wrapper

Topik Popular

SIARAN MEDIA

KEMENTERIAN KEWANGAN MALAYSIA


KEDUDUKAN FISKAL NEGARA 2017
30 MAC 2018

 

Kerajaan telah melaksanakan Program Transformasi Fiskal (FTP) bagi terus mengukuhkan kedudukan kewangan. Program ini juga adalah bagi menyediakan ruang fiskal yang mencukupi untuk melaksanakan langkah kitaran balas (counter-cyclical) bagi menangani impak negatif daripada cabaran global. Dasar fiskal kekal menyokong langkah-langkah untuk meningkatkan daya tahan dan daya saing ekonomi negara, serta memastikan kesejahteraan rakyat dan penyampaian perkhidmatan awam yang berkualiti. Kerajaan terus komited melaksanakan langkah konsolidasi fiskal ke arah mencapai bajet hampir berimbang pada 2020. Ini telah terbukti dengan pengurangan defisit fiskal secara konsisten daripada 6.7% berbanding KDNK pada 2009 kepada 3.0% pada 2017.

Pada 2017, jumlah hasil meningkat 3.8% kepada RM220.4 bilion disokong oleh hasil cukai yang lebih baik selaras dengan peningkatan pematuhan cukai. Kerajaan juga telah mempelbagaikan sumber hasil dan mengurangkan kebergantungan kepada hasil berkaitan petroleum di mana peratusan kepada jumlah hasil telah berkurang dengan ketara daripada 41.3% pada 2009 kepada 15.7% pada 2017. Selain itu, Kerajaan telah berjaya membendung pertumbuhan perbelanjaan di mana jumlah perbelanjaan meningkat kecil sebanyak 4.1% kepada RM262.6 bilion. Seterusnya, jumlah perbelanjaan sebagai peratusan kepada KDNK menunjukkan trend penurunan daripada 20.5% pada 2016 kepada 19.4% pada 2017 yang mencerminkan usaha berterusan meningkatkan kecekapan perbelanjaan. Sektor sosial yang merangkumi 38% daripada jumlah perbelanjaan kekal sebagai penerima terbesar peruntukan terutamanya dalam subsektor pendidikan, latihan dan kesihatan. Sektor awam terus mengimbangi aktiviti sektor swasta dalam menjana pertumbuhan ekonomi melalui perbelanjaan pembangunan terutamanya projek infrastruktur dalam meningkatkan keupayaan dan keterangkuman ekonomi.

Kerajaan Persekutuan terus membiayai perbelanjaan pembangunan menerusi pinjaman daripada pasaran domestik. Pada akhir 2017, hutang Kerajaan Persekutuan berjumlah RM686.8 bilion atau 50.8% daripada KDNK, kekal di bawah had 55% yang ditetapkan. Daripada jumlah ini, hutang dalam negeri kekal sebagai komponen terbesar meliputi 96.9%, mengehadkan pendedahan kepada risiko tukaran asing. Berikutan sasaran defisit fiskal yang lebih rendah pada 2018, paras hutang dijangka akan terus berkurang kepada sekitar 50% daripada KDNK pada akhir 2018. Agensi penarafan utama telah mengekalkan penarafan kredit Malaysia pada gred pelaburan iaitu A- dan A3, mencerminkan pengiktirafan ke atas inisiatif pembaharuan fiskal dalam mengukuhkan penarafan kredit negara. Kementerian Kewangan

Kementerian Kewangan Malaysia
Putrajaya
30 Mac 2018


Nota:
Laporan penuh Kedudukan Fiskal Negara 2017 boleh diakses di laman sesawang www.treasury.gov.my.