wrapper

Topik Popular


MENTERI Kewangan, Lim Guan Eng (tengah) bersama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah ketika hadir pada sidang media mengenai Pemakluman Laman Web MySalam di Putrajaya, hari ini.

 

26 Februari 2019, PUTRAJAYA: Caj kesesakan yang akan menggantikan mekanisme kutipan tol di empat lebuh raya yang bakal diambil alih kerajaan dianggar menjimatkan kos pengguna sebanyak RM180 juta setahun.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata pengambilalihan Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT), Lebuhraya Shah Alam (KESAS) dan Terawong SMART (SMART) pada harga yang adil dan berpatutan bagi kerajaan juga akan menjimatkan pembayar cukai sebanyak RM5.3 bilion dalam bentuk pembayaran pampasan kepada syarikat konsesi akibat pembekuan kadar tol di lebuh raya berkenaan sehingga akhir tempoh konsesi.

“Penjimatan ini bermakna pendapatan boleh guna isi rumah rakyat Malaysia akan bertambah dengan jumlah yang sama.

“Sebarang lebihan kutipan caj kesesakan akan disalurkan kepada pembangunan dan penyenggaraan sistem pengangkutan awam Malaysia,” katanya pada sidang media pengumuman laman web rasmi Skim Perlindungan Nasional B40 (mySalam) di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah.

Sabtu lalu, Pejabat Perdana Menteri mengumumkan kerajaan memulakan proses rundingan dengan Gamuda Berhad untuk mengambil alih konsesi lebuh raya sebagai langkah pertama ke arah menghapuskan mekanisma kutipan tol, membabitkan empat lebuh raya berkenaan.

Dengan pengambilalihan itu, kerajaan bercadang menghapuskan mekanisma kutipan tol sedia ada, dan sebagai ganti, caj kesesakan akan diperkenalkan iaitu kadar yang sama dengan kadar tol semasa pada waktu puncak selama enam jam sehari.

Kadar tol akan dihapuskan pada luar waktu puncak yang cadangan pada masa ini ialah antara jam 11 malam dan 5 pagi.

Guan Eng berkata, kerajaan menjangka langkah pengambilalihan empat lebuh raya berkenaan akan mengambil masa enam bulan bagi memenuhi keperluan pengawalseliaan, kewangan dan undang-undang dan menyifatkan ia sebagai penyelesaian ‘menang-menang-menang’ untuk semua pihak yang terbabit.

“Tanpa mengambil kira kumpulan Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), keempat-empat lebuh raya ini menguasai 48 peratus daripada jumlah pendapatan lebuh raya bertol di bandar.

“Ini meliputi sebahagian besar daripada lebuh raya dalam bandar dan menunjukkan kesungguhan serta komitmen kerajaan dalam langkah pertama memenuhi manifesto pilihan raya kami,” katanya.

Guan Eng berkata, kutipan caj kesesakan mencukupi untuk membiayai bayaran balik pinjaman kos pengambilalihan dan juga segala kos operasi serta penyenggaraan lebuh raya tanpa memerlukan peruntukan tambahan daripada Kementerian Kewangan.

Katanya, caj kesesakan adalah caj boleh ubah yang bergantung kepada masa penggunaan dan ia akan menggalakkan pengguna lebuh raya untuk merancang perjalanan mereka di waktu luar puncak dan mengurangkan kesesakan lalu lintas pada waktu puncak.

“Dengan dasar baharu ini, pengguna lebuh raya pada waktu puncak juga akan menikmati pengurangan kesesakan lalu lintas berbanding situasi semasa,” katanya.