wrapper

Topik Popular

TALKING POINTS
YBHG TAN SRI DR MOHD IRWAN SERIGAR ABDULLAH

Ketua Setiausaha Merangkap Penasihat Puspanita Kementerian Kewangan

SEMPENA
MESYUARAT AGONG KE-34 PUSPANITA KEMENTERIAN KEWANGAN


19 Januari 2017 | Di Dewan Utama, Blok Tengah Kompleks Kementerian Kewangan, Putrajaya


SOLUTASI

Alhamdulillah, bersyukur saya ke hadrat Allah swt kerana dengan limpah kurnia dan izinNya maka dapat kita berkumpul bersama-sama pada Majlis Perasmian sempena Mesyuarat Agung Ke-34 PUSPANITA Cawangan Kementerian Kewangan (MOF).

Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada PUSPANITA Cawangan MOF kerana sudi menjemput saya untuk memberi sepatah dua kata serta merasmikan mesyuarat ini. Terima kasih juga kepada Pengerusi PUSPANITA bersama-sama ahli-ahli jawatankuasanya, di atas persiapan majlis ini dan dapat bersama-sama kita pada hari ini.

Puan-puan sekalian,

Mesyuarat kali ini merupakan mesyuarat kali yang ke-34 telah diadakan semenjak ianya ditubuhkan di Kementerian Kewangan. Sekaligus menunjukkan satu pertubuhan yang agak matang dan mampu bertahan ke arah kebaikan.

Saya berharap PUSPANITA MOF akan mengorak langkah lebih proaktif sebagai badan amal, kebajikan dan sosial untuk ahli-ahlinya serta dapat membantu Kementerian dalam pelaksanaan program-program yang dekat dengan golongan sasaran mahupun masyarakat. Saya yakin kehadiran ahli-ahli PUSPANITA daripada Perbendaharaan, Jabatan Akauntan Negara (ANM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM), Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA), Bank Negara Malaysia (BNM), Bank Simpanan Nasional (BSN) dan juga Kementerian pada pagi ini bukan sahaja dapat mengeratkan silaturrahim malah dapat menjalinkan kerjasama yang lebih baik demi mewujudkan PUSPANITA yang lebih cemerlang untuk masa yang akan datang.

Puan-puan sekalian,

Kita sedia maklum bahawa arahan telah diwartakan agar semua anggota Kerajaan dapat menerima manfaat apabila menyertai aktiviti kesukarelaan dan ini semua dilaksanakan agar kita dapat menyediakan satu platform bagi menghubungkan dan merapatkan Silaturrahim antara anggota Kerajaan dan isteri-isteri kakitangan ini. Dengan cara ini, suri-suri dapat mengenal dengan lebih dekat organisasi tempat berkhidmat suami mereka dan dapat melihat dengan lebih dekat suasana di tempat kerja agar persefahaman dan toleransi dalam rumahtangga dapat ditingkatkan.

Platform ini seharusnya digunakan sebaik mungkin bagi menjalankan aktiviti-aktiviti yang menyokong agenda-agenda Kerajaan dan PUSPANITA juga seharusnya dapat menyenaraikan pelbagai program pendedahan yang dapat memberi peluang penglibatan kepada ahli-ahlinya agar pendedahan ini dapat memberi kesan yang positif dan meyakinkan. Dengan pelaksanaan aktiviti ini, maka ikatan kekeluargaan sesama ahli dan warga Kementerian dapat dijalin dan dieratkan dan akan melahirkan satu semangat berpasukan yang tinggi yang akhirnya dapat memberi satu impak yang baik kepada pembangunan organisasi.

Untuk itu, sebagai sebuah persatuan, PUSPANITA mempunyai platform yang cukup jelas dan strategik di mana-mana jua Kementerian termasuklah di bawah MOF dan Kementerian ini contohnya begitu menggalakkan perkongsian pintar dengan NGO-NGO yang mampu memberi manfaat kepada isteri-isteri mahupun kakitangan MOF. Selain itu, aktiviti berbentuk riadah dan rekreasi adalah antara aktiviti yang amat digemari selain program-program pendedahan ketrampilan diri, fesyen-fesyen semasa dan hiasan.

Puan-puan sekalian,

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk memaklumkan inisiatif-inisiatif Bajet 2017 telah dibentangkan oleh YAB Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan pada 22 Oktober 2016 yang lalu. Kebanyakan inisiati Bajet 2017 memberikan manafaat secara langsung dan tidak langsung kepada semua peringkat golongan wanita sama ada mereka berada dalam B40 atau M40.

Saya nyatakan antara inisiatif-inisiati Bajet 2017 yang memanfaatkan secara khusus kepada golongan wanita adalah seperti berikut:

  • 300 juta ringgit kepada TEKUN, bagi membantu usahawan kecil memajukan perniagaan, termasuk skim baharu TEMANITA, khusus untuk usahawan mikro wanita.
  • sebanyak 2 bilion ringgit disediakan untuk program-program seperti I-KIT, I-KeuNita dan program Women Career Comeback.
  • Kerajaan juga menyediakan 30 juta ringgit untuk kaum wanita menjalani pemeriksaan mammogram dan mendapat suntikan imunisasi HPV secara percuma, untuk mencegah kanser.
  • kepada wanita berkerjaya yang masih menyusukan anak, Kerajaan akan memperkenalkan pelepasan cukai baharu sehingga seribu ringgit, bagi pembelian peralatan penyusuan ibu. Pelepasan ini, diberi setiap 2 tahun sekali, mulai tahun taksiran 2017.
  • Seterusnya, bagi meringankan beban ibu bapa yang bekerja, pelepasan cukai sehingga seribu ringgit diberikan kepada pembayar cukai individu yang menghantar anak berumur 6 tahun dan ke bawah, ke taman asuhan dan pra-sekolah berdaftar, mulai tahun taksiran 2017. Kerajaan menganggarkan 40 ribu individu akan mendapat manfaat daripada pelepasan cukai ini.

Puan-puan sekalian,

Peranan PUSPANITA amatlah penting dan begitu besar. Pada saya, PUSPANITA mempunyai landasan yang cukup baik serta persekitaran yang amat kondusif untuk melaksanakan pelbagai aktiviti. Sebagai sebuah badan kebajikan sosial, PUSPANITA boleh meluaskan skop bukan sahaja kepada aktiviti-aktiviti yang berkisar tentang kebajikan mahupun isu-isu wanita, malah kepada kepentingan masyarakat amnya di peringkat kebangsaan atau antarabangsa sekalipun.

Saya merasakan amat wajar PUSPANITA menganjurkan aktiviti yang menjurus kepada kemudahan yang ada di MOF ini seperti program keusahawanan yang boleh menjana pendapatan ahli dan juga persatuan. Memandangkan adakalanya kita tidak berkesempatan untuk menyertai program anjuran MOF sendiri maka penganjuran program di kalangan ahli dan pelaksanaan aktiviti bersama-sama dengan unit berkenaan ini patut digalakkan agar ahli-ahli dapat mendekati dan mengenali lebih jelas mengenai salah satu bidang tugas MOF amnya dan khususnya mendapat ilmu mengenai keusahawanan seterusnya menjadi usahawan.

Sememangnya, berpersatuan ini menuntut pengorbanan dan masa kita semua, namun ianya tidak akan menjadi tanpa keikhlasan kita dalam melaksanakan tanggungjawab yang diberi. Saya juga sedar kita dihimpit oleh faktor masa dan juga keadaan, oleh itu, ruang untuk mengadakan aktiviti amatlah terhad tetapi janganlah itu dijadikan alasan kerana yang pastinya, Kementerian tidak pernah menyekat atau menghalang sebarang aktiviti yang dilaksanakan.

Puan-puan sekalian,

Akhir kata, saya ingin mengucapkan terima kasih sekali lagi kepada semua AJK dan kepimpinan PUSPANITA bagi tahun 2016/17. Semoga apa yang dirancangkan akan memberi manfaat untuk kebaikan kita bersama.

Dengan lafaz Bismillahhirrahmannirrahim, saya merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Keenam PUSPANITA Cawangan Kementerian Kewangan kali ke-34 Tahun 2017.

Sekian, terima kasih dan disudahi dengan Wabillahhitaufik, walhidayah, wassalamualaikum, warahmatullahi wabarakatuh.

Kementerian Kewangan
Putrajaya
19 Januari 2017