wrapper

Topik Popular

SIARAN MEDIA/MEDIA RELEASE

KEMENTERIAN KEWANGAN MALAYSIA
MINISTRY OF FINANCE MALAYSIA


Notis Penggantungan Kerja dan Perkhidmatan Dikeluarkan Bagi Projek Suria Synergy Energy Resources dengan Kos Pembinaan RM9.4 bilion Serta Projek East Coast Rail Link Bernilai RM81 Bilion


 

Suria Strategic Energy Resources Sdn Bhd (SSER) dan Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) adalah anak syarikat milik penuh Menteri Kewangan (Diperbadankan) (MKD). SSER telah diberi mandat untuk melaksanakan projek Multi-Product Pipeline (MPP) dan Trans-Sabah Gas Pipeline (TSGP). Manakala MRL diberi mandat untuk melaksanakan projek East Coast Rail Link (ECRL).

Kontrak bagi projek MPP dan TSGP yang mempunyai kos pembinaan bernilai RM9.4 bilion telah dianugerahkan kepada China Petroleum Pipeline Bureau (CPPB) pada 1 November 2016. SSER telahpun membuat bayaran sebanyak RM8.3 bilion ataupun 88% daripada kos pembinaan RM9.4 bilion sungguhpun kemajuan kerja (yang belum diaudit) dianggarkan pada tahap 13%. Kontrak-kontrak SSER bernilai RM9.4 bilion ini belum lagi mengambil kira kos perjanjian pengambilalihan tanah, dua perjanjian perundingan pakar, dan satu perjanjian penyelenggaraan yang bernilai RM1.7 bilion.

Projek ECRL merupakan projek landasan kereta api dari Pelabuhan Klang dan tamat di Pengkalan Kubor, Kelantan. Projek ini telah mendapat kelulusan Jemaah Menteri pada 2016 dan 2017, di mana China Communications Construction Company (CCCC) telah dilantik sebagai kontraktor utama. Kos keseluruhan sebenar Projek ECRL dijangkakan mencecah RM81 bilion, termasuk kos pengambilalihan tanah dan faedah pinjaman semasa pembinaan projek.

YAB Perdana Menteri, selepas mendapat pandangan Jabatan Peguam Negara, telah mengarahkan Kementerian Kewangan Malaysia melalui Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD), untuk mengeluarkan “Notis/Arahan Penggantungan Kerja dan Perkhidmatan” kesemua kontrak berkaitan dengan MPP, TSGP, ECRL kepada pihak-pihak kontraktor pada 3 Julai 2018. Notis penggantungan ini berkuatkuasa serta-merta sehingga notis selanjutnya dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan Malaysia.

Perlu ditegaskan bahawa tindakan yang diambil adalah semata-mata ke atas syarikat yang berkaitan dengan peruntukan dalam surat perjanjian dan tidak ada kena-mengena dengan mana-mana negara.


Sayangi Malaysiaku!

Lim Guan Eng
Menteri Kewangan
Putrajaya
5 Julai 2018


Muat Turun Lampiran: