wrapper

Topik Popular

SIARAN MEDIA/MEDIA RELEASE

KEMENTERIAN KEWANGAN MALAYSIA
MINISTRY OF FINANCE MALAYSIA


Kos Projek Laluan Rel Pantai Timur atau East Coast Rail Link (ECRL) Sebenarnya Memakan Belanja RM81 Bilion Dan Ia Perlulah Dikurangkan Secara Signifikan Agar Berdaya Maju Daripada Segi Kewangan


 

Kos Projek Laluan Rel Pantai Timur atau East Coast Rail Link (ECRL) sebenarnya memakan belanja RM81 bilion dan ia perlulah dikurangkan secara signifikan agar ia berdaya maju dari segi kewangan. Kerajaan Negeri Selangor telah membantah keras penyiapan landasan rel dari Gombak ke Pelabuhan Klang. Pihak ECRL juga dijangka tidak mampu menampung kos operasinya. Kos projek RM81 bilion ini tidak termasuk defisit kos operasi, yang tidak dapat ditentukan buat masa kini.

Untuk makluman, Projek ECRL telah diluluskan oleh Kabinet pada 21hb Oktober 2016. Perjanjian Kejuruteraaan, Perolehan, Pembinaan dan Pentauliahan (Engineering, Procurement, Construction and Commissioning Agreement) kemudiannya telah ditandatangani dengan China Communication Construction Company (CCCC) pada 1hb November 2016.

Pada asalnya, projek ini bertujuan untuk membina satu laluan rel dari Terminal Bersepadu Gombak (ITT) di Selangor ke Wakaf Bharu di Kelantan dengan harga RM46 bilion.

Pada 13 Mei 2017, pentadbiran terdahulu menandatangani perjanjian tambahan dengan CCCC untuk melaksanakan Fasa ke-2 projek tersebut yang akan memperluaskan landasan dari ITT Gombak ke Pelabuhan Klang dengan nilai projek sejumlah RM9 bilion.

Sebelum itu pada 3 Mei 2017, Kabinet telah meluluskan projek untuk menyambung landasan rel utara dari Wakaf Bharu ke Pengkalan Kubor bernilai RM1.28 bilion.

Kabinet kemudiannya pada 23 Ogos 2017, meluluskan projek menaik taraf ECRL kepada projek landasan berkembar yang akan menelan perbelanjaan tambahan RM10.5 bilion.

Oleh itu, berdasarkan nilai-nilai harga projek di atas, kos asas pembinaan landasan keretapi sepanjang 688.3 km adalah berjumlah RM66.78 bilion. Perincian kos adalah seperti ditunjukkan dalam Jadual 1 di bawah:

Fasa Skop (Kos) RM juta
Fasa 1 ITT Gombak-Wakaf Bharu 46,000
Fasa 2 ITT Gombak-Port Klang 9,000
Penambahbaikan 

Landasan Berkembar

10,500

Penyambungan Landasan: Wakaf
Bharu-Pengkalan Kubor

1,280
 Jumlah   66,780


Walau bagaimanapun, jumlah kos projek ECRL adalah RM80.92 bilion selepas mengambil kira kos pengambilalihan tanah, faedah, yuran dan kos operasi lain seperti dalam Jadual 2 di bawah:


Jadual 2: Jumlah Kos ECRL

  Kos Kecil (RM juta) Kos Besar (RM juta)
Kos Pembangunan   69,830
Kos Pembinaan 66,780  
Kos Pengambilalihan Tanah 2,500  
Modal Kerja 50  
Lain-lain Kos Operasi 500  
Kos Pembiayaan   11,090
Faedah 7,444  
Kupon Sukuk 3,192  
Yuran Komitmen 238  
Yuran Pengurusan 216  
Jumlah   80,920


Sehingga kini, Kerajaan Malaysia, menerusi anak syarikat operasi miliknya, Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), telah membayar CCCC sejumlah RM19.68 bilion. Jumlah RM19.68 bilion ini terdiri daripada (i) bayaran pendahuluan sebanyak RM10.02 bilion dan (ii) bayaran kemajuan sebanyak RM9.67 bilion. *anggaran bundaran

Walau bagaimanapun, bayaran pendahuluan sebanyak RM10.02 bilion bersandarkan bon pendahuluan dengan jumlah yang sama. Bon bayaran pendahuluan ini boleh ditebus oleh MRL untuk mendapatkan semula RM10.02 bilion tersebut. Dalam erti kata lain, sekiranya berlaku senario terburuk maka Kerajaan Persekutuan boleh mendapatkan semula RM10.02 bilion daripada RM19.68 bilion yang dibayar.

Berdasarkan fakta dan angka di atas serta kajian kebolehlaksanaan projek, kami menjangkakan bahawa projek ECRL hanya akan menjadi berdaya maju daripada segi kewangan dan ekonomi jika terdapat pengurangan harga projek secara signifikan oleh CCCC. Manakala, perbincangan kos akan diadakan dengan pihak kontraktor dan pihak lain yang terlibat dalam projek tersebut.

Kerajaan Persekutuan juga menyedari terdapat tentangan hebat oleh Kerajaan Negeri Selangor terhadap projek ECRL, terutamanya berkenaan dengan landasan rel dari ITT Gombak ke Pelabuhan Klang. Mengikut Seksyen 20A Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976, Kerajaan Persekutuan dikehendaki berunding dengan kerajaan negeri sebelum melaksanakan mana-mana projek persekutuan di negeri yang berkenaan.

Bantahan Kerajaan Negeri Selangor ini adalah berdasarkan prinsip permohonan mereka untuk mendapatkan status Tapak Warisan Dunia UNESCO bagi Klang Gates Quartz Ridge sepanjang 16km, yang merupakan permatang kuartza yang terpanjang di dunia. Penyiapan landasan sambungan ECRL dari Gombak ke Pelabuhan Klang ini tentu akan menggagalkan usaha Kerajaan Negeri Selangor untuk menyenaraikan kawasan ini sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.

Hanya apabila terdapat pengurangan harga yang signifikan, barulah Kerajaan Persekutuan boleh berbincang dengan kerajaan negeri Selangor tentang kebaikan atau keburukan projek ECRL ini berbanding dengan kebarangkalian penyenaraian Tapak Warisan Dunia UNESCO.


Sayangi Malaysiaku!

Lim Guan Eng
Menteri Kewangan
Putrajaya
3 Julai 2018


Muat Turun Lampiran: