wrapper

Topik Popular

SIARAN MEDIA

KEMENTERIAN KEWANGAN MALAYSIA


PENUTUPAN RASMI TABUNG HARAPAN MALAYSIA (THM) PADA 31 DISEMBER 2018


  1. Selaras dengan penutupan rasmi Tabung Harapan Malaysia (THM) yang akan berkuatkuasa pada 31 Disember 2018, Kerajaan ingin merakamkan setinggi-tinggi ucapan penghargaan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang telah memberikan sumbangan sepanjang tujuh bulan ia ditubuhkan. Sumbangan ini adalah hasil daripada inisiatif orang perseorangan, organisasi, Badan Bukan Kerajaan (NGO) serta faedah daripada pelaburan simpanan tetap yang ditadbir oleh Jabatan Akauntan Negara (JANM).

 

  1. Kerajaan amat menghargai setiap sen yang didermakan. Ini menunjukkan rakyat amat prihatin dan bersatu hati dalam membantu Kerajaan bersama-sama melangsaikan hutang negara. Semangat yang ditunjukkan ini adalah simbol taat setia dan patriotisme rakyat Malaysia yang perlu dikekalkan. Kerajaan juga turut merafak sembah dan setinggi-tinggi penghargaan kepada Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XV Sultan Muhammad V di atas sumbangan baginda kepada THM.

 

  1. Jumlah terkumpul THM sehingga 23 Disember 2018 jam 9.00 pagi adalah sebanyak RM199,140,218.80. Jabatan Audit Negara akan mengaudit Penyata Penerimaan dan Bayaran Akaun THM bagi memastikan pengurusan THM dibuat secara teratur dan berintegriti. Pelantikan firma audit luaran oleh Kementerian Kewangan bagi tujuan mengaudit akaun THM juga dibuat selaras dengan Seksyen 7 Akta Audit 1957.

 

  1. Semua pihak yang ingin membuat sumbangan diminta memasukkan wang atau cek secepat mungkin menjelang penutupan Tabung Harapan Malaysia pada 31 Disember 2018. Potongan cukai akan diberikan kepada setiap sumbangan Tabung Harapan Malaysia untuk 2019.

 

  1. Kerajaan akan memastikan sumbangan yang diberikan ini akan digunakan untuk melangsaikan hutang negara. Walaupun nilai hutang negara mencecah RM1 trilion jauh berbanding hasil kutipan THM, Kerajaan sangat menghargai solidariti rakyat Malaysia dalam usaha menangani isu hutang negara ini. Kerajaan berharap agar semangat ini tidak luntur dan dapat dikekalkan selama-lamanya.

 

Sayangi Malaysiaku!

Lim Guan Eng
Menteri Kewangan
Kementerian Kewangan
Putrajaya
23 Disember 2018

Muat Turun Lampiran: