wrapper

Topik Popular

SIARAN MEDIA/MEDIA RELEASE

KEMENTERIAN KEWANGAN MALAYSIA
MINISTRY OF FINANCE MALAYSIA


Kos Keseluruhan Projek LRT3 Adalah Sebanyak Kira-Kira RM31.45 Bilion Akibat Kelemahan Pengurusan Projek Oleh Prasarana Malaysia Dan Memerlukan Pengurangan Kos Yang Drastik Untuk Memastikan LRT3 Adalah Kos Efektif


Projek LRT3 merupakan projek utama bagi menyelesaikan isu kesesakan lalu lintas dalam satu koridor pembangunan ekonomi dan kepadatan penduduk yang pesat serta menjejaskan rancangan pembangunan pengangkutan awam negara. Jajaran LRT3 adalah kritikal kerana ia menawarkan perkhidmatan LRT yang meliputi kepadatan penduduk seramai 2 juta orang di sepanjang koridor jajaran dan menampung kapasiti seramai 36,700 penumpang sejam setiap hala.

Akan tetapi, kos keseluruhan projek sebanyak RM31.45 bilion akibat kelemahan pengurusan projek oleh Prasarana Malaysia memerlukan pengurangan kos yang drastik untuk memastikan supaya LRT3 kos efektif dan berdaya maju. Terdapat beberapa laporan media bahawa kos LRT3 boleh dikurangkan sebanyak RM6 bilion. Kementerian Kewangan ingin menegaskan bahawa kos projek perlu dikurangkan jauh lebih daripada RM6 bilion supaya projek tersebut dapat diteruskan.

Sebelum ini, Prasarana telah memperolehi jaminan kerajaan untuk meminjam RM10 bilion untuk membiayai projek ini. Walaubagaimanapun, pada 30 Mac 2018, Prasarana telah meminta jaminan kerajaan tambahan sebanyak RM22 bilion bagi membiayai pinjaman untuk menyiapkan projek LRT3 ini.

Pihak Kementerian Kewangan telah mengarahkan Prasarana untuk menyemak semula segala kos projek untuk memastikan supaya projek LRT3 dapat berdaya maju. Kementerian Kewangan tidak akan menyokong sebarang pembiayaan tambahan jika tiada pengurangan kos LRT3 yang drastik dan pada masa yang sama tidak menjejaskan integriti jajaran rel, keselamatan dan kualiti perkhidmatan yang diberikan.

 

Sayangi Malaysiaku!

Lim Guan Eng
Menteri Kewangan
Kementerian Kewangan
Putrajaya
10 Julai 2018


Muat Turun Lampiran: