wrapper

Topik Popular

Asas Penubuhan Jawatankuasa Borang-borang Kewangan

Asas penubuhan Jawatankuasa Borang-borang Kewangan ialah seperti berikut:

  1. Untuk mengumpul dan mengkaji semula semua borang kerajaan di bawah siri kewangan yang digunakan oleh kerajaan;
  2. Untuk menentukan cadangan bagaimana bentuk/format borang-borang kewangan yang masih perlu digunakan harus dipinda, diperbaiki atau diselaraskan;
  3. Untuk menentukan borang-borang kewangan yang isinya tidak lagi sesuai untuk digunakan dan seterusnya mencadangkan supaya dihapuskan; dan
  4. Menimbang semua cadangan untuk mengadakan borang cetakan baru atau pindaan-pindaan kepada borang-borang kewangan termasuk resit, lesen dan seumpamanya dan memberi kelulusan untuk mencetaknya menurut peruntukan di bawah Arahan Perbendaharaan 292.

Apakah borang yang perlu kelulusan?

  1. Borang-borang yang perlu kelulusan Jawatankuasa Borang-borang Kewangan ialah borang di bawah siri Kewangan yang digunakan di semua Jabatan sebagai borang guna sama dalam perkara kewangan atau perakaunan dan ditandakan dengan nombor rujukan seperti "Kew. 38" misalnya resit, lesen, kupon dan seumpamanya yang bertujuan untuk mengutip hasil atau menerima bayaran.
  2. Manakala borang-borang di bawah siri Jabatan yang digunakan khas di sesuatu Jabatan tertentu sahaja yang ditandakan dengan nama Jabatan atau nombor rujukan seperti "Im 42" (permohonan untuk pasport) atau borang-borang di bawah siri Am yang digunakan di semua Jabatan sebagai borang guna sama dalam perkara am dan ditandakan dengan nombor rujukan seperti "Am 315" (Laporan Nilaian Kerja Tahunan), kedua-dua jenis borang ini tidak perlu mendapat kelulusan Jawatankuasa Borang Kewangan untuk mengkaji semula, memperbaiki, meminda ataupun menghapuskan penggunaannya menurut para 3.1 dalam Surat Pekeliling Perbendaharaan Bil.9 Tahun 1979. Bagi borang-borang tersebut, Ketua-ketua Setiausaha Kementerian dan Ketua-ketua Jabatan berkenaan diberi kuasa mengkaji semula, meminda, memperbaiki ataupun menghapuskan penggunaannya. Cara yang terbaik melaksanakan tugas tersebut ialah dengan menubuhkan satu Jawatankuasa di Jabatan/Kementerian masing-masing yang terdiri daripada Ketua-ketua Bahagian dalam Jabatan/Kementerian itu dengan Bahagian Pentadbiran menjadi penyelaras.

Cara memohon untuk kelulusan

Kementerian/Jabatan yang ingin memohon kelulusan untuk mengkaji semula, memperbaiki, meminda ataupun menyelaraskan penggunaan borang-borang kewangan hendaklah mengemukakan permohonan kepada Jawatankuasa Borang-borang Kewangan yang ditubuhkan di Bahagian Pengurusan Kewangan Strategik, Perbendaharaan dengan mengikut langkah-langkah berikut:

  1. Memberi penjelasan mengenai latar belakang terhadap penggunaan borang berkenaan dan prosedur kerja berkaitan dengannya;
  2. Mengemukakan contoh borang yang hendak dipinda iaitu borang asal dan contoh format borang baru yang dicadangkan;
  3. Nyatakan alasan-alasan kenapa borang berkenaan perlu dipinda, dikaji semula ataupun diselaraskan; dan
  4. Faedah-faedah yang akan diperolehi sekiranya borang baru digunakan demi kebaikan Kementerian/Jabatan dan orang ramai.

 

Kesimpulannya dengan adanya Jawatankuasa tersebut, borang-borang kewangan, resit, lesen dan yang seumpamanya akan dapat dikaji semula, dipinda, diperbaiki atau diselaraskan untuk meningkatkan kecekapan dalam pentadbiran kerajaan ke arah "paperless bureaucracy" dan sejajar dengan perkembangan teknologi maklumat masa kini.