wrapper

Topik Popular

TEKS UCAPAN

YAB DATO’ SRI MOHD NAJIB BIN TUN HAJI ABDUL RAZAK

PERDANA MENTERI MALAYSIA

SEMPENA MAJLIS PERDANA ULAMA~UMARA + NGO ISLAM

BERSAMA YAB PERDANA MENTERI

DAN PEMBENTANGAN INDEKS SYARIAH MALAYSIA 2017

PADA 3 OGOS 2017 ( KHAMIS )

JAM 9.00 PAGI HINGGA 10.30 PAGI

DI DEWAN PUTRA B, PUSAT KONVENSYEN ANTARABANGSA

PUTRAJAYA, PUTRAJAYA

( SIARAN LANGSUNG )

 

“ULAMA~UMARA NEGARAKU BERSATU”

 

Bismillahir rahmanir rahiim

Alhamdulillahi Rabbil ‘Alamin

Wassalatu Wassalamu ’Ala Asyrafil Anbiya’i Wal Mursalin

Saidina Muhammadin Wa’ala Aalihi Wasahbihi Ajmain

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakaatuh.

 

Salam Sejahtera, Salam 1Malaysia dan Salam Negaraku Malaysia

 

YANG DIHORMATI SAUDARA PENGACARA MAJLIS

YANG AMAT BERHORMAT DATO’ SERI DR. AHMAD ZAHID BIN HAMIDI

TIMBALAN PERDANA MENTERI

 

YANG BERHORMAT MEJAR JENERAL DATO’ SERI JAMIL KHIR BIN HJ BAHAROM (B)

MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI

 

YANG BERBAHAGIA TAN SRI DR ALI BIN HAMSA

KETUA SETIAUSAHA NEGARA

 

YANG BERHORMAT SENATOR DATO’ DR. ASYRAF WAJDI BIN DATO’ HJ. DUSUKI

TIMBALAN MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI

 

SAHIBUS SAMAHAH TAN SRI DATO’ SRI HAJI HARUSSANI BIN ZAKARIA

MUFTI KERAJAAN NEGERI PERAK

 

YANG BERBAHAGIA TAN SRI DATO’ HAJI OTHMAN BIN MUSTAPHA

KETUA PENGARAH JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA

 

YBHG DATO’ HAJI JAILANI BIN NGAH

PENGERUSI SEKRETARIAT ULAMA~UMARA

 

ASHABUS SAMAHAH PARA MUFTI,

ASHABUL FADHILAH PARA ULAMA DAN UMARA,

BARISAN PIMPINAN NGO-NGO ISLAM,

TUAN-TUAN DAN PUAN-PUAN YANG DIRAHMATI ALLAH SEKALIAN,

 

[MUQADDIMAH]

1. Alhamdulillah, setinggi rasa syukur kita panjatkan ke hadrat Allah SWT, atas segala nikmat kurniaanNya dapat kita bersama, bagi menyempurnakan Majlis Perdana Ulama-Umara dan Pembentangan Indeks Syariah Malaysia 2017 yang amat bersejarah ini. Saya mengambil peluang ini mengucapkan tahniah kepada pihak JAKIM, Sekretariat Ulama Umara Malaysia, Yayasan 1 Ummah dan YADIM yang merupakan penganjur utama dalam menjayakan Majlis yang besar maknanya kepada negara yang menghimpunkan dua komponen yang begitu strategik dalam kemajuan sesebuah Negara.

2. Himpunan Perdana Ulama Umara kali ketujuh ini adalah suatu acara tahunan yang saya tunggu-tunggu. Walaupun di bahu saya terasa berat dengan amanah dan cabaran yang perlu dihadapi setiap hari, namun semua  itu mampu sayatanggungg kerana Tuan-tuan para ulama dan umara sentiasa bersama dengan saya.

3. Saya yakin dengan bimbingan, nasihat dan doa tuan-tuan, kepimpinan Negara ini akan sentiasa diberkati oleh Allah SWT jua. Atas semangat itu juga, saya merasakan pemilihan tema perhimpunan kita “Ulama Umara Negaraku Bersatu”sebagai sangat signifikan pada masa serta situasi yang melatari perjumpaan kita pada pagi ini.

 

[SITUASI SEMASA DAN EKONOMI NEGARA]

Para hadirin yang dihormati sekalian,

 

 4. Meskipun persekitaran ekonomi global masih tidak menentu dan belum pulih sepenuhnya, namun, ekonomi Malaysia kekal berdaya saing dan menunjukkan prestasi pertumbuhan yang cukup membanggakan. Bank Negara telah melaporkan bahawa KDNK Malaysia pada suku pertama tahun 2017 telah berkembang di luar jangkaan iaitu pada 5.6 peratus berbanding 4.5 peratus pada tahun 2016. 

5. Terkini, menurut Bloomberg, ringgit merupakan nilai matawang Asia paling kukuh berbanding dollar Amerika sepanjang suku kedua tahun ini (peningkatan hampir 3 peratus). Justeru, jika kita mahu menilai secara objektif dan adil, dakwaan bahawa Malaysia adalah sebuah Negara yang gagal adalah meleset sama sekali. Hakikatnya, rakyat Malaysia dapat membina kehidupan yang baik lebih baik berbanding Negara lain.

 

[BUKTI PENCAPAIAN NEGARA SECARA MAKRO]

 

6. Semua ini telah dibuktikan juga dengan pelbagai indeks antarabangsa yang mengukur pencapaian Malaysia. Misalnya kajian Indeks Kebahagiaan Dunia 2017 telah meletakkan Malaysia (skor indeks: 6.084) sebagai negara ketiga di rantau Asia paling bahagia selepas Singapura (skor indeks 6.572) dan Thailand (skor indeks 6.424).

7. Dalam senarai Laporan Daya Saing Global 2016-2017, terbitan Forum Ekonomi Dunia yang berpangkalan di Switzerland, meletakkan Malaysia di kedudukan ke-25 daripada 138 negara. Dengan kedudukan ini, negara kekal berada dalam kalangan 20 peratus negara teratas paling berdaya saing, dan berada di kedudukan paling tinggi di kalangan negara-negara membangun di Asia. 

8. Dalam senarai Indeks Keamanaan Global 2017 yang diterbitkan oleh Institute for Economics and Peace yang berpengkalan di New York, Negara kita menduduki tempat ke 29 dari 163 buah Negara yang disenaraikan. Majalah Forbes dalam kolum International Living menyenaraikan Malaysia di tangga ke 6 di kalangan negara-negara terbaik sebagai tempat persaraan dalam tahun 2017 (The World’s Best Places To Retire In 2017). Malaysia adalah satu-satunya Negara Asia yang berada dalam senarai 10 teratas dalam senarai ini.

 

[AGENDA ISLAM SENTIASA DIUTAMAKAN] 

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

 

9. Kerajaan sentiasa prihatin dan mengambil berat agenda islam dalam pentadbiran negara. Buktinya, kerajaan telah : 

i. menaikkan elaun imam kepada RM850 iaitu kenaikan sebanyak RM100 kepada 15 ribu imam seluruh negara.

ii. menaikkan elaun kepada 33 ribu guru-guru KAFA kepada RM900 iaitu kenaikan sebanyak RM100.

iii. memperuntukkan pemberian sebanyak RM500 juga diberikan secara one off (RM8 juta keseluruhan) kepada hampir 16 ribu bilal dan siak seluruh tanah air.

iv. memperuntukkan bantuan sepenuhnya kepada institusi pondok seluruh Malaysia sebanyak RM 50juta bagi memartabatkan institusi pondok dan pendidikan tahfiz negara.

v. buat pertama kali memperuntukkan sebanyak RM30 juta bagi penyelarasan Dasar Pendidikan Tahfiz Negara.

vi. memperuntukkan sejumlah RM50 juta kepada Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK).

 

10. Kerajaan juga telah banyak memperkenalkan dasar-dasar baru bagi memartabatkan penghayatan Islam dan sekaligus memantapkan tadbir urus negara. Antaranya ialah indeks khas untuk menilai prestasi Negara dari perspektif Maqasid Syariah. Indeks Syariah Malaysia yang julung kali kita perkenalkan pada tahun 2015 mendapati Malaysia berada di tahap sangat baik dalam memelihara lima Prinsip Maqasid Syariah. Pada tahun ini, sekali lagi kita telah menjalankan kajian Indeks ini. Di akhir ucapan ini saya akan mengumumkan skor indeks yang diperolehi oleh Negara bagi tahun 2017 dalam lapan bidang utama pentadbiran negara.  

 

[PENGIKTIRAFAN DUNIA TERHADAP MALAYSIA]

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

 

11. Beberapa buah negara di dunia telah meletakkan Malaysia sebagai negara Islam contoh dan benchmark dalam banyak aspek pentadbiran. Kepercayaan dan keyakinan yang tinggi diberikan kepada Malaysia, kerana negara kita sentiasa aman dan stabil dari segi politik dan ekonomi. Semasa lawatan kerja saya ke negara China dan India, dua kuasa besar baru dunia baru-baru ini, kita telah berjaya menarik jumlah pelaburan yang besar dan strategik, sebanyak RM144 billion dari negara China dan RM158.4 billion dari negara India.

12. Baru-baru ini saya dikunjungi oleh Sheikh Rachid Al-Ghannouchi, Mufti Tunisia. Beliau amat tertarik dengan negara kita dan menyatakan bahawa Malaysia berjaya memberi imej positif sebuah negara Islam membangun yang disegani masyarakat dunia walaupun mempunyai masyarakat majmuk. 

13. Antara pencapaian terbaharu negara adalah projek Mass Rapid Transit (MRT) Jajaran Pertama melibatkan connection Sungai Buloh ke Kajang sepanjang 51 km. Pembinaan MRT ini merupakan contoh kejayaan projek mega Kerajaan yang efisien, bukan sahaja menepati tempoh masa, malah kurang daripada bajet yang ditetapkan “on schedule and below budget”. Saya dimaklumkan selepas majlis ini pihak Sekretariat Ulama~Umara akan membawa sebahagian peserta ulama umara termasuk mufti untuk menaiki MRT, merasai sendiri pengalaman dan kehebatan pengangkutan awam yang bertaraf dunia yang sememangnya perlu kita banggakan. 

 

[PERANAN ULAMA UMARA DAN NGO DALAM MEMBINA NEGARA] 

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

 

14. Gabungan kepakaran antara Ulama dan Umara mestilah sentiasa seiring dalam membina dasar, pelaksanaan program serta proses pembinaan modal insan negara. Ini adalah sebagaimana hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abu Nu’aim yang bermaksud :

”Dua golongan manusia yang jika elok keduanya, maka eloklah orang ramai; dan jika rosak keduanya  maka rosaklah manusia, mereka itu ialah ulama dan umara.”

15. Maka, sewajarnyalah para Ulama dan Umara sebagai komponen terpenting dalam Negara, perlu tampil dengan suara yang jelas dan meyakinkan dalam menilai situasi sebenar Negara. Jika penjelasan yang diberikan oleh kerajaan diperkukuhkan lagi oleh suara para Ulama dan Umara yang dilihat lebih neutral, maka sudah tentu ianya akan lebih mudah difahami dan diterima oleh masyarakat.

16. Kita juga mempunyai banyak badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang sentiasa membantu dan bersama kita dalam bidang pendidikan, kebajikan, kemanusiaan, ekonomi, kepenggunaan dan berbagai bidang lain. Tanpa sumbangan danbantuan Tuan-tuan dan Puan-puan, sudah tentu kerajaan tidak mampu memenuhi semuanya. Terima kasih saya ucapkan.

 

[PENGUMUMAN SUMBANGAN KHAS NGO]

 

17. Maka, demi menghargai sumbangan dan peranan berterusan pihak Ulama dan NGO Islam dalam proses membina Negara, sukacita saya mengumumkan bahawa pihak kerajaan bersetuju untuk memberikan sumbangan khas kepada NGO-NGO Islam berjumlah RM 2 juta. 

18. Hari ini juga saya difahamkan, kita ada anugerah khas kepada beberapa tokoh NGO di kalangan Tuan-tuan dan Puan-puan. Semoga anugerah ini menjadi pembakar semangat untuk terus berbakti dan dicontohi oleh rakan - rakan yang lain. Sumbangan ini akan diberikan kepada NGO-NGO yang menepati syarat dan kriteria yang telah ditentukan.

 

[PELAKSANAAN DAN PRESTASI INDEKS SYARIAH MALAYSIA]

Para hadirin yang saya hormati sekalian,

 

19. Bila kita bercakap tentang Maqasid Syariah, sudah pasti  apa yang terlintas di minda kita ialah Indeks Syariah Malaysia (projek yang amat dekat di hati saya). Pada 10 Februari 2015 yang lalu saya telah melancarkan Indeks SyariahMalaysia buat julung kalinya di negara ini, dan  juga yang pertama seumpamanya di dunia. Bermula dari pelancaran tersebut, penyelidikan secara saintifik mula dilaksanakan dalam lapan bidang utama pentadbiran negara. 

20. Alhamdulillah, atas keperihatinan dan kesungguhan Kerajaan, pada hari ini Indeks Syariah Malaysia telah berjaya dilaksanakan secara berperingkat dengan begitu teratur dan strategik sekali.  

21. Banyak gerak kerja dan tindakan penambahbaikan telah dilakukan oleh JAKIM dan pelbagai Kementerian bagi memastikan Indeks yang berpaksikan kepada Maqasid Syariah ini dilaksanakan dengan sebaik mungkin. Kita bukanhanya bercakap kosong, tetapi kita telah melaksanakannya secara strategik dan sistematik. Saya difahamkan sebanyak 13 Kementerian dan jabatan telah menubuhkan Sekretariat Indeks Syariah bagi memastikan dasar-dasar yangdilaksanakan selaras dengan Maqasid Syariah. 

 

[DAPATAN PENYELIDIKAN INDEKS SYARIAH 2017]

 

22. 6 Universiti Awam dengan pelbagai kepakaran telah bersama-sama dengan JAKIM melaksanakan penyelidikan yang sangat komprehensif pada tahun ini, bagi memastikan suara semua peringkat rakyat dapat disampaikan secara tepat kepada Kerajaan.

23. Sebelum saya membentangkan hasil penyelidikan Indeks Syariah Malaysia kali kedua ini, **suka saya menjemput semua mereka yang terlibat untuk berdiri; Naib Canselor dan para penyelidik daripada UKM, UUM,UTM, USIM, UIA dan UITM, Sekretariat Indeks Syariah Malaysia yang diterajui oleh KSU dan Ketua Jabatan di 13 buah agensi, pakar-pakar Indeks dan Maqasid Syariah, serta Unit Indeks Syariah Malaysia JAKIM. Marilah kita sama-sama memberikan tepukan yang gemuruh kepada mereka semua. 

 

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

 

24. Melalui penyelidikan Indeks Syariah Malaysia yang telah dijalankan pada tahun 2015, skor Indeks Syariah Malaysia 2015 secara keseluruhannya, dan merupakan kali pertama berjaya dihasilkan adalah sebanyak 75.42 peratus bagi lapanbidang utama dalam pentadbiran negara. Walaupun skor indeks 2015 berada pada tahap yang memuaskan iaitu melebihi 70 peratus, namun, Kerajaan tetap komited dan berusaha dalam memastikan dapatan penyelidikan tersebut diambiltindakan, dan penambahbaikan dilakukan secara berterusan, supaya impak pelaksanaannya dapat dirasai oleh semua rakyat tanpa mengira agama dan bangsa. Untuk tujuan tersebut, penyelidikan ini diteruskan lagi ke fasa kedua pada tahun 2017. 

25. Penyelidikan kali kedua Indeks Syariah ini telah melibatkan seramai 222 orang penyelidik daripada 6 buah Universiti Awam. Jumlah responden keseluruhan yang terlibat dalam Indeks Syariah Malaysia 2017 ini adalah seramai 27,292 orang; Pembuat Dasar seramai 2,280 orang, Pelaksana Dasar seramai 6,555 orang dan Masyarakat seramai 18,457 orang. 

26. Apa yang menarik tentang dapatan Indeks Syariah Malaysia 2017 ini ialah jumlah responden adalah terdiri daripada Islam dan bukan Islam. 50% daripada responden Masyarakat adalah mereka yang berumur 21 hingga 30 tahun yang merupakan generasi TN50.

27. Untuk tahun 2017 ini, skor Indeks Syariah Malaysia mencatatkan peningkatan yang amat ketara untuk 4 bidang iaitu Kesihatan, Prasarana & Persekitaran, ekonomi dan Sosial. Skor Indeks secara keseluruhannya untuk bidang-bidang yang lain masih berada di tahap yang memberangsangkan.

 

[***TOTAL SKOR INDEKS SYARIAH 2017]

 

28. Para hadirin sekalian, untuk itu suka saya mengumumkan bahawa SKOR INDEKS SYARIAH MALAYSIA BAGI TAHUN  2017 adalah sebanyak 76.06 PERATUS, meningkat sebanyak 0.64 peratus, berbanding skor pada tahun 2015 iaitu 75.42 peratus. Syukur Alhamdulillah, ini adalah satu pencapaian yang kita harapkan, untuk terus memandu Kerajaan mentadbir negara selaras dengan Maqasid Syariah.

[DAPATAN KAJIAN]

29. Beberapa dapatan penting Indeks Syariah 2017 ini membuktikan bahawa usaha-usaha dan inisiatif yang telah dan sedang dilaksanakan oleh Kerajaan telah memberi impak dan maslahah kepada rakyat. 

30. Dalam bidang kesihatan, dari aspek menjaga agama, skor sebanyak 92% dicapai bahawa Kerajaan telah menyediakan kemudahan beribadat kepada rakyat di semua klinik/hospital Kerajaan. Kesungguhan Kerajaan menerapkannilai-nilai Maqasid Syariah dalam memenuhi maslahah umat dapat diukur, dan segala kekurangan dan kelemahan dalam perkhidmatan kepada masyarakat akan sentiasa dipertingkatkan. Sebagai bukti keprihatinan Kerajaan terhadap kesihatan rakyat, Kerajaan telah memperluaskan perkhidmatan dan kemudahan melalui pembukaan Klinik 1 Malaysia sejak dari tahun 2010 dan mampu memberi rawatan kepada rakyat Malaysia dengan kos hanya satu ringgit.

 

31. Dalam bidang prasarana dan persekitaran pula, penilaian sebanyak 86.7% diberikan bahawa kerajaan sentiasa mengutamakan aspek menjaga nyawa dalam dasar pengurusan sisa pepejal bagi memastikan kelestarianalam sekitar dan kesejahteraan hidup masyarakat. Kerajaan sentiasa melihat dan memastikan bahawa berlakunya keseimbangan dalam soal pembangunan infrastruktur dan prasarana untuk rakyat secara menyeluruh termasuklah Sabah dan Sarawak. Projek Lebuhraya Pan Borneo yang merentasi bumi Sarawak dan Sabah merupakan satu lagi bukti komitmen Kerajaan demi manfaat rakyat. 

32. Dalam bidang sosial pula, penilaian sebanyak 82% diberikan dari aspek penjagaan agama bahawa Kerajaan sentiasa memberi kemudahan kepada rakyat dalam aktiviti keagamaan mengikut Perlembagaan. Manakala  dalam aspek penjagaan akal, penilaian sebanyak 88% diberikan bahawa Kerajaan menyediakan program pembangunan untuk golongan wanita yang mempunyai daya kreativiti dan inovasi. Dalam aspek menjaga akal juga, skor sebanyak 82% dicapai bahawa Kerajaan sentiasa memberi ruang penglibatan wanita dalam membuat keputusan di peringkat nasional. 

33. Dalam bidang ekonomi, Kerajaan sesungguhnya sentiasa memberi keutamaan dalam memastikan rakyat bukan sahaja dapat menikmati manfaat terbaik hasil daripada kemajuan negara, malah turut tidak terbeban dengan kossara hidup yang semakin meningkat. Pelbagai inisiatif telah dilaksanakan dan Kerajaan juga telah memperkenalkan beberapa produk melalui gagasan 1 Malaysia yang bukan sahaja murah, namun kekal berkualiti. Antaranya Klinik Rakyat 1 Malaysia, Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BRIM), Perumahan Rakyat 1 Malaysia (PRIMA) dan banyak lagi. Dan apa yang menarik daripada dapatan Indeks Syariah pada tahun ini ialah, dari aspek menjaga harta mengikut prinsip Maqasid Syariah, rakyat berpuashati bahawa inisiatif Kerajaan memperkenalkan BR1M dan PR1MA telah berjaya membantu mengurangkan beban kewangan rakyat. 

34. Kerajaan sentiasa mengambil berat dalam soal keselamatan dan kestabilan politik negara kerana ianya amat dituntut dalam Maqasid Syariah. Rentetan daripada itu, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud sendiri pun telah  17 berkenan dan memberi sokongan penuh kepada usaha penubuhan King Salman Centre For International Peace di Malaysia. 

35. Ini juga jelas membuktikan dapatan Indeks Syariah juga dalam bidang politik, dari aspek Menjaga Agama, penilaian sebanyak 92% dicapai bahawa Kerajaan telah berjaya meletakkan Islam sebagai agama persekutuan dalam memastikan kestabilan politik negara. Dalam aspek Menjaga Nyawa pula, penilaian sebanyak 86% dicapai bahawa Kerajaan sentiasa memberi keutamaan terhadap keselamatan rakyat dengan memperkukuhkan pasukan keselamatan negara.

 

[ SKOR INDEKS SETIAP BIDANG]

 

36. Sukacita juga saya mengumumkan Skor Indeks bagi setiap Bidang seperti berikut :

 

        Pendidikan : 80.12%

        Ekonomi : 65.46%

        Politik : 74.70%

        Kesihatan : 77.79%

        Perundangan : 84.91%

        Prasarana dan Persekitaran : 72.89%

        Budaya : 64.67%

        Sosial : 72.28% 

 

37. Selaras dengan pembentangan Indeks Syariah Malaysia 2017 pada hari ini, saya berharap agar agenda dan program transformasi negara dapat menggunakan elemen Maqasid Syariah agar selari dengan pelaksanaan Indeks Syariah Malaysia. InshaAllah sejurus selesai majlis ini, saya akan menyaksikan Majlis Menandatangani MoU Mengenai Kerjasama Indeks Syariah Antara JAKIM dan Kementerian Kewangan Malaysia melalui National Strategic Unituntuk menyebarluaskan lagi pelaksanaan Indeks Syariah melalui UTC, RTC dan Mobile CTC di seluruh Malaysia. Inisiatif ini menunjukkan bahawa Kerajaan amat komited dalam memastikan Indeks Syariah Malaysia dapat dilaksanakan secara berkesan bersama semua agensi.

 

[PENUTUP]

 

Para hadirin yang dihormati sekalian, 38. Sebelum mengakhiri ucapan ini, sekali lagi saya ingin merakamkan setulus penghargaan kepada para Ulama dan Umara serta pemimpin NGO yang berhimpun pada hari ini. Akhir kalam,marilah kita menadah tangan ke hadrat Ilahi. 

“Padamu Ya Allah kami berserah, Engkau bimbinglah kami, jika kami terkhilaf, Engkau ampunilah kami, kerana perjuangan kami yang suci ini, tidak bermakna jika tanpa redhaMu jua Ya Allah. Jika kami tersilap, Engkau perbetulkanlah kami, jika kami diduga, Engkau lindungilah kami, kepada para ulama umara, para pejuang, yang terdahulu, yang banyak berkorban jiwa dan raga, demi bumi dan agama yang suci ini, maka Engkau hadiahkanlah kepada mereka ganjaran pahala yang tidak pernah  terputus. 

Semoga negara yang kami cintai ini, mendapat rahmat yang berkekalan dariMu, kerana hambaMu ini, sentiasa kecil dan kerdil disisiMu Ya Allah”. 

 

39. Dengan lafaz, Bismillahir rahmanir rahiim, saya dengan sukacitanya, merasmikan Majlis Perdana Ulama~Umara+ NGO Islam 2017 dan menyempurnakan Pembentangan Indeks Syariah Malaysia 2017 pada hari ini.

 

Sekian,

Wabillahittaufiq walhidayah, wassalamu ‘alaikum warahmatullahi wabarakaatuh.