wrapper

Topik Popular

SIARAN MEDIA

KEMENTERIAN KEWANGAN MALAYSIA


JANM Diiktiraf Sebagai Approved Employer Partner

YB DATO’ WIRA OTHMAN AZIZ, TIMBALAN MENTERI KEWANGAN I

 

Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM) telah diiktiraf sebagai Approved Employer Partner oleh badan profesional perakaunan iaitu MICPA, CPA Australia, ACCA dan CIMA. Ini merupakan penghargaan kepada Kerajaan dalam usaha memperkasakan modal insan dalam profesion perakaunan sektor awam.

Kerajaan melalui Agenda Pembangunan Bumiputera telah mensasarkan seramai 18,000 akauntan bumiputera mempunyai kelayakan profesional menjelang tahun 2020. Pada masa ini, daripada 33,893 Akauntan yang berdaftar dengan Institut Akauntan Malaysia, seramai 20,312 atau 59.93% ahlinya mempunyai kelayakan dalam Badan Profesional Perakaunan. Namun demikian, daripada jumlah tersebut, hanya 1,725 atau 8.5% sahaja merupakan Akauntan Bumiputera yang mempunyai kelulusan Badan Profesional Perakaunan.

Oleh itu, dengan adanya pengiktirafan kepada JANM selaku Approved Employer Partner, adalah diharapkan JANM dapat mengambil inisiatif untuk meningkatkan jumlah Akauntan sektor awam yang mempunyai kelayakan profesional perakaunan. Kerajaan melalui Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) perlu melihat keperluan ini dengan mewujudkan ruang dan peluang kepada Akauntan Sektor Awam mengikuti pengajian profesional perakaunan melalui Hadiah Latihan Persekutuan (HLP). Kerajaan sewajarnya memberi keutamaan kepada Akauntan yang mempunyai kelayakan profesional perakaunan untuk peluang kenaikan pangkat yang lebih baik sebagai insentif dan dorongan kepada mereka.

Pihak Kerajaan dan kementerian amat menghargai usaha Jabatan ini dalam memperkasakan profesion perakaunan sektor awam. Kita perlukan lebih ramai akauntan profesional yang berpengetahuan dan berkemahiran tinggi bagi membantu Kerajaan dalam proses pembuatan keputusan. Peranan akauntan profesional diperlukan dalam membantu Kerajaan merangka hala tuju dan dasar negara agar perkhidmatan perakaunan memberi impak yang lebih besar kepada negara. Saya menaruh keyakinan, JANM mempunyai kualiti akauntan yang diperlukan dalam memimpin pembangunan perakaunan di Malaysia dan seterusnya di peringkat global.

Perasmian Hari Inovasi dan Integriti Jabatan Akauntan Negara Malaysia hari ini turut diserikan dengan Pelancaran Pelaksanaan Sistem Perakaunan Akruan Kerajaan Negeri (1SPEKS) 2017 bagi menggantikan sistem sedia ada iaitu SPEKS yang menggunakan perakaunan asas tunai. 1SPEKS juga dibangunkan untuk menambah baik fungsi serta laporan sedia ada bagi memenuhi keperluan perakaunan akruan dan pelaksanaannya secara berperingkat mulai tahun 2017 sehingga 2019 bagi 11 Kerajaan Negeri di Semenanjung Malaysia.

YB Dato’ Wira Othman Aziz
Kementerian Kewangan Malaysia
Putrajaya
25 September 2017


HARI INOVASI & INTEGRITI JABATAN AKAUNTAN NEGARA MALAYSIA