wrapper

Topik Popular

SIARAN MEDIA / MEDIA RELEASE

KEMENTERIAN KEWANGAN MALAYSIA
MINISTRY OF FINANCE MALAYSIA


 TRANSFORMASI SISTEM ePEROLEHAN

 

Bermula 1 Januari 2018, selari dengan Program Transformasi Perbendaharaan (TTP), Kementerian Kewangan akan melancarkan Sistem ePerolehan yang baharu bagi menggantikan sistem ePerolehan sedia ada. Melalui sistem ini, semua perolehan Kerajaan bagi bekalan dan perkhidmatan bukan perunding akan dilaksanakan sepenuhnya secara atas talian dan sistem ini perlu digunakan 100% oleh semua Kementerian/Jabatan/Agensi Kerajaan Persekutuan. Pihak pembekal yang ingin bertransaksi dengan Kerajaan perlu berdaftar dengan Kementerian Kewangan sama ada sebagai Akaun Asas atau Akaun Kementerian Kewangan.

Selaras dengan peredaran teknologi dan transformasi digital negara, langkah ini merupakan nilai tambah kepada pelaksanaan perolehan Kerajaan secara menyeluruh. Agensi Kerajaan dan pembekal dapat berinteraksi dengan lebih telus, kompetetif dan efektif untuk memperoleh nilai faedah yang terbaik bagi bekalan dan perkhidmatan yang diperlukan. Di samping dapat meningkatkan tahap ketelusan, integriti serta tadbir urus yang merupakan tiga (3) perkara utama dalam proses pembinaan negara, sekaligus dapat membina keyakinan rakyat dan para pelabur terhadap perkhidmatan awam.

Melalui sistem ini, pihak Kerajaan berupaya untuk meningkatkan aspek pengawalan dan pemantauan secara optimum terhadap penggunaan peruntukan Kerajaan. Data komprehensif yang merangkumi aspek pelaporan yang lebih terperinci pula akan memudahkan aktiviti pemantauan. Selain itu, penekanan terhadap perancangan perolehan yang lebih sistematik serta penguatkuasaan pelaksanaaan kajian pasaran secara atas talian merupakan antara ciri-ciri utama sistem baharu ini.

Dengan jumlah komuniti yang dianggarkan sebanyak 120,000 pengguna Kerajaan dan pembekal, sistem ini dilihat mampu memberikan perkhidmatan yang terbaik dalam pelaksanaan perolehan Kerajaan dan secara tidak langsung meningkatkan penyampaian perkhidmatan awam demi manfaat kepada rakyat secara keseluruhannya.

 

KEMENTERIAN KEWANGAN
PUTRAJAYA
29 DISEMBER 2017

Muat Turun PDF