wrapper

Topik Popular

KUALA LUMPUR: Kerajaan berharap dapat memuktamadkan perbincangan mengenai projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) sebelum lawatan Perdana Menteri ke China pada bulan April ini, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Beliau berkata, kerajaan juga berharap yang perkara ini akan dapat diselesaikan dengan baik dan kerajaan China dapat memenuhi permintaan untuk mengurangkan kos projek berkenaan kerana Malaysia tidak akan mampu untuk menampung kos pembiayaannya.

"Kita masih menunggu hasil daripada rundingan dan perbincangan mengenai projek ECRL ini. Perbincangan mengenai pengurangan kos ini adalah berkaitan kadar yang mampu dibayar oleh Malaysia. Jika tidak nanti kita akan menanggung jumlah hutang yang tinggi dan menggadaikan masa depan anak-anak kita.

"Ini adalah satu perkara yang amat sukar kerana sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, kita bukan hanya perlu menjaga kepentingan pengundi-pengundi kita tetapi juga anak-anak kita dan masa depan mereka.

"(Justeru) kita kena sedia berkorban untuk menjaga kepentingan mereka. Inilah cabaran yang saya hadapi untuk memastikan kita boleh menanggung bayaran yang mampu dibayar oleh kerajaan dan pada masa sama menjaga hubungan baik di antara kedua-dua negara," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Sidang Kemuncak Hartanah Malaysia 2019 ke-12 bertemakan 'Tinjauan Pasaran Hartanah bagi 2019' di sini, hari ini.

Hadir sama ialah Presiden Persatuan Penilai, Pengurus Harta, Ejen Harta dan Perunding Harta Swasta Malaysia (PEPS), Michael KK Kong.

Guan Eng bagaimanapun enggan mengulas lebih lanjut ketika ditanya mengenai rundingan pengurangan kos pojek ECRL itu dan adakah pengurangan itu selari dengan kemampuan kewangan kerajaan.

"Saya rasa ini bukan tempat untuk bincang secara terperinci, saya hanya boleh bercakap secara umum kerana tidak patutlah untuk saya menghebohkan sesuatu perbincangan yang dibuat secara dalaman dan harap anda boleh faham yang kerahsiaan perlu dijaga," katanya.

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah dalam satu temu bual bersama Bloomberg dilaporkan berkata Malaysia dan China hampir mencapai kata sepakat untuk memulakan semula projek ECRL yang sebelum ini mahu dibatalkan kerajaan.

Katanya, China bersedia untuk mengurangkan tanda harga AS$20 bilion (RM81 bilion) bagi projek itu dan rundingan sedang 'di peringkat akhir'.

Rundingan diketuai oleh Tun Daim Zainuddin yang juga bekas Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan itu bertujuan mengurangkan kos dan mengecilkan saiz projek terbabit.