wrapper

Topik Popular

TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SRI MOHD NAJIB BIN TUN HAJI ABDUL RAZAK
PERDANA MENTERI MALAYSIA
DI MAJLIS SAMBUTAN ULANG TAHUN KE-10
KUMPULAN WANG PERSARAAN (DIPERBADANKAN) KWAP
DAN
PERASMIAN MENARA INTEGRA
PADA 5 JUN 2017 (ISNIN), JAM 3.30 PETANG
BERTEMPAT DI PEJABAT UTAMA KWAP, TINGKAT 36
MENARA INTEGRA, THE INTERMARK, 348, JALAN TUN RAZAK
KUALA LUMPUR


Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera, dan Salam Satu Malaysia.

Yang Berbahagia Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah;
Ketua Setiausaha Perbendaharaan merangkap
Pengerusi Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) KWAP,

Yang Berbahagia Dato’ Wan Kamaruzaman Wan Ahmad;
Ketua Pegawai Eksekutif
Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) KWAP,

Ahli-Ahli Lembaga Pengarah KWAP,

Dif-dif kehormat,

Seluruh Warga Kerja KWAP,

Tuan-tuan dan Puan-puan yang saya hormati sekalian,

1. Alhamdullillah dan terima kasih saya ucapkan kepada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan), atau lebih dikenali sebagai KWAP dan seluruh warga kerja KWAP kerana sudi menjemput saya untuk hadir ke Majlis pada petang ini. Ini merupakan kehadiran pertama saya di suatu majlis yang dianjurkan oleh KWAP.

2. Pada hari ini kita akan meraikan satu dekad perjalanan organisasi ini sebagai dana persaraan kedua terbesar di Malaysia, dan juga untuk merasmikan pejabat utama baharu KWAP ini serta melancarkan aplikasi baru MyPesara.

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

PERANAN KWAP DALAM MENANGANI MASALAH “NEGARA MENUA” ATAU AGEING POPULATION

3. Mengikut kajian yang dibuat oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nations), Malaysia akan mencapai status “negara menua” atau “ageing nation” pada tahun 2030. Ini bermaksud, negara akan mencapai status menua apabila lebih daripada 15 peratus warganegara terdiri daripada mereka yang berumur 60 tahun ke atas (menurut takrifan Dasar Warga Emas Negara).

4. Ini merupakan satu cabaran yang perlu kita tangani, kerana ia boleh membawa kepada masalah ekonomi dan sosial yang kritikal, seperti yang dilihat di negara Jepun sekarang. Antaranya peningkatan kos kesihatan awam secara berlipat ganda, dan penyusutan produktiviti dan pengeluaran negara.

5. Sesungguhnya, sebuah negara menua pasti akan mengalami pertumbuhan ekonomi yang perlahan berbanding dengan sebuah negara yang mempunyai nisbah kelompok dewasa bekerja yang tinggi.

6. Di sini, KWAP sebagai dana persaraan memainkan peranan yang amat penting dalam memberi jaminan kewangan kepada kumpulan kakitangan sektor awam yang telah berpencen. Atau dengan kata lain, pelan persaraan yang akan memberi sokongan kepada golongan ini untuk menikmati zaman warga emas.

7. Saya difahamkan, KWAP baru saja menandatangani Memorandum Persefahaman dengan Institut Penuaan Malaysia (Malaysia Institute of Ageing) untuk melaksanakan kajian berkaitan persaraan dan penuaan di Malaysia. Ini menunjukkan KWAP telah memberikan komitmen yang tinggi dalam meningkatkan mutu perkhidmatan kepada para pesara dan membantu Kerajaan dalam penambahbaikan polisi-polisi berkaitan persaraan ke arah mencapai usia emas yang lebih produktif.

8. Perlu di tekankan juga bahawa adalah mustahak sektor GLC dan swasta juga memainkan peranan mereka dalam memastikan negara kita bersedia menghadapi cabaran ini.

SUMBANGAN KWAP KEPADA EKONOMI NEGARA

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

9. Alhamdulillah, untuk suku pertama tahun ini, ekonomi negara telah menunjukkan pertumbuhan yang amat memberangsangkan, dengan pada kadar 5.6 peratus.

10. Sebagai sebuah dana pencen, KWAP telah menyumbang kepada pentadbiran negara dengan jayanya, melalui pembiayaan dan pelaksanaan fungsi-fungsi persaraan yang efisyen, serta membantu Kerajaan Persekutuan dalam pengagihan semula pendapatan untuk memastikan kesejahteraan hidup kumpulan pesara terjamin.

11. Selama ini, dana KWAP juga telah membantu Kerajaan membiayai projek-projek rakyat seperti rumah-rumah mampu milik yang dibina oleh Skim Perumahan Nasional Berhad (SPNB), projek infrastruktur Kerajaan seperti kuarters Kerajaan, hospital, sekolah, pusat sukan dan lain-lain yang diterajui oleh pembinaan private finance initiative atau PFI.

12. Saya yakin bahawa KWAP sebagai institusi pelaburan akan terus memainkan peranan yang penting dalam memberi pulangan optima kepada pelaburan oleh pihak berkepentingan dan memberi impak yang positif kepada pembangunan negara.

PENCAPAIAN KWAP

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

13. Sepanjang tempoh satu dekad sejak ianya ditubuhkan, KWAP telah merekodkan pencapaian dan prestasi yang amat membanggakan. Saiz dana KWAP berkembang dari 42 bilion ringgit pada tahun 2007, kepada 125 bilion ringgit pada Disember 2016, memberi peningkatan sebanyak 200%.

14. Dari jumlah 125 billion ringgit, 53.6 billion ringgit adalah hasil daripada penjanaan pendapatan pelaburan yang seterusnya akan digunakan untuk membiayai liabiliti pencen. Ini merupakan sebagai satu sumbangan KWAP terhadap negara dan para pesara.

15. KWAP juga telah mencatat pulangan kasar purata pelaburan sebanyak 6.5 peratus dalam tempoh 10 tahun ini. Meskipun prospek global adalah tidak menentu, dengan cabaran luaran dalam pelaburan dan iklim ekonomi dalam tahun-tahun kebelakangan ini, saya percaya KWAP akan terus menunjukkan prestasi kewangan yang positif lagi konsisten, sepertimana yang telah dicapai setakat ini.

WARGA KERJA KWAP

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

16. Apabila KWAP ditubuhkan pada tahun 2007, ia bermula dengan sejumlah 30 orang kakitangan sahaja. Kini, KWAP bertulang belakangkan hampir 600 kakitangan dan saya yakin keseluruhan wargakerja KWAP akan sentiasa komited dalam melaksanakan mandat yang telah diberikan kepada KWAP.

17. Sumbangan tuan-tuan dan puan-puan kepada organisasi ini amatlah penting dan kita perlu terus deliver, memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada para pesara dan meningkatkan produktiviti ke tahap global.

18. Saya percaya, dengan sokongan padu dan komitmen tinggi yang diberikan oleh tuan-tuan dan puan-puan kepada KWAP, institusi yang berkredibiliti tinggi ini akan terus mengekalkan keyakinan Kerajaan dan para pelaburnya.

APLIKASI MYPESARA – PENDEKATAN SECARA LANGSUNG DENGAN PESARA

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

19. Berikutan perkembangan fungsi KWAP sebagai dana persaraan dan penyelaras operasi perkhidmatan persaraan, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan bertujuan untuk melibatkan pesara secara langsung.

20. Hari ini, KWAP akan melancarkan aplikasi mudah alih yang direka khusus untuk pesara iaitu aplikasi MyPesara, yang akan saya lancar sebentar lagi.

MANDAT YAB PERDANA MENTERI

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

21. Sesungguhnya, KWAP akan terus melakar prestasi cemerlang sebagai organisasi berprestasi tinggi. Saya di fahamkan KWAP yakin dengan pertumbuhan di antara 8.0% - 10.0% setahun, dana KWAP akan berjaya mencapai angka 500 billion ringgit pada tahun 2050. Saya percaya unjuran ini akan dicapai, Insyaallah.

22. Sekali lagi saya ucapkan terima kasih di atas kesudian pihak KWAP menjemput saya untuk bersama menyambut ulangtahun ke sepuluh tahun 2017 ini.

23. Akhir kata, saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah ke atas pencapaian KWAP yang amat membanggakan sepanjang sepuluh tahun lalu.

Maka, dengan lafaz kalimah “Bismillahirrahmanirrahim”, saya dengan sukacitanya merasmikan Pejabat Utama Baharu Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) iaitu Menara Integra dan Melancarkan Aplikasi MyPesara pada hari ini.

Sekian, terima kasih.

Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamualaikum WarahmatullahiWabarakatuh.