wrapper

Topik Popular

SIARAN MEDIA

KEMENTERIAN KEWANGAN MALAYSIA


UMNO Dan Datuk Seri Najib Tun Razak Perlu Menjelaskan Bagaimana SST Membebankan Rakyat Berbanding GST Apabila SST Hanya Menjana RM21 Bilion Berbanding RM44 Bilion Yang Dikutip Daripada GST.


UMNO dan mantan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak perlu menjelaskan bagaimana Sales and Services Tax (SST) membebankan rakyat berbanding Goods and Services Tax (GST) apabila SST hanya menjana RM21 bilion berbanding RM44 bilion yang dikutip daripada GST.

Kerajaan Persekutuan berhasrat untuk melaksanakan semula Sales and Services Tax (SST) pada 1 September 2018 bagi menggantikan Goods and Services Tax (GST), yang bakal dimansuhkan tidak lama lagi.

Kenyataan palsu yang disebarkan oleh UMNO bahawa sistem cukai SST adalah lebih membebankan rakyat berbanding sistem cukai GST adalah tidak masuk akal sama sekali. Menurut kenyataan mereka, kenyataan saya bahawa kadar cukai jualan di bawah sistem cukai SST sejumlah 10% dan kadar cukai perkhidmatan sebanyak 6% bermakna jumlah keseluruhan cukai yang dikenakan adalah 16%; lebih tinggi berbanding kadar cukai GST 6%. Ini adalah tidak benar dan amat mengelirukan, kerana kita tidak boleh sewenang-wenangnya menambah peratusan cukai jualan (sales tax) dan cukai perkhidmatan (services tax).

Tidak mungkin SST lebih membebankan rakyat berbanding GST apabila jumlah kutipan daripada SST hanya dianggarkan bernilai RM21 bilion setahun, manakala anggaran kutipan GST bernilai RM44 bilion bagi tahun 2018, berdasarkan sasaran kerajaan terdahulu.

Oleh itu, jika dibandingkan dengan hasil kutipan GST, Kerajaan Pakatan Harapan akan dapat ‘memulangkan semula’ RM23 bilion kepada rakyat. UMNO tidak seharusnya mengelirukan rakyat dengan kenyataan bahawa kos sara hidup akan lebih membebankan sekiranya SST dikekalkan, khususnya apabila sistem percukaian ini telah digunapakai oleh tampuk pemerintahan UMNO sebelum 1 April 2015.

Berikut adalah beberapa fakta yang dapat menjelaskan tuduhan-tuduhan yang dilemparkan:

  1. Cukai jualan (sales tax) pada kadar 5% dan 10% dikenakan ke atas produk dikilangkan dan produk yang diimport yang tertentu, dan bukan ke atas semua produk yang telah diproses, seperti yang diamalkan dalam sistem cukai GST.
  2. Cukai perkhidmatan (service tax) pada kadar 6% dikenakan ke atas perkhidmatan yang tertentu sahaja, dan bukan semua jenis perkhidmatan, seperti yang diamalkan dalam sistem cukai GST.
  3. Cukai jualan (sales tax) dikenakan ke atas harga kilang dan harga import, manakala GST dikenakan ke atas harga peringkat akhir yang dibayar oleh pengguna. Oleh itu, adalah salah untuk mendakwa cukai jualan 10% adalah lebih tinggi daripada cukai GST 6%. Sebagai contoh, pihak pembekal mengenakan kadar 10% cukai jualan (RM0.10) ke atas air tin yang dikilangkan dengan kos RM1.00. Sebaliknya, di bawah sistem cukai GST, apabila air tin yang sama dijual kepada pengguna di 7-Eleven pada harga RM2.00, kadar 6% cukai GST (RM0.12) akan dikenakan ke atas harga tersebut. Dalam keadaan ini, amat jelas bahawa kadar GST 6% (RM0.12) adalah lebih tinggi berbanding kadar SST 10% (RM0.10).

 

Tambahan lagi, Kementerian Kewangan telah mengambil langkah yang komprehensif untuk mengkaji semula sistem cukai SST dengan bantuan perunding cukai dari firma perakaunan Pricewaterhouse Coopers (PwC). PwC akan membantu kerajaan merasionalisasikan kutipan cukai dan piawaian pelaporan untuk memastikan SST menjadi lebih efisyen daripada GST dan juga SST yang terdahulu. PwC juga akan memastikan SST yang akan dilaksanakan pada 1 September 2018 adalah lebih mudah, ringkas dan mampu mengelakkan kebocoran cukai.

SST juga akan diubahsuai untuk memastikan impak terhadap golongan berpendapatan rendah adalah pada kadar minima. Maklumat terperinci mengenai penambahbaikan SST akan diumumkan pada sidang Parlimen yang sedang berlangsung.

Sayangi Malaysiaku!

LIM GUAN ENG
Menteri Kewangan
Kementerian Kewangan
Putrajaya
17 Julai 2018