wrapper

Topik Popular


AMIRUDDIN HAMZAH

PUTRAJAYA 20 Feb. - Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ir. Amiruddin Hamzah menyifatkan laporan akhbar ini bertajuk "Kerajaan akui SST tidak mampu kurangkan harga barang" yang memetik ucapannya di Semenyih, adalah diluar konteks sebenar.

Menurut Amiruddin, wartawan hanya memetik pendahuluan ucapan tersebut pada malam kelmarin, kerana beliau turut menyatakan bahawa melalui pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST), kerajaan telah mengembalikan hasil sebanyak RM23 bilion melalui pengurangan bilangan barangan yang dicukai berbanding rejim cukai barang dan perkhidmatan (GST).

Langkah murni itu katanya, tidak memberi impak signifikan kepada harga barangan di pasaran sehingga membebankan rakyat kerana kadar inflasi bagi tahun 2018 adalah satu peratus (setelah pemansuhan GST dan SST diperkenalkan semula), berbanding 3.7 peratus tahun 2017 (semasa GST masih dilaksanakan).

"Perbandingan Indeks Harga Pengguna (CPI) antara 2018 dan 2017 ini menunjukkan bahawa GST telah menyebabkan kenaikan harga yang lebih tinggi berbanding SST.

"Walau bagaimanapun, sebagai sebuah kerajaan yang bertanggung jawab, kita tidak duduk dan lihat sahaja keluh kesah rakyat mengenai isu harga barangan ini tetapi mengambil langkah proaktif dengan mengadakan perbincangan terperinci bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bagi melihat keseluruhan rantaian perbekalan barangan.

"Kita sedia maklum KPDNHEP mempunyai maklumat tentang perbandingan harga barang seluruh negara manakala Kementerian Kewangan melalui Jabatan Kastam Diraja Malaysia mempunyai maklumat mengenai harga yang diisytiharkan semasa barangan diimport," katanya dalam satu kenyataan hari ini bagi menjelaskan laporan berkenaan.

Amiruddin berkata, melalui kerjasama di antara dua Kementerian ini, kerajaan dapat mengenal pasti di peringkat manakah terdapat kemungkinan eksploitasi harga dengan sesetengah pihak mengambil untung secara tidak munasabah.

"Seterusnya, satu langkah dan dasar yang efektif dapat dirangka supaya peluang-peluang pihak yang tidak bertanggunjawab untuk memanipulasi harga ditangani dengan berkesan," katanya.

Sebagai sebuah institusi media arus perdana, katanya, akhbar Utusan Malaysia sepatutnya menghormati etika kewartawanan dengan melaporkan berita secara berhemah dan tidak dimanipulasikan untuk kepentingan pihak tertentu.

Akhbar Utusan Malaysia hari ini melaporkan bahawa kerajaan mengakui SST tidak mampu mengurangkan harga barang sehingga kerajaan terpaksa menubuhkan jawatankuasa khas yang terdiri daripada Kementerian Kewangan dan KPDNHEP.

Laporan itu yang memetik Amiruddin sebagai berkata, kerajaan juga sedar bahawa pelaksanaan SST hanya mampu mengutip keuntungan sebanyak RM21 bilion setahun sahaja berbanding GST yang jauh lebih tinggi.

Jelas Amiruddin dalam laporan itu lagi, disebabkan itu kerajaan kehilangan RM23 bilion setahun berbanding GST yang mampu memberikan keuntungan sebanyak RM44 bilion setahun.