wrapper

Topik Popular

 

KERAJAAN hari ini melancarkan Panduan Belanjawanku bagi memudahkan orang ramai memahami corak perbelanjaan dan penggunaan isi rumah yang mungkin kompleks.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, panduan ini mampu meningkatkan tahap kecelikan kewangan dan kemahiran pengurusan kewangan peribadi dalam kalangan rakyat negara ini.

Beliau berkata, kadar kecelikan kewangan yang rendah antara faktor menyumbang kepada tahap keberhutangan tinggi serta masalah kebankrapan yang membimbangkan dalam kalangan belia.

“Sejak tahun 2013 hingga 2017, seramai 100,610 rakyat Malaysia diisytiharkan muflis dan 60 peratus daripada mereka berusia antara 18 hingga 44 tahun.

“Bukan saja golongan belia yang menghadapi cabaran kewangan yang serius, malah bakal pesara juga perlu mengambil berat tentang rancangan perbelanjaan mereka.

“Belanjawanku ini boleh membantu kita memahami kuasa membeli serta permarkahan kredit peribadi dengan mendalam. Bagi pembuat dasar pula, ia boleh dijadikan panduan untuk mengkaji garis kemiskinan sambil mereka mekanisme bantuan pendapatan bagi membantu golongan yang memerlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pelancaran Belanjawanku - Panduan Perbelanjaan Untuk Individu dan Keluarga di Malaysia di Kampus Pembelajaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), di Bangi, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi KWSP Tan Sri Samsudin Osman; Ketua Pengarah Eksekutif KWSP Tunku Alizakri Alias dan Naib Canselor Universiti Malaya (UM) Datuk Ir Dr Abdul Rahim Hashim.

Buku panduan Belanjawanku ini diterbitkan KWSP dengan kerjasama Pusat Penyelidikan Kesejahteraan Sosial (SWRC) UM.

Guan Eng berkata, pihak KWSP percaya setiap rakyat Malaysia pada tahun ini memerlukan simpanan sekurang-kurangnya RM240,000 apabila mencapai usia 55 tahun supaya mereka boleh bersara dengan selesa.

“Berdasarkan laporan KWSP 2017, pencarum aktif berusia 54 tahun secara purata hanya mempunyai RM214,000 saja dalam akaun mereka.

“Lebih merunsingkan apabila dua pertiga daripada pencarum berusia 54 tahun hanya memiliki RM50,000 dan ke bawah dalam akaun KWSP mereka pada tahun 2015.

“Untuk mengelak diri daripada terjerumus ke dalam masalah kewangan yang lebih besar, kita perlu jelas akan keperluan perbelanjaan kita,” katanya.