wrapper

Topik Popular

KUALA LUMPUR: Kerajaan turut menerima tawaran pinjaman bon daripada beberapa negara lain lagi selain China yang menawarkan bon Panda, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

"Namun saya bukanlah orang yang sepatutnya mengumumkan mengenai tawaran daripada negara lain ini," katanya pada sidang media selepas Sidang Kemuncak Hartanah Malaysia 2019 ke-12 bertemakan 'Tinjauan Pasaran Hartanah bagi 2019' di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata perbincangan mengenai tawaran pinjaman bon Panda daripada kerajaan China masih dijalankan buat masa ini.

"Saya sudah memaklumkan perkara ini kepada Perdana Menteri dan Kabinet, tetapi perkara ini masih dalam peringkat perbincangan.

"Ia bukan seperti bon Samurai, yang mana kertas kerja telah dibentangkan kepada Kabinet dan diluluskan," katanya.

Guan Eng berkata, tawaran yang dibuat oleh China dan dari negara lain itu adalah satu perkembangan positif yang menunjukkan keyakinan pelabur asing terhadap pentadbiran kerajaan baharu di bawah kepemimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Keyakinan itu menyebabkan mereka sedia memberikan pinjaman seperti negara Jepun yang memberikan pinjaman bon Samurai.

"Ini adalah sesuatu yang pertama kali berlaku sejak tahun 1980-an. Ia disusuli oleh negara China yang rela meminjamkan wang menerusi bon Panda dan terdapat juga negara-negara lain (menawarkan pinjaman),” katanya.

Beliau menambah, kadar yang ditawarkan kepada Malaysia adalah di bawah kadar pasaran, merujuk kepada kadar kupon bon Samurai.

"Sebelum ini, jika kita pinjam wang (kadar faedahnya) 100 mata asas lebih tinggi daripada harga pasaran. Sekarang ini jauh lebih rendah. Seperti Jepun, kadar kupon yang ditawarkan ialah 0.65 peratus dan kadar ini mungkin boleh menjadi lebih rendah ketika diterbitkan nanti,” katanya.