wrapper

Topik Popular

Jawatankuasa Dasar Fiskal (Fiscal Policy Committee, FPC) telah bermesyuarat pada 18 Januari 2016 untuk meneliti kedudukan fiskal dan ekonomi negara dengan mengambil kira persekitaran ekonomi global yang semakin mencabar dan kejatuhan berterusan harga minyak mentah dunia. Ini merupakan langkah Kerajaan yang berhemat dalam menguruskan ekonomi negara selepas memantau keadaan ekonomi global dengan teliti terutamanya bagi memastikan ekonomi negara kekal kukuh. Berdasarkan petunjuk ekonomi semasa, Kerajaan yakin bahawa ekonomi negara akan terus berkembang pada tahun 2016. Ini juga selaras dengan unjuran terkini Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

Kerajaan terus komited dengan konsolidasi fiskal melalui peningkatan kecekapan kutipan hasil serta langkah mengoptimumkan dan menyusun semula keutamaan perbelanjaan. Dalam masa yang sama, Kerajaan akan memastikan bahawa usaha ini tidak akan menjejaskan penyampaian perkhidmatan Kerajaan di samping terus menyokong pertumbuhan ekonomi negara serta memastikan kepentingan rakyat terus dipelihara dengan memberi keutamaan kepada projek dan program yang berpaksikan kesejahteraan rakyat.

FPC turut memperincikan langkah pengubahsuaian Bajet 2016 bagi menangani peningkatan kos sara hidup rakyat, merangsang perbelanjaan penggunaan, mencergaskan aktiviti pelaburan dan memperkukuh imbangan pembayaran negara. Langkah pengubahsuaian Bajet 2016 ini akan diumumkan pada 28 Januari 2016 oleh YAB Perdana Menteri.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan
Kementerian Kewangan Malaysia
19 Januari 2016

 Muat Turun PDF