Print this page

SIARAN MEDIA

KEMENTERIAN KEWANGAN MALAYSIA


Pengecualian Cukai Perkhidmatan 6% SST Terhadap Pemegang Polisi Individu Semasa Tempoh Sifar GST (1 Jun 2018 hingga 31 Ogos 2018) Yang Akan Menjimatkan 4.42 Juta Pemegang Polisi Sebanyak RM132 Juta


Polisi insurans dan takaful umum individu dan perniagaaan adalah tertakluk kepada cukai perkhidmatan mulai 1 September 2018. Akta Cukai Perkhidmatan 2018 menghendaki syarikat insurans dan takaful mengenakan cukai perkhidmatan bagi tempoh yang dilindungi oleh polisi insurans atau takaful umum mulai 1 September 2018.

Akan tetapi kebanyakan polisi insurans atau takaful umum telah luput dalam tempoh dari 1hb Jun hingga 31 Ogos 2018. Oleh kerana SST belum diluluskan dan GST telah disifarkan maka polisi insurans atau takaful umum tidak dikenakan cukai perkhidmatan 6%. Apabila SST diluluskan pada 1hb September 2018, timbul persoalan samada perlu kutip cukai perkhidmatan 6% daripada 4.42 juta pemegang polisi tersebut yang melibatkan implikasi cukai sebanyak RM132 juta.

Walau bagaimanapun, Kementerian Kewangan hari ini mengumumkan persetujuan untuk memberi pengecualian ke atas semua pemegang polisi individu yang telah membeli atau memperbaharui polisi insurans atau takaful umum yang tertakluk kepada cukai perkhidmatan seperti premium untuk insurans motor, kebakaran dan kemalangan diri semasa tempoh sifar GST (tax holiday) dari 1 Jun 2018 hingga 31 Ogos 2018.

Dalam hal ini, sekiranya syarikat insurans atau takaful telah mengenakan cukai perkhidmatan kepada pemegang polisi tersebut, mereka diminta memulangkan semula cukai perkhidmatan yang telah dibayar kepada pemegang polisi tersebut.

Langkah ini dijangka akan memberikan manfaat kepada 4.42 juta pemegang polisi yang akan menjimatkan mereka pembayaran cukai sebanyak RM132 juta.

 

Sayangi Malaysiaku!

Lim Guan Eng
Kementerian Kewangan Malaysia
Putrajaya
19 Disember 2018