wrapper

Topik Popular

SIARAN MEDIA

KEMENTERIAN KEWANGAN MALAYSIA


MULAI 1 JANUARI 2019 SKIM PERLINDUNGAN NASIONAL B40 BERNILAI RM2 BILION DITAWARKAN SECARA PERCUMA KEPADA GOLONGAN B40 DENGAN BAYARAN MAKSIMUM SEBANYAK RM8,000 UNTUK PENYAKIT KRITIKAL DAN RM50 SEHARI UNTUK MAKSIMUM 14 HARI ATAU RM700 SETAHUN


Seperti yang diumumkan dalam pembentangan Belanjawan 2019, Kerajaan Persekutuan akan memperkenalkan sebuah Skim Perlindungan Nasional B40 pada 1 Januari 2019 dengan dana permulaan sebanyak RM2 Bilion. Skim ini akan menawarkan perlindungan insuran dan takaful kesihatan secara percuma kepada golongan berpendapatan rendah atau B40 yang berkelayakan sebagai bantuan menghadapi cabaran yang timbul daripada masalah menghidap penyakit kritikal, dan menjalani rawatan hospital yang boleh menjejaskan aliran pendapatan isi rumah mereka. 

Skim ini akan menyediakan perlindungan kesihatan secara percuma kepada penerima yang layak untuk 36 jenis penyakit kritikal. Penerima akan mendapat bayaran sehingga had RM8,000 yang diagihkan dalam tempoh masa yang akan diumumkan. Skim ini juga memberi bayaran harian sebagai pendapatan gantian semasa rawatan hospital untuk tempoh maksimum 14 hari setiap tahun pada kadar RM50 sehari atau bersamaan dengan RM700 setahun. Dengan saiz dana sebanyak RM2 Bilion sebagai permulaan, Skim ini dijangka akan menawarkan perlindungan perubatan selama 5 tahun untuk kumpulan sasaran. Kerajaan menjangka sebanyak 4.1 Juta isi rumah B40 yang terdiri daripada individu-individu berumur di antara 18 hingga 55 tahun akan mendapat manfaat di bawah Skim ini.

Perlindungan di bawah Skim ini akan bermula pada 1 Januari 2019 manakala pendaftaran dan perkhidmatan sokongan pelanggan akan beroperasi mulai 1 Mac 2019. Pendaftaran boleh dilakukan secara elektronik melalui internet tanpa penggunaan borang kertas dan tiada pemeriksaan perubatan diperlukan untuk pengesahan kelayakan. Semua penerima yang layak di bawah Skim ini akan dimaklumkan melalui sistem pesanan ringkas (SMS). Maklumat lanjut tentang mekanisme dan pelaksanaan Skim ini akan dihuraikan apabila ia dilancarkan secara rasmi pada awal tahun 2019.

Skim ini salah satu langkah penting yang diambil oleh Kerajaan untuk menubuhkan jaringan keselamatan sosial dalam aspek perlindungan insuran dan takaful kesihatan yang merangkum untuk golongan berpendapatan rendah secara PERCUMA. Skim ini, yang dijalankan buat kali pertama dalam sejarah Malaysia, berpandukan janji Manifesto Pilihanraya Pakatan Harapan untuk memperluas akses kepada perkhidmatan kesihatan yang diperlukan, mengurangkan beban kos sara hidup dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.

 

Sayangi Malaysiaku!

Lim Guan Eng
Menteri Kewangan
Kementerian Kewangan Malaysia
Putrajaya
28 Disember 2018

Muat Turun Lampiran: