wrapper

Topik Popular

TEKS UCAPAN
YB DATO’ WIRA OTHMAN AZIZ

Timbalan Menteri Kewangan I

SEMPENA
PERASMIAN PENUTUPAN PESTA SUKAN PERBENDAHARAAN KALI KE – 27 TAHUN 2017


15 Mei 2017 | Kementerian Kewangan Malaysia


Y.Bhg Tan Sri Dr. Mohd Irwan Serigar Abdullah
Ketua Setiausaha Perbendaharaan
Merangkap
Yang DiPertua Kelab Perbendaharaan

Y.Bhg Datuk Seri Hashmuddin Mohammad
Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pengurusan)

Y.Bhg Dato’ Siti Zauyah Md Desa
Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Dasar)

Y.Bhg Dato’ Dr Mohd Isa Hussain
Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pelaburan)

Y.Bhg Dato' Hj. Che Pee bin Samsudin
Akauntan Negara

YBhg Dato’ Siti Fatimah Daud
Setiausaha Bahagian Dasar Saraan dan Perkhidmatan
Merangkap
Setiausaha Kehormat Kelab Perbendaharaan

Dato’–Dato’ / Tuan-Tuan / Puan-Puan / Para Peserta Sukan yang saya hormati sekalian,

Assalamualaikum / Salam sejahtera / Salam Sehati Sejiwa!

1. Terlebih dahulu saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Kelab Perbendaharaan sebagai Penganjur Pesta Sukan Perbendaharaan kali ini, yang telah memberi kesempatan untuk saya menyampaikan sepatah dua kata dan menyempurnakan Majlis Penutupan Pesta Sukan Perbendaharaan Kali Ke – 27 Tahun 2017 ini.

2. Saya juga ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan syabas dan tahniah kepada Kelab Perbendaharaan yang telah berjaya menganjurkan Pesta Sukan Perbendaharaan pada kali ini. Kejayaan penganjuran ini adalah suatu yang dibangga kerana hasil daripada kerja berpasukan yang jitu dengan pengurusan yang cekap dan berkesan.

3. Saya dimaklumkan setakat 12 Mei 2017 lalu, MOF FC telah mencatatkan kedudukan di tempat ketiga (3) dibelakang UKM FC dan Shahzan Muda bagi Kumpulan A. Kecemerlangan ini adalah suatu yang boleh dibanggakan kerana hasil daripada kerja berpasukan yang jitu dengan pengurusan yang cekap dan berkesan. Bukan itu sahaja, dengan adanya penubuhan MOF FC ini, sudah cukup melonjakkan nama Kementerian Kewangan dalam persada kesukanan negara. Ini merupakan satu perkembangan yang cukup membanggakan. Oleh itu sebagai menunjukkan tanda sokongan yang padu kepada MOF FC, saya menyeru agar pada tahun-tahun akan datang, pasukan MOF FC ini akan lebih cemerlang dalam mengejar cita-cita kita di dalam arena bolasepak negara . Kita bukan sahaja hebat dalam mengurus hal-ehwal ekonomi negara tetapi hebat juga dalam persada sukan.

Tuan-Tuan / Puan-Puan sekalian,

4. Pesta Sukan seperti ini yang diadakan secara tahunan oleh agensi dan sektor yang bernaung di bawah Kelab Perbendaharaan, begitu signifikan dengan tujuan untuk membentuk satu pasukan petugas yang mempunyai daya saing, komited dan berdisiplin yang tinggi.

5. Ianya juga memberi peluang kepada setiap anggota agensi untuk saling kenal mengenali di antara satu sama lain dengan lebih erat lagi dan seterusnya akan mempermudahkan sasaran pencapaian kerja yang ditetapkan.

Tuan-Tuan / Puan-Puan sekalian,

6. Kerajaan telah menyediakan banyak kemudahan untuk sukan dan rekreasi di seluruh negara dengan hasrat rakyat sentiasa hidup dalam keadaan sihat dan cergas. Bagi penjawat awam, kesihatan dan kecergasan adalah suatu yang penting dan ianya adalah faktor untuk melaksanakan tanggungjawab memberikan perkhidmatan kepada orang awam dan rakyat dengan lebih efisyen, inovatif, kreatif dan produktif.

7. Justeru, saya menyeru semua warga Kelab Perbendaharaan untuk mengamalkan budaya hidup sihat melalui aktiviti – aktiviti kesukanan dan rekreasi dengan meluangkan sedikit masa pada setiap hari. Badan sihat mejadikan minda yang cergas.

8. Saya ingin menyeru pada tahun-tahun hadapan, semua sektor dan agensi di bawah Kelab Perbendaharaan akan terus memberi sokongan dan menyertai Pesta Sukan ini kerana ianya melambangkan penyatuan dan kesiapsiagaan warga kelab yang terlibat. Di samping kita mengejar kejuaraan, penyertaan dalam pesta sukan seperti ini merupakan suatu yang amat membanggakan.

Tuan-Tuan / Puan-Puan sekalian,

9. Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada pasukan atau peserta yang berjaya dalam acara-acara sukan yang dipertandingkan pada kali ini. Justeru saya juga berharap agar kejayaan ini akan membawa kejayaan di peringkat Pesta Sukan Kementerian Kewangan 2017 akan datang di mana BSN akan menjadi tuan rumah pada bulan November 2017 kelak.

10. Saya harap kecemerlangan peserta PSP kali ini akan dapat meningkatkan lagi semangat kesukanan dan kedudukan Perbendaharaan. Setiap kali pertandingan pesta sukan ini pastinya ada usaha inovasi dan penambahbaikan yang akan dilaksanakan untuk meningkatkan prestasi dan produktiviti.

11. Sebelum saya mengakhiri ucapan saya, sekali lagi saya mengucapkan tahniah dan syabas kepada Kelab Perbendaharaan dan semua ahli jawatankuasa yang terlibat di atas kejayaan menganjurkan Pesta ini dengan cemerlang.

12. Saya dengan ini merasmikan Majlis Penutupan Pesta Sukan Perbendaharaan Kali Ke – 27 Tahun 2017 dengan sempurnanya.

Sekian, terima kasih.

Kelab Perbendaharaan Malaysia
Putrajaya
15 Mei2017