wrapper

Topik Popular

21 April 2016
US$ 1.0 bilion 3.179% Sijil Amanah bertempoh matang tahun 2026
US$ 0.5 bilion 4.080% Sijil Amanah bertempoh matang tahun 2046

Pada 20 April 2016, Kerajaan Malaysia telah berjaya menerbitkan Sijil Amanah Global (“Wakala Global Sukuk”) melalui sebuah syarikat bertujuan khas (SPV), Malaysia Sukuk Global Berhad, bertempoh matang 10 tahun pada kadar hasil 3.179% dan 30 tahun pada 4.080%. Transaksi ini telah terlebih langgan sebanyak 4.2 kali dan telah menarik minat pelabur dengan langganan melebihi US$6.3 bilion daripada jumlah keseluruhan pelabur yang melebihi 195 akaun.

Terbitan ini merupakan Sukuk yang kelima dalam denominasi USD bagi Kerajaan Malaysia berikutan kejayaan terbitan Sukuk global pada tahun 2002, 2010, 2011 dan 2015. Hasil daripada terbitan Wakala Global Sukuk ini akan digunakan oleh Kerajaan Malaysia bagi kegunaan am yang patuh Shariah, khususnya untuk penebusan Sijil Amanah Wakala Global Sukuk Berhad berjumlah US$1.2 bilion yang akan matang pada Julai 2016 serta bagi membiayai perbelanjaan pembangunan.

Penawaran Global Sukuk ini menggunakan struktur berlandaskan prinsip Wakala. Aset bagi terbitan ini merangkumi 100% aset bukan fizikal, iaitu baucar mewakili hak kepada unit perjalanan tertentu serta saham patuh Shariah. Kombinasi aset yang unik ini merupakan suatu pembaharuan dan menjadi penanda aras dalam terbitan sukuk berdaulat, di mana ia adalah pertama kali diterbitkan oleh sebuah Kerajaan tanpa melibatkan sebarang aset fizikal (seperti tanah dan bangunan) atau komoditi Murabaha. Struktur berinovasi ini bukan sahaja membuka laluan untuk struktur sedemikian diguna pakai oleh kerajaan lain, malah ia turut memperkukuhkan lagi kedudukan Malaysia selaku peneraju dalam kewangan Islam antarabangsa.

Berikutan siri jelajah yang merangkumi pelabur Asia, Timur Tengah, Eropah dan Amerika Syarikat, terbitan Wakala Global Sukuk ini telah menarik minat pelabur secara meluas daripada pelbagai institusi dalam dan luar negara. Bagi Sukuk bertempoh matang 10 tahun, sebanyak 65% telah diagihkan kepada pelabur dari seluruh Asia, 19% kepada pelabur Timur Tengah, 11% kepada pelabur Eropah, dan 5% kepada pelabur Amerika Syarikat. Bagi Sukuk bertempoh matang 30 tahun pula, sebanyak 54% telah diagihkan kepada pelabur dari seluruh Asia, 12% kepada pelabur Eropah, 24% kepada pelabur Amerika Syarikat dan 10% kepada pelabur Timur Tengah.

Panduan harga awal Sukuk bertempoh matang 10 tahun adalah pada 150 mata asas dan 165 mata asas bagi Sukuk bertempoh matang 30 tahun. Sepanjang transaksi ini dilaksanakan, panduan mata asas ini berkurangan kepada kadar yang lebih rendah iaitu 135 dan 145 mata asas. Kedudukan ini menunjukkan terbitan Sukuk ini tidak mempunyai sebarang premium terbitan baharu berbanding keluk hasil Sukuk Kerajaan Malaysia sedia ada.

Menurut Tan Sri Dr. Mohd Irwan Serigar Bin Abdullah, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Kementerian Kewangan yang mengetuai siri jelajah ini, “Kami amat berbesar hati memperkenalkan Sukuk berinovatif ini selaras dengan aspirasi negara untuk mempergiat pembangunan pasaran kewangan Islam. Kami sangat berpuas hati dengan sambutan para pelabur dan keyakinan mereka terhadap kedudukan kredit Malaysia. Para pelabur mengakui walaupun dalam suasana luaran yang mencabar, Malaysia antara ekonomi yang kekal pesat berkembang di rantau Asia dan terus melaksanakan langkah konsolidasi fiskal serta pada masa yang sama memastikan kestabilan dasar monetari dan kewangan negara. Penerbitan Sukuk ini merupakan pencapaian yang amat membanggakan, menyaksikan penetapan harga pada tahap yang rendah serta sambutan pelabur yang amat menggalakkan”.

Sukuk ini dijangka diberi penarafan kredit A- oleh Fitch Ratings Ltd. dan Standard and Poor’s Rating Services (suatu bahagian dalam The McGraw-Hill Companies, Inc) dan A3 oleh Moody’s Investors Services Limited. Penetapan harga transaksi ini berjaya dilaksanakan setelah siri jelajah bagi mempromosi Sukuk pada peringkat global diadakan merentasi pusat kewangan utama meliputi Kuala Lumpur, Hong Kong, Singapura, Abu Dhabi, Dubai, London dan New York. CIMB, HSBC, J.P. Morgan dan Maybank merupakan Joint Bookrunners dan Joint Lead Managers bagi terbitan ini.

Kementerian Kewangan Malaysia
Putrajaya
21 April 2016

 Muat Turun PDF