wrapper

Topik Popular

Siaran Media

Kementerian Kewangan Malaysia


PERNYATAAN DASAR FISKAL
2 OGOS 2017

 

Jawatankuasa Dasar Fiskal (Fiscal Policy Committee, FPC) telah bermesyuarat pada hari ini untuk meneliti kedudukan fiskal dan perkembangan ekonomi jangka sederhana negara. Pada suku pertama tahun ini, ekonomi negara telah berkembang 5.6% dan dijangka mencatat pertumbuhan antara 4.3% – 4.8% sebagaimana yang disasarkan pada tahun 2017, manakala defisit fiskal sebagai peratusan KDNK dianggarkan terus berkurang kepada 3%.

Jawatankuasa telah membincangkan langkah konsolidasi fiskal ke arah mencapai bajet hampir berimbang (near-balanced budget) pada tahun 2020. Usaha akan ditumpukan dalam meningkatkan kecekapan dan mengurangkan ketirisan kutipan hasil serta perbelanjaan. Jawatankuasa turut meneliti risiko fiskal termasuk liabiliti luar jangka bagi memastikan pendedahan kepada Kerajaan adalah terkawal dan minimal. Semua agensi dan jabatan Kerajaan perlu lebih komited dan meningkatkan produktiviti dalam usaha memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Bajet 2018 yang akan dibentangkan pada 27 Oktober ini akan memberi tumpuan kepada usaha-usaha meningkatkan pendapatan rakyat, merancakkan pelaburan terutama melaksanakan projek infrastruktur rakyat dan berimpak tinggi serta menggalakkan aktiviti ekonomi digital yang berasaskan kreativiti dan inovasi. Dengan ini, sasaran bagi menggandakan saiz ekonomi negara kepada KDNK nominal RM2 trillion menjelang 2025 akan dapat direalisasikan.

Sehubungan itu, Kerajaan akan terus memastikan kedudukan kewangan kekal kukuh dalam jangka panjang, bagi menyokong pembangunan ekonomi negara dan menjamin kesejahteraan rakyat.

 

Kementerian Kewangan Malaysia
Putrajaya

2 Ogos 2017