wrapper

Topik Popular

TEKS UCAPAN
YB DATO’ WIRA OTHMAN BIN AZIZ TIMBALAN MENTERI KEWANGAN I KEMENTERIAN KEWANGAN MALAYSIA

SEMPENA
MAJLIS PERASMIAN PERSIDANGAN KEBANGSAAN EKONOMI MALAYSIA Ke-12 2017


12 September 2017 | Persada Canselori, UKM


Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia.

Yang Berbahagia
Prof. Dr. Mohd Ekhwan Toriman
Timbalan Naib Canselor Hal-Ehwal Penyelidikan & Inovasi
mewakili
Naib Canselor
Universiti Kebangsaan Malaysia

Yang Berbahagia
Prof. Dr. Norman Mohd Saleh
Dekan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan

Yang Berusaha
Dr. Hairunnizam Bin Wahid
Pengerusi PERKEM Ke-12 2017

Yang dihormati Ahli Panel Sesi Forum

Yang dihormati Pegawai-Pegawai Kanan Universiti,

Yang dihormati Pegawai-Pegawai Lembaga Zakat Selangor,

Tan Sri-Tan Sri,
Datuk-Datuk, Datin- Datin,
Tuan-tuan dan puan-puan para hadirin sekalian.

Pendahuluan

1. Terlebih dahulu saya mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur kerana sudi menjemput untuk merasmikan Persidangan Kebangsaan Ekonomi Malaysia Ke-12 2017.

2. Ucapan syukur ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah izin serta kurnia-Nya, dapat bersama-sama dalam Persidangan Kebangsaan Ekonomi Malaysia Ke-12 2017 yang bertemakan “Kelestarian Pembangunan Ekonomi: Ke arah Transformasi Dasar Yang Holistik, Inklusif dan Futuristik”.

3. Rakaman ucapan penghargaan dan syabas kepada Pusat Pengajian Ekonomi, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, UKM, Kursi Yayasan Tun Ismail Mohamed Ali (YTI-UKM) dan Majlis Profesor Negara (MPN) kerana telah berjaya berganding bahu bersama menganjurkan persidangan ini.

Tema ‘Kelestarian Pembangunan Ekonomi: Ke Arah Transformasi Dasar yang Holistik, Inklusif dan Futuristik’

4. Tema yang dipilih dilihat bertepatan dengan cabaran ekonomi semasa. Isu-isu nasional yang dikupas dalam persidangan ini seperti isu cabaran Malaysia menghadapi revolusi perindustrian 4.0, peningkatan kos sara hidup, ketahanan fiskal, daya saing ekonomi negara, dan kesejahteraan sejagat serta isu-isu di peringkat global yang lain adalah sangat relevan kepada negara.

5. Ianya melibatkan keperluan untuk membuat transformasi dasar yang berterusan iaitu yang lebih bersifat holistik, inklusif dan futuristik demi memastikan kesejahteraan masyarakat dan kelangsungan pembangunan ekonomi negara pada masa hadapan. Kelestarian Pembangunan Ekonomi

Tuan-tuan dan Puan-puan,

6. Kelestarian pembangunan ekonomi adalah elemen yang penting dalam pembangunan jangka panjang negara. Sebagai persediaan ke arah itu, Transformasi Nasional 2050 atau TN50 telah dicetuskan oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB Datuk Seri Mohd Najib Bin Abdul Razak yang merupakan satu inisiatif pembangunan negara merangkumi tahun 2020 hingga 2050.

7. Inisiatif TN50 merangkumi lima (5) komponen utama iaitu Masyarakat, Alam Sekitar, Teknologi, Ekonomi dan Urus tadbir, yang akan dipacu oleh matlamat dan sasaran yang jelas selama 30 tahun, yang akan dibangunkan melalui proses perundingan dalam fasa persediaan dari tahun 2017 hingga 2019. Matlamat dan sasaran yang digariskan dalam dokumen dasar TN50 bakal diterbitkan pada awal tahun 2020.

8. Namun begitu, dalam mencapai kelestarian pembangunan ekonomi, satu bentuk transformasi dasar perlu dilaksanakan agar objektif serta matlamat negara mencapai status negara berpendapatan tinggi dapat dicapai dan di masa yang sama memastikan pertumbuhan ekonomi negara adalah mapan dan seimbang dalam pelbagai aspek.

Persekitaran Ekonomi Semasa

Tuan-tuan dan Puan-puan,

9. Pada tahun ini, ekonomi negara dijangka kekal berada pada landasan yang stabil, mencatat pertumbuhan 4.3 – 4.8 peratus. Pertumbuhan ekonomi negara pada suku tahun kedua 2017 adalah pada kadar 5.8% berbanding 5.6% yang dicatatkan pada suku tahun pertama 2017.

10. Pertumbuhan ini dipacu oleh permintaan domestik yang kukuh dan disokong oleh sektor luar yang lebih baik. Ini adalah sejajar dengan unjuran Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) bahawa ekonomi global meningkat kepada 3.5 peratus pada tahun ini, berbanding pertumbuhan sebanyak 3.2 peratus pada 2016. Inflasi keseluruhan akan kekal terurus, diunjur meningkat antara 3% – 4%, manakala ekonomi akan terus beroperasi dalam keadaan guna tenaga penuh.

11. Sebagai sebuah ekonomi yang terbuka, negara berhadapan dengan persekitaran luar yang mencabar. Ini termasuk ketidakpastian dasar dan politik selepas pemilihan presiden baharu di Amerika Syarikat, pertumbuhan yang lebih perlahan dalam kalangan rakan dagangan utama seperti China dan juga keputusan referendum di UK untuk keluar daripada Kesatuan Eropah. Walau bagaimanapun, pembaharuan struktur ekonomi, kewangan dan fiskal yang dilaksanakan selama ini telah menyediakan penampan yang mencukupi untuk menangani cabaran luar. Ini termasuk pasaran buruh yang stabil dengan guna tenaga penuh; kadar inflasi yang terkawal; rizab asing yang mencukupi; dan sistem kewangan yang kukuh dengan pengantaraan berkesan bagi menyokong pertumbuhan ekonomi. Usaha mempelbagaikan produk dan pasaran turut menyokong prestasi perdagangan negara.

12. Kerajaan merangka dasar fiskal untuk menyokong dan mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi, meningkatkan daya saing negara dan menjamin kesejahteraan rakyat. Di samping itu, dasar fiskal terus menekankan langkah konsolidasi fiskal ke arah bajet hampir berimbang pada tahun 2020. Komitmen untuk mengurangkan defisit dan paras hutang adalah penting bagi memastikan kemampanan fiskal jangka panjang negara. Kedudukan fiskal yang kukuh mampu mengekalkan daya tahan ekonomi serta mewujudkan ruang fiskal dan fleksibiliti untuk melaksanakan langkah counter cyclical untuk menyokong ekonomi ketika berlakunya krisis.

Pengiktirafan Agensi Dunia

13. Menurut Bloomberg, ringgit merupakan nilai matawang Asia paling kukuh berbanding dollar Amerika sepanjang suku kedua tahun ini (peningkatan hampir 3 peratus). Justeru, jika kita mahu menilai secara objektif dan adil, dakwaan bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang gagal adalah meleset sama sekali. Hakikatnya, rakyat Malaysia dapat membina kehidupan yang baik lebih baik berbanding Negara lain.

14. Semua ini telah dibuktikan juga dengan pelbagai indeks antarabangsa yang mengukur pencapaian Malaysia. Misalnya kajian Indeks Kebahagiaan Dunia 2017 telah meletakkan Malaysia (skor indeks: 6.084) sebagai negara ketiga di rantau Asia paling bahagia selepas Singapura (skor indeks 6.572) dan Thailand (skor indeks 6.424).

15. Dalam senarai Laporan Daya Saing Global 2016-2017, terbitan Forum Ekonomi Dunia yang berpangkalan di Switzerland, meletakkan Malaysia di kedudukan ke-25 daripada 138 negara. Dengan kedudukan ini, negara kekal berada dalam kalangan 20 peratus negara teratas paling berdaya saing, dan berada di kedudukan paling tinggi di kalangan negara-negara membangun di Asia.

16. Dalam senarai Indeks Keamanan Global 2017 yang diterbitkan oleh Institute for Economics and Peace yang berpengkalan di New York, negara kita menduduki tempat ke-29 dari 163 buah negara yang disenaraikan. Majalah Forbes dalam kolum International Living menyenaraikan Malaysia di tangga ke-6 di kalangan negara-negara terbaik sebagai tempat persaraan dalam tahun 2017 (The World’s Best Places To Retire In 2017). Malaysia adalah satu-satunya Negara Asia yang berada dalam senarai 10 teratas dalam senarai ini.

17. Terkini, agensi penarafan antarabangsa utama, iaitu Fitch Rating telah mengekalkan tahap profil kredit negara dalam kategori ‘A-’, setanding dengan Iceland dan Poland, serta lebih baik daripada Indonesia, Italy Mexico dan Sepanyol. Tahap penarafan ini disokong oleh pertumbuhan ekonomi negara kukuh dan lebihan akaun semasa yang stabil. Ini menunjukkan keyakinan para pelabur antarabangsa terhadap pentadbiran ekonomi dan kewangan negara.

Menjamin Kesejahteraan Rakyat

Tuan-tuan dan Puan-puan,

18. Seperti mana kita sedia maklum, Bajet 2018 akan dibentangkan di Parlimen pada 27 Oktober 2017. Kementerian Kewangan kini dalam persiapan untuk mendapatkan maklumbalas dan cadangan daripada rakyat amnya dan focus group khasnya, penyediaan Laporan Ekonomi 2017/2018 dan Teks Ucapan Pembentangan Bajet 2018. Saya mengambil kesempatan di sini sekiranya tuan/puan yang ada di sini ingin memberikan cadangan atau idea mengenai Bajet 2018, bolehlah emelkan kepada Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya./Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya. atau yang lebih mudah melalui #ideabajet2018 di saluran media sosial masing-masing.

19. Kesejahteraan rakyat kekal menjadi keutamaan kerajaan dan kemakmuran negara wajar dinikmati segenap lapisan masyarakat dalam Bajet 2018. Di samping itu, inisiatif transformasi yang dimulakan sejak 2010 dan Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11) jelas mencerminkan keutamaan Kerajaan dan memastikan negara terus mencapai pertumbuhan yang inklusif dan mapan. Sehubungan itu, inisiatif akan diambil untuk meningkatkan penggunaan melalui peningkatan pendapatan boleh guna dengan mewujudkan lebih banyak pekerjaan dan menangani peningkatan kos sara hidup.

20. Pelbagai program intervensi telah dilaksanakan oleh Kerajaan bagi membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat sejak tahun 2011 yang melibatkan peruntukan hampir 23.5 billion ringgit. Antaranya melalui program Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M), Voucher Buku 1Malaysia (BB1M) dan Bantuan Awal Persekolahan 1Malaysia (BKAP1M).

21. Selain itu, sehingga kini terdapat lebih 50 inisiatif yang melibatkan pelbagai kementerian dan agensi Kerajaan untuk membantu golongan yang terkesan khususnya di bawah kategori B40.

22. Antaranya melalui program 1Azam, Skim Kredit Mikro, eRezeki, eUsahawan, Mobilepreneur dan Agropreneur yang kesemuanya bertujuan untuk membolehkan penjanaan pendapatan di kalangan kumpulan sasar B40.

23. Manakala bagi meningkatkan pemilikan rumah golongan isi rumah B40, isi rumah M40 dan golongan belia, kerajaan telah melaksanakan pelbagai inisiatif seperti Program Perumahan Rakyat (PPR), Perumahan Rakyat 1Malaysia (PRIMA), Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) dan MyDeposit.

24. Kesemua program intervensi yang diperkenalkan ini tidak lain adalah untuk membantu menjamin kesejahteraan rakyat secara keseluruhannya.

Penutup

Tuan-tuan dan Puan-puan,

25. Saya yakin persidangan ini dapat memberikan input yang bernas kepada pelbagai pihak yang berkepentingan khususnya pihak Kerajaan.

26. Sekali lagi saya ingin merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada semua yang telah berusaha gigih untuk menjayakan persidangan ini. Semoga persidangan ini akan mencapai objektif dan seterusnya memberi manfaat yang besar kepada semua pihak yang terlibat dan mendapat keberkatan Allah S.W.T.

27. Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan sukacitanya merasmikan Persidangan Kebangsaan Ekonomi Malaysia (PERKEM Ke-12) 2017.

Sekian, terima kasih.

Wabillahhitaufik, walhidayah, wassalamualaikum, warahmatullahi wabarakatuh.

Kementerian Kewangan
Putrajaya
12 September 2017