia.

Jelasnya, SSER juga telah mengambil kredit pusingan bernilai RM1.2 bilion daripada CIMB Bank.

“Fasiliti kredit ini sepatutnya dibayar sepenuhnya pada bulan Julai depan tetapi SSER dan CIMB sedang berbincang untuk membolehkan SSER membayar hanya RM0.6 bilion untuk tahun ini dan seterusnya melangsaikan baki pinjaman pada tahun 2020,” katanya. - UTUSAN ONLINE .