wrapper

Topik Popular

SIARAN MEDIA

KEMENTERIAN KEWANGAN MALAYSIA


PELANTIKAN KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF YANG BAHARU UNTUK LEMBAGA PEMBIAYAAN PERUMAHAN SEKTOR AWAM (LPPSA)

 

Kementerian Kewangan (MOF) mengumumkan pelantikan Dato’ Kamal Mohd Ali sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) yang baharu berkuat kuasa 1 Mac 2018. Pelantikan Dato’ Kamal Mohd Ali adalah bagi menggantikan Puan Norsimah Ab Wahab yang telah tamat tempoh perkhidmatannya pada 28 Februari 2018.

Dato' Kamal merupakan seorang yang berpengalaman luas dalam bidang kewangan, perbankan dan ekonomi. Beliau menyertai Prokhas pada April 2008. Beliau memulakan kerjayanya sebagai Pegawai Kredit di Bank Bumiputra Malaysia Berhad dan selepas itu memegang pelbagai jawatan penting di Bank untuk 22 tahun berikutnya, termasuk sebagai Pengurus Besar untuk BBMB Singapura dan BCB Labuan Luar Pesisir (selepas bank tersebut bergabung untuk membentuk Bumiputra Commerce Bank Berhad). Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Ketua Kumpulan bagi Korporat II, Bahagian Perbankan Korporat dan menguruskan portfolio melebihi USD550 juta yang terdiri daripada syarikat awam yang tersenarai dan terlibat dalam aktiviti pembuatan, perkhidmatan, minyak dan gas, pembinaan, perladangan dan pembrokeran saham.

Dato' Kamal telah dianugerahkan Karyawan Prestasi Tinggi oleh Institut Pengurusan Asia di Manila pada tahun 1994. Pada April 2005, beliau telah dilantik sebagai Pengurus Besar, Bahagian Perbankan Korporat dan Institusi, Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) sebagai Ahli Pengurusan BIMB Holdings Berhad. Dari Mei 2006, Dato' Kamal dipilih untuk mengetuai Export-Import Bank of Malaysia Berhad sebagai Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif, yang bertanggungjawab terhadap operasi, pengurusan dan perancangan keseluruhan Bank.

Dato' Kamal merupakan graduan dari Universiti Malaya dengan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi (Kepujian) pada tahun 1983 dan kemudian memperoleh Diploma Perbankan & Kewangan dari Institut Bank-Bank Malaysia (IBBM) pada tahun 1995. Dato' Kamal memiliki Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (Kewangan Islam) dari Universiti Malaya.

MOF merakamkan penghargaan kepada Puan Norsimah Ab Wahab yang telah memberikan perkhidmatan yang cemerlang sebagai Ketua Pegawai Eksekutif sejak LPPSA mula beroperasi pada tahun 2016. Beliau telah menerajui dan membawa banyak penambahbaikan kepada perkhidmatan LPPSA.

Kementerian Kewangan Malaysia
Putrajaya
6 Mac 2018


Dato’ Kamal Mohd Ali | Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA)