wrapper

Topik Popular

SIARAN MEDIA/MEDIA RELEASE

KEMENTERIAN KEWANGAN MALAYSIA
MINISTRY OF FINANCE MALAYSIA


Projek TRX Akan Disiapkan Walaupun Lebih Daripada RM3 Bilion Dana Kerajaan Persekutuan Untuk TRX City Sdn Bhd Telah Diselewengkan Oleh 1MDB


 

Projek TRX akan tetap disiapkan walaupun lebih daripada RM3 bilion dana Kerajaan Persekutuan untuk TRX City Sdn Bhd (TRXC) telah diselewengkan oleh 1MDB. Kabinet Kerajaan Persekutuan telah membuat keputusan untuk meneruskan projek TRX demi menjana kembali segala dana yang telah diselewengkan serta membayar balik semua pinjaman lama, dengan mengambil kira kos peluang dan pelaburan yang telah dibuat. Kabinet berpendapat bahawa penerusan projek ini akan menghasilkan keuntungan kecil kepada Kerajaan Persekutuan.

TRXC adalah satu syarikat milik penuh Kementerian Kewangan. Sebelum ini, ia dikenali sebagai 1MDB Real Estate Sdn Bhd, iaitu satu anak syarikat milik penuh 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Atas nasihat Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara, TRXC telah dipindah milik kepada Kementerian Kewangan pada 31hb Mac 2017. Pemindahan tersebut dibuat kerana TRXC menghadapi masalah menjalankan urusniaga hartanah dan mengalami kesukaran mendapatkan pembiayaan bank disebabkan oleh hubung kait syarikat itu dengan 1MDB.

Untuk pengetahuan umum, TRXC adalah pemilik dan pemaju induk dua projek hartanah yang sebelum ini diletakkan di bawah kawalan 1MDB. Dua projek tersebut merangkumi Tun Razak Exchange (TRX) seluas 70 ekar dan Bandar Malaysia seluas 486 ekar. Semenjak tahun 2012, Kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan RM3,688 juta melalui jaminan pinjaman, memberian pendahuluan, pemindahan dana dan pembelian tanah daripada TRXC.

Daripada jumlah RM3,688 juta tersebut, RM3,067 juta telah diselewengkan oleh 1MDB dan sebahagian besarnya digunakan untuk membayar hutang. Ini telah mengakibatkan TRXC kekurangan dana untuk memenuhi tanggungjawabnya sebagai pemaju induk projek TRX.

Sehingga kini, TRXC sudah menjual beberapa bidang tanah kepada pelabur tempatan dan antarabangsa seperti Mulia Property Development (Menara The Exchange 106), HSBC, Affin Bank, Lembaga Tabung Haji, WCT, Lendlease dan IJM (Menara Prudential). Menara The Exchange 106 dan Menara Prudential dijangka siap dibina pada awal tahun 2019.

Sebanyak RM2.8 bilion diperlukan oleh TRXC untuk menyiapkan segala infrastruktur bagi projek TRX. Walau bagaimanapun, syarikat tersebut tidak mempunyai dana yang mencukupi untuk kerja-kerja berkenaan. Oleh itu, TRXC telah meminta bantuan kewangan daripada Kerajaan Persekutuan.

Tanpa dana RM2.8 bilion, TRXC akan terpaksa menghentikan projek tersebut manakala Kerajaan Persekutuan akan terpaksa menanggung bayaran pampasan RM3.51 bilion kepada beberapa pihak, selain daripada kehilangan RM3.7 bilion sebagai kos lesap (sunk cost) yang diperuntukkan kepada TRXC sebelum ini. Tambahan lagi, Bandaraya Kuala Lumpur akan dibelenggu dengan satu projek mega terbengkalai yang besar.

Dengan mengambil kira semua faktor ini, Kabinet telah bersetuju untuk menyiapkan projek TRX dengan memperuntukkan dana tidak melebihi RM2.8 bilion kepada syarikat tersebut. Keputusan ini akan menangani kebimbangan pelabur-pelabur tempatan dan antarabangsa yang sedia ada di TRX yang sudah melabur berbilion ringgit.

Suntikan tambahan RM2.8 bilion akan meningkatkan jumlah besar peruntukan Kerajaan Persekutuan kepada TRXC ke RM6.5 bilion. Penyiapan TRX akan membolehkan projek tersebut mencapai nilai penuhnya yang sekurang-kurangnya RM7.6 bilion. Ini akan membolehkan TRXC membayar balik hutang dan menjana kembali dana yang telah diselewengkan oleh 1MDB. Malah Kerajaan Persekutuan juga yakin penerusan projek ini akan meraih lebihan kecil yang akan menampung pelaburan lepas.

Saya telah mengarahkan pihak pengurusan TRXC yang diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif Dato’ Haji Azmar Talib dan Ketua Pegawai Operasi Tan Hwa Ming untuk membuat laporan kepada panel penyiasatan 1MDB dan kepada polis tentang penyelewengan dana RM3.1 bilion oleh 1MDB.

Kementarian Kewangan akan memastikan bahawa suntikan dana terbaharu ini akan dibelanjakan secara berhemah dan kepentingan pembayar cukai serta kepentingan pelabur terus dibela.


Sayangi Malaysiaku!

Lim Guan Eng
Menteri Kewangan
Putrajaya
21 Jun 2018


Muat Turun Lampiran: