wrapper

Topik Popular

SIARAN MEDIA/ MEDIA RELEASE

KEMENTERIAN KEWANGAN MALAYSIA
MINISTRY OF FINANCE MALAYSIA



GST Merangkumi 60% Daripada Bakul Barangan dan Perkhidmatan CPI
Berbanding SST yang Hanya Merangkumi 38% Daripada Bakul Barangan CPI


 

Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) merangkumi 60% daripada Bakul Barangan dan Perkhidmatan CPI (Indeks Harga Pengguna), berbanding Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang hanya merangkumi 38% daripada Bakul Barangan CPI. (Sila rujuk lampiran bagi senarai barangan yang dikenakan GST tetapi kini tidak akan lagi tertakluk kepada cukai di bawah SST).

Kementerian Kewangan berasa terkejut apabila bekas Perdana Menteri, Yang Berhormat Pekan Dato’ Seri Najib Tun Razak dan UMNO telah mengelirukan rakyat dengan mengatakan bahawa rakyat akan terbeban sekiranya cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dimansuhkan dan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) diperkenalkan semula. Fakta dan angka sama sekali tidak menyokong dakwaan tersebut.

Sebaliknya, bekas Ketua Pemuda UMNO, Yang Berhormat Rembau Khairy Jamaluddin membuat kenyataan melalui “tweet”-nya agar kadar GST 6% diturunkan untuk menyamai kutipan cukai yang lebih rendah melalui pelaksanaan SST. Kenyataan YB Rembau jelas bercanggah dengan kenyataan YB Pekan bahawa SST lebih membebankan daripada GST

Jelas sekali satu-satunya pihak yang mempolitikkan isu ini adalah UMNO. Sebelah pihak dari kalangan UMNO menyerang dan memburukkan dasar kerajaan baru Pakatan Harapan kerana menggantikan GST dengan SST, manakala satu pihak lagi mengakui bahawa kadar GST perlu dikurangkan untuk menyamai kutipan hasil yang dijangka lebih rendah melalui pelaksanaan SST.

Setakat ini, Yang Berhormat Pekan masih belum memberikan jawapan, "bagaimanakah SST akan lebih membebankan rakyat berbanding GST sekiranya kutipan yang dijangkakan daripada SST hanyalah RM21 bilion untuk tempoh setahun penuh, sementara GST dijangka mengumpul RM44 bilion bagi tahun 2018?" Rakyat Malaysia masih belum menerima maklum balas tentang bagaimana GST dikatakan lebih baik berbanding SST, walaupun GST memerah kutipan cukai yang lebih tinggi sebanyak RM23 bilion.

SST merupakan cukai seperingkat, ataupun “single-stage tax” yang secara amnya dikenakan ke atas pihak pengilang dan bukannya pengguna. Sebaliknya, GST adalah cukai pelbagai peringkat, ataupun “multi-stage tax” yang terpaksa dibayar dan dikutip pada setiap peringkat rantaian bekalan atau “supply chain”. Misalnya, jika patung beruang dijual oleh pengilang kepada pemborong kepada pengedar kepada peruncit dan akhirnya kepada pengguna, GST akan dikenakan pada setiap peringkat. Sebaliknya, SST hanya akan dikenakan ke atas pihak pengilang sahaja.

Secara teknikalnya, di setiap peringkat jualan, pihak pembekal boleh menuntut pengembalian GST yang telah dibayar sebagai “input tax” daripada kerajaan. Akan tetapi proses ini telah menimbulkan masalah yang besar kepada aliran tunai operasi banyak syarikat kerana pihak kerajaan sebelum ini amat lewat dalam pemprosesan bayaran “GST refund” kepada pihak syarikat. Akibatnya, kos perniagaan meningkat dan kos ini akan terpaksa ditanggung oleh pihak pengguna dalam bentuk harga barangan dan perkhidmatan yang lebih tinggi.

Saya akan mendedahkan pada masa akan datang mengenai punca sebenar di sebalik kegagalan kerajaan terdahulu untuk melakukan pembayaran balik GST kepada rakyat dengan cepat serta tepat pada masanya.

Dengan melaksanakan SST yang telah ditambahbaik, kerajaan baru Pakatan Harapan telah 'mengembalikan' semula jumlah kutipan cukai sekitar RM23 bilion kepada rakyat. Kerajaan Pakatan Harapan amat komited untuk mengurangkan beban kewangan rakyat khususnya mereka yang terkesan dengan kos sara hidup yang tinggi. Pada masa yang sama, kerajaan Pakatan Harapan berharap agar jumlah tambahan RM23 bilion yang dikembalikan kepada rakyat akan merangsang permintaan pengguna swasta serta meningkatkan keyakinan pelabur yang seterusnya akan menjana pertumbuhan ekonomi.

Kerajaan Pakatan Harapan tidak menafikan bahawa rakyat berkemungkinan akan terkesan daripada segi kewangan susulan pelaksanaan SST, tetapi jelas sekali kesan daripada pelaksanaan SST ini adalah hampir separuh lebih ringan berbanding GST (kutipan cukai sebanyak RM44 bilion melalui GST, berbanding RM21 bilion melalui SST) .


Sayangi Malaysiaku!

Lim Guan Eng
Menteri Kewangan
Kementerian Kewangan Malaysia
Putrajaya
19 Julai 2018

Muat Turun Lampiran: