wrapper

Topik Popular

SIARAN MEDIA

KEMENTERIAN KEWANGAN MALAYSIA


Pelantikan Presiden Dan Ketua Pegawai Eksekutif Yang Bharu Untuk Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad

 

Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) dengan sukacitanya mengumumkan pelantikan Puan Masnizam binti Hisham sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan yang baharu untuk Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) bagi tempoh tiga tahun berkuatkuasa serta-merta, menggantikan Dato’ Sri Azmi Abdul Aziz yang telah tamat tempoh perkhidmatan pada 31 Disember 2017.

Puan Masnizam sebelum ini merupakan Ketua Pegawai Eksekutif, Prasarana Integrated Management and Engineering Services Sdn Bhd (PRIME), anak syarikat milik penuh Prasarana. Beliau telah berkhidmat di Prasarana selama 12 tahun dari tahun 2005 sebagai Ketua Bahagian Perundangan dan Setiausaha Syarikat di RapidKL dan pernah terlibat sebagai Ketua Bahagian Perolehan Kumpulan, Ketua Bahagian Komunikasi dan Pemasaran Strategik serta Ketua Pegawai Perkhidmatan Infrastruktur Prasarana. Sebagai CEO PRIME, beliau bertanggungjawab dalam memastikan kejayaan Projek Al Mashaaer Al Mugaddassah Metro-Southern Line (MMMSL) di Arab Saudi, latihan pekerja MRT Jakarta dan pembangunan infrastruktur Prasarana termasuk perolehan tren, bas dan pembinaan depot.

Pelantikan beliau juga adalah bertepatan dengan pertambahan peranan Prasarana yang melibatkan pengoperasian LRT, Monorail, MRT, Bus Rapid, Feri Pulau Pinang serta Rapid Transit System (RTS) yang melibatkan Kerajaan Malaysia dan Singapura. Dengan pelantikan ini, adalah diyakini bahawa beliau berupaya untuk memastikan kecekapan dan keberkesanan pengurusan serta operasi Prasarana dapat diteruskan dan dipertingkatkan.

MKD merakamkan penghargaan kepada Dato’ Sri Azmi Abdul Aziz yang telah memberikan perkhidmatan yang cemerlang sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana sebelum ini.

Kementerian Kewangan Malaysia
Putrajaya
18 Januari 2018


Puan Masnizam Hisham | Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana)