wrapper

Topik Popular

1. YB Menteri Kewangan II, Dato' Seri Ahmad Husni Hanadzlah, menerima kunjungan hormat daripada rakan sejawatnya dari Republik Maldives semalam, YB Abdulla Jihad, Menteri Kewangan dan Perbendaharaan negara tersebut.

2. YB Abdulla Jihad berada di Malaysia untuk lawatan kerja sebagai tanda memupuk hubungan yang lebih erat diantara Malaysia dan Republik Maldives. Beliau menyatakan bahawa Malaysia dilihat sebagai negara contoh kerana pencapaiannya beralih daripada satu ekonomi berasaskan pertanian kepada pembuatan dan kini perkhidmatan. Malaysia juga dikagumi, dari segi pembangunan infrastruktur, kewangan Islam dan pendidikan.

3. YB Menteri Kewangan II menyatakan satu kejayaan utama dalam pembangunan Malaysia adalah program-program transformasi yang dilaksanakan oleh Kerajaan iaitu Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP). Ini merupakan diantara sebab ekonomi Malaysia mencapai pertumbuhan 5.0% pada tahun 2015, walaupun berdepan keadaan ekonomi global semasa yang tidak menentu.

4. YB Menteri Kewangan II menerangkan bahawa GTP telah dilancarkan untuk memupuk prinsip-prinsip tadbir urus yang baik dalam Kerajaan dan konsep “value for money” dalam perbelanjaan fiskal dan memastikan jaringan keselamatan yang mencukupi setiasa disediakan untuk rakyat. Sementara itu, ETP dilancarkan selepas menjalankan kajian menyeluruh terhadap sektor ekonomi di Malaysia dan tren masa depan pertumbuhan global. Hasilnya, 12 sektor telah diberi tumpuan untuk meningkatkan pelaburan yang akan merangsang peluang pekerjaan dan pendapatan yang lebih tinggi.

5. Mengenai kewangan Islam, YB Menteri Kewangan II berkongsi bahawa Malaysia adalah peneraju utama, dengan memegang 57% daripada pasaran sukuk global pada 2015. Beliau juga menyatakan minat terhadap kewangan Islam kian meningkat dengan kemunculan pasaran baru seperti di Hong Kong, Singapura dan United Kingdom. Beliau menyatakan bahawa pertumbuhan dalam kewangan Islam perlu digalakkan dengan pembukaan pusat kewangan Islam baharu sebagai pelengkap pasaran kewangan dunia.

6. YB Menteri Kewangan dan Perbendaharaan Republik Maldives bersetuju bahawa kewangan Islam mempunyai potensi yang amat besar dan ia merupakan salah satu cita-cita negara tersebut untuk mempertingkatkan kewangan Islam apabila ia melancarkan pelan strategik bagi Pusat Kewangan Islam Maldives. Walaupun ekonomi Republik Maldives secara majoritinya berasaskan pelancongan, negara tersebut ingin memperluaskan perkhidmatan sokongan dan beliau mengatakan hasrat ingin mencontohi Malaysia di dalam hal ini.

7. YB Menteri Kewangan II memaklumkan bahawa keberkesanan Malaysia dalam pelaksanaan programnya adalah kerana terdapat pelan 5 tahun, berbanding dengan kebanyakkan negara yang hanya mempunyai rancangan pembangunan secara tahunan. Lebih penting lagi, Malaysia sedang merancang untuk fasa selepas tahun 2020 atau “Beyond 2020”. Sehubungan itu, YB Menteri Kewangan II berkata, Malaysia sentiasa bersedia untuk berkongsi kepakaran dan pengalamannya dengan negara-negara lain terutama apabila ia akan membawa kepada kesejahteraan bersama di peringkat global.

8. YB Menteri Kewangan II dan rakan sejawatannya bersetuju untuk meneroka lanjut kerjasama antara kedua-dua negara, seperti program pertukaran dan lawatan kerja.

Pejabat Menteri Kewangan II
Putrajaya
27 April 2016