wrapper

Topik Popular

SIARAN MEDIA

KEMENTERIAN KEWANGAN MALAYSIA


Malaysia Menyertai Kerangka Instrumen Multilateral di Bawah Pelan Tindakan Base Erosion and Profit Shifting (BEPS) Bersama-Sama 77 Negara

 

Malaysia komited dalam memenuhi piawaian percukaian antarabangsa yang dipersetujui dan telah menandatangani Multilateral Convention to Implement Tax Treaty Related Measures to Prevent Base Erosion and Profit Shifting (MLI), yang merupakan inisiatif diterajui oleh Organisation for Economic and Cooperation Development (OECD). MLI telah ditandatangani pada 24 Januari 2018 oleh YB Dato’ Wira Othman Aziz, Timbalan Menteri Kewangan I yang berlangsung di Ibu pejabat OECD, Paris. Menerusi perjanjian ini, Malaysia, bersama-sama negara lain termasuk China, Indonesia, Australia, India, Singapura dan Jepun telah mengambil langkah pro-aktif untuk melaksanakan amalan terbaik percukaian di bawah piawaian antarabangsa, termasuk pelaksanaan Pelan Tindakan BEPS.

Penerimaan MLI merupakan hasil perbincangan secara komprehensif bersamasama lebih 100 negara termasuk Malaysia dalam mesyuarat Ad Hoc Group Meeting on MLI bagi memelihara hak mencukai negara, mengambilkira perkembangan terkini dalam aktiviti rentas sempadan melibatkan perdagangan dan pelaburan.

Dalam ucapannya, YB Dato’ Wira Othman Aziz telah menyentuh mengenai kepentingan perjanjian MLI kepada Malaysia memandangkan Malaysia mempunyai 73 Perjanjian Pengelakkan Pencukaian Dua Kali (Double Taxation Avoidance Agreement) yang sedang berkuatkuasa bersama-sama negara penjanji. Pelaksanaan inisiatif ini adalah amat perlu bagi menutup jurang yang membenarkan keuntungan perniagaaan untuk dipindahkan secara artificial kepada negara yang mempunyai kadar cukai yang rendah atau tiada cukai.

Menerusi kemajuan aktiviti perniagaan global dan urus niaga rentas sempadan yang meluas, adalah sangat penting bagi memastikan keuntungan daripada aktiviti ekonomi adalah berdasarkan sumbangan substantif di mana aktiviti perniagaan dijalankan. Selaku Ahli Bersekutu BEPS, Malaysia perlu memenuhi komitmen ini untuk terus kompetitif dalam menarik dan menggalakkan pelaburan termasuk pelaburan langsung asing untuk kemampanan jangka panjang dan terus meningkatkan model pembangunan ekonomi secara inklusif.

YB Dato’ Wira Othman Bin Aziz juga menegaskan komitmen Malaysia terutamanya berhubung pertukaran maklumat secara automatik (AEOI). Sehingga kini, Malaysia telah menandatangani Perjanjian Multilateral Pihak Berkuasa Berwibawa Bagi Pertukaran Automatik Maklumat Akaun Kewangan dan Laporan Mengikut Negara, serta Konvensyen Mengenai Bantuan Tadbir Bersama Dalam Perkara Cukai dan dijadualkan memulakan pertukaran maklumat berkaitan percukaian secara automatik pada September 2018. Malaysia juga akan menjadi tuan rumah untuk Mesyuarat 17th Automatic Exchange of Information Working Group Meeting dan Persidangan 7th Competent Authorities Conference di Putrajaya yang dijadualkan pada Mei 2018. Pelaksanaan kesemua inisiatif ini amat dialu-alukan oleh OECD kerana ia mencerminkan komitmen Malaysia dalam melaksanakan amalan terbaik.

Kementerian Kewangan Malaysia
Putrajaya
26 Januari 2018