wrapper

Topik Popular

Kenyataan Akhbar

Kementerian Kewangan Malaysia


Kenyataan Akhbar Yab Perdana Menteri
Di Mesyuarat Majlis Kewangan Negara Tahun 2017
Pada 14 Jun 2017

 

1. Mesyuarat Majlis Kewangan Negara ini diadakan selaras dengan Perkara 108 Perlembagaan Persekutuan. Mesyuarat ini bertujuan untuk membincangkan perkara yang melibatkan pengurusan kewangan Kerajaan Negeri dan isu-isu yang berkaitan dengannya. Mesyuarat pada hari ini telah membincangkan beberapa perkara yang menyentuh kepentingan bersama Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.

2. Majlis Kewangan Negara bersetuju supaya Kerajaan Persekutuan menyediakan caruman kepada Kumpulan Wang Rizab Negeri (KWRN) tahun 2019 sebanyak RM290 juta bagi membiayai Pemberian Berdasarkan Tahap Pembangunan Ekonomi, infrastruktur Dan Kesejahteraan Hidup (TAHAP). Jumlah caruman KWRN yang telah diluluskan untuk tahun 2017 adalah berjumlah RM530 juta dan tahun 2018 (RM330 juta). Untuk rekod, melalui Bajet 2017 Kerajaan Persekutuan telah menyediakan peruntukan berjumlah RM8.25 bilion bagi membiayai pelbagai Pemberian kepada semua negeri.

3. Majlis Kewangan Negara juga telah menerima laporan bahawa prestasi perbelanjaan Pemberian Penyelenggaraan Jalan Raya Negeri (MARRIS) oleh Kerajaan Negeri semakin baik dengan prestasi perbelanjaan pada tahun 2016 adalah 103%. Peningkatan prestasi perbelanjaan ini adalah lanjutan daripada Pelaksanaan Garis Panduan Tatacara Pengurusan MARRIS pada tahun 2013 serta keputusan Majlis Kewangan Negara tahun 2014 yang mensyaratkan supaya prestasi belanja oleh negeri hendaklah melepasi paras 85% bagi membolehkan kelayakan Pemberian MARRIS tahun berikutnya disalurkan sepenuhnya.

4. Jalan negeri yang berdaftar di bawah MARRIS pada 31 Disember 2016 adalah sepanjang 215,403 kilometer, bertambah hampir empat kali ganda berbanding yang didaftar pada tahun 2002 sepanjang 55,102 kilometer. Jumlah peruntukan yang disediakan oleh Kerajaan Persekutuan untuk membiayai Pemberian MARRIS pada tahun 2017 adalah berjumlah RM4.2 billion berbanding RM770 juta pada tahun 2002. Kerajaan Persekutuan berharap semua negeri akan meningkat lagi prestasi perbelanjaan MARRIS dan kualiti penyelenggaraan jalan negeri supaya faedah daripada peruntukan besar tersebut dapat dinikmati oleh rakyat.

 

Kementerian Kewangan
Putrajaya

14 Jun 2017


Muat turun PDF