wrapper

Topik Popular

 

27 Februari 2019, PUTRAJAYA: Had maksimum harga runcit petrol RON95 yang sebelum ini ditetapkan pada paras RM2.20 seliter, dikurangkan kepada RM2.08 seliter, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Beliau berkata keputusan itu dipersetujui pada mesyuarat Kabinet hari ini selepas mengambil kira aliran harga sebenar pasaran produk petroleum yang semakin meningkat pada masa ini.

“Ini bermakna harga runcit RON95 akan dihadkan kepada RM2.08 seliter sungguhpun harga minyak dunia naik lebih daripada itu.

“Sekiranya harga minyak dunia berada di bawah paras berkenaan, harga mingguan petrol RON95 akan berada di bawah paras RM2.08,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, harga runcit RON95, RON97 dan diesel berdasarkan pengiraan Mekanisme Harga Automatik (APM) akan terus diumumkan secara mingguan.

Katanya, pengurangan paras harga runcit bagi RON95 adalah selaras dengan komitmen Kerajaan Pakatan Harapan untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat.

Januari lalu, Kerajaan Persekutuan melaksanakan penetapan harga runcit produk petroleum secara mingguan bagi membolehkan pengguna menikmati sebarang perubahan harga dengan lebih cepat selaras dengan penurunan harga petroleum di pasaran dunia.

Harga runcit produk petroleum dihadkan pada harga RM2.20 seliter bagi petrol RON95 melalui pemberian subsidi bagi melindungi pengguna daripada kesan kenaikan harga yang ketara apabila harga minyak dunia meningkat.

Melalui kaedah mingguan ini, harga runcit produk petroleum akan diturunkan apabila harga minyak dunia turun tetapi apabila harga minyak dunia naik, kenaikan harga runcit produk petroleum akan dihadkan pada RM2.20 bagi produk petrol RON95 dan RM2.18 bagi diesel.