wrapper

Topik Popular

SIARAN MEDIA/MEDIA RELEASE

KEMENTERIAN KEWANGAN MALAYSIA
MINISTRY OF FINANCE MALAYSIA


Skandal RM9.4 bilion Berkaitan Saluran Paip Petrokimia Dan Gas Milik Suria Strategic Energy Resources Sdn Bhd (SSER): Pembayaran RM8.3 Bilion Bersamaan 88% Daripada Nilai Projek Dibuat Walaupun Hanya 13% Kerja Dilaksanakan, Tanah Belum Diperolehi dan Undang-Undang Gagal Dipatuhi


 

Mantan Perdana Menteri yang juga bekas Menteri Kewangan Dato’ Seri Najib Razak di dalam kenyataannya bertarikh 5 Jun 2018 telah mempertahankan pemberian dua kontrak SSER bernilai RM9.4 bilion kepada China Petroleum Pipeline Bureau (CPPB). Kontrak-kontrak tersebut bertujuan untuk membina saluran paip untuk produk petrokimia dan gas. Beliau dengan sengaja tidak mahu menumpu kepada persoalan utama skandal SSER dan sebaliknya menegaskan faedah yang kononnya diperolehi daripada kontrak tersebut.

Dato’ Seri Najib Razak mendakwa beliau bersama Perdana Menteri China Li Keqiang “telah menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman di Beijing pada 14 Mei 2017 yang bertujuan untuk membina saluran paip serta menjalankan beberapa projek lain.” Beliau juga mendakwa “China komited untuk mengimpot barangan bernilai USD2 trilion daripada Malaysia dalam lima tahun yang akan datang, melabur sehingga USD150 bilion di Malaysia, dan menawarkan 10,000 tempat belajar dan latihan di pelbagai institusi pendidikan di China.”

Saya telah meminta Ketua Setiausaha Negara dan pegawai-pegawai Perbendaharaan beberapa hari lepas untuk mengesahkan jika dakwaan Dato’ Seri Najib Razak tentang komitmen China kepada Malaysia yang bernilai berbilion ringgit adalah benar dan bersangkut paut dengan kontrak SSER bernilai RM9.4 bilion tersebut. Apabila ditanya, Ketua Setiausaha Negara dan semua pegawai perbendaharaan yakin bahawa dakwaan yang dibuat Dato’ Seri Najib Razak adalah tidak benar.

Kertas-kertas Kabinet tahun 2016 and 2017 yang meluluskan projek-projek SSER tidak langsung menyebut tentang sebarang komitmen yang dibuat negara China kepada Malaysia, melainkan jika wujudnya kertas-kertas Kabinet tersembunyi atau minit-minit Kabinet berfail merah yang tidak dapat diakses oleh sesiapa selain Dato’ Seri Najib Razak sendiri.

Pada masa yang sama, kami mendapati Projek Landasan Keretapi Pantai Timur (East Coast Rail Line atau ECRL) dan projek-projek SSER sentiasa dikemukakan secara bersama di dalam kertas-kertas Kabinet yang dibentangkan oleh Dato’ Seri Abdul Rahman Dahlan, yang sebelum ini adalah seorang Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Ini menimbulkan tanda tanya kerana ECRL dan SSER adalah dua projek berbeza yang melibatkan beberapa syarikat serta kontraktor yang berlainan di lokasi yang berjauhan dari satu sama lain, walaupun kedua-dua projek milik Malaysia ini dibiayai oleh China EXIM Bank.

Dato’ Seri Najib Razak dengan sengaja enggan menjawab persoalan utama tentang skandal RM9.4 bilion ini: mengapakah pembayaran RM8.3 bilion yang bersamaan dengan 88% nilai projek dibuat walaupun secara purata hanya 13% kerja telah dilaksana? Mengapakah beliau membenarkan pembayaran itu dibuat?

Pembayaran 88% daripada nilai keseluruhan projek telah dibuat walaupun hanya 14.5% daripada kerja bagi projek Multi-Product Pipeline (MPP) telah disiapkan, manakala hanya 11.4% daripada kerja bagi projek Trans-Sabah Gas Pipeline (TSGP) telah dilaksanakan. Kemajuan kerja ini masih belum disahkan ataupun diaudit.

Apa yang lebih memburukkan situasi, kami mendapati bahawa SSER belum lagi mendapatkan sebarang hak kelulusan daripada Petronas untuk membina saluran paip petrokimia untuk projek MPP. SSER juga masih gagal mengambil alih tanah yang diperlukan di Sabah untuk melaksanakan projek TSGP. Walaupun pendedahan ini amat mengejutkan, Dato’ Seri Najib Razak masih lagi percaya bahawa segala proses, peraturan dan undang-undang telah dipatuhi semasa meluluskan projek-projek SSER.

Bagi sesiapa yang masih belum jelas akan projek-projek SSER, projek MPP bernilai RM5.35 bilion melibatkan pembinaan saluran paip petrokimia sepanjang 600km yang menghubungkan Jitra ke Melaka dan Port Dickson. Projek TSGP bernilai RM4.06 bilion pula melibatkan pembinaan saluran gas sepanjang 662km daripada Terminal Gas Kimanis ke Sandakan dan Tawau.

Akhir sekali, saya ingin memberitahu kedudukan masakini kepada rakyat tentang langkah-langkah yang sudah diambil oleh pegawai-pegawai Kementerian Kewangan:

1. Satu laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah dibuat. Suruhanjaya tersebut telahpun menyerbu pejabat SSER.
2. Kementerian Kewangan telah mengambil alih pentadbiran pejabat SSER. Semua pekerja SSER telah diberi cuti bergaji ‘garden leave’ sehingga satu tempoh yang akan diumumkan kelak.
3. Presiden SSER Dato’ Mohammed Azhar bin Osman Khairuddin telah diberhentikan sebagai pengarah syarikat.
4. Kementerian Kewangan sedang melantik satu jawatankuasa eksekutif (EXCO) yang akan diketuai oleh sebuah firma perakaunan. Jawatankuasa ini akan mengambil alih operasi syarikat serta menyiasat semua transaksi dan urusan yang dilakukan oleh SSER.

Kerajaan Persekutuan Pakatan Harapan mahu memberikan jaminan kepada semua rakyat Malaysia bahawa segala langkah akan diambil untuk mendedahkan kebenaran. Bagi melindungi kepentingan semua pembayar cukai, tindakan undang-undang akan diambil terhadap mereka yang bertanggungjawab ke atas skandal SSER ini.


Sayangi Malaysiaku!

Lim Guan Eng
Menteri Kewangan
Putrajaya
11 Jun 2018


Muat Turun Lampiran: