wrapper

Topik Popular


MENTERI Kewangan, Lim Guan Eng merasmikan Hari Hasil 2019 di Cyberjaya, hari ini. - Foto Luqman Hakim Zubir

 

CYBERJAYA: Kajian impak terhadap cadangan pengambilalihan konsesi tol lain di seluruh negara dijangka siap dalam tempoh dua hingga tiga bulan lagi, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Guan Eng berkata kajian yang dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Kerja Raya itu perlu dibuat secara terperinci memandangkan proses pengambilalihan tol lain lebih rumit berbanding pengambilalihan empat konsesi tol di bawah Gamuda Berhad (Gamuda).

“Dari segi prinsip, (pengambilalihan konsesi tol di bawah Gamuda) mudah difahami dan tidak terlalu sukar.

“Dari segi ‘financial architecture’ kita kena lihat dengan lebih terperinci untuk tol lain di seluruh negara,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Hari Hasil 2019, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Guan Eng berkata pengambilalihan empat konsesi tol terbabit tidak terlalu rumit kerana kesemuanya dimiliki sebuah syarikat selain ia terletak dalam bandar.

“Dalam aspek ini, ia jelas dari segi struktur. Lagi satu sebab ia adalah sesuatu yang disyorkan oleh pihak mereka (syarikat) dan di sini tiada unsur paksaan kerana rundingan antara kerajaan dan syarikat dibuat dengan baik dan secara profesional,” katanya.

Pada masa sama, Guan Eng meminta semua pihak termasuk media agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung cadangan pengambilalihan empat konsesi lebuh raya daripada Gamuda memandangkan proses itu masih berjalan.

“Saya tidak ingin bicara soal ini kerana ia membabitkan soal faedah dan kadar saham, biarlah diselesaikan dalam enam bulan dan sekali gus dapat mengurangkan kesan sampingan,” katanya.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan telah memulakan proses rundingan dengan Gamuda untuk mengambil alih empat konsesi lebuh raya yang mana syarikat itu mempunyai pegangan majoriti.

Lebuh raya berkenaan ialah Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (Sprint), Lebuh Raya Shah Alam (Kesas) dan Terowong Smart. – BERNAMA