wrapper

Topik Popular

Pernyataan Dasar Monetari

Pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) hari ini, Bank Negara Malaysia memutuskan untuk mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 3.00 peratus.

Ekonomi global terus berkembang pada kadar yang sederhana. Pertumbuhan merentas ekonomi maju adalah sederhana. Di Asia, aktiviti ekonomi telah disokong oleh permintaan dalam negeri dalam keadaan pertumbuhan eksport yang lebih lemah. Meskipun ketidaktentuan dalam pasaran kewangan antarabangsa telah reda, pasaran masih mudah terjejas kepada gangguan-gangguan dan perubahan sentimen. Melangkah ke hadapan, risiko pertumbuhan global menjadi lebih perlahan kekal tinggi berikutan ketidakpastian terhadap momentum pertumbuhan dan peralihan dasar dalam ekonomi maju serta isu yang belum selesai selepas referendum EU di United Kingdom.

Bagi Malaysia, pertumbuhan menjadi sederhana sedikit pada suku kedua tahun ini, berikutan eksport bersih yang lebih lemah dan ambilan stok. Walau bagaimanapun, permintaan dalam negeri terus menjadi pemacu utama pertumbuhan, dengan penggunaan dan pelaburan swasta berkembang pada kadar yang lebih cepat. Melangkah ke hadapan, penggunaan swasta akan terus disokong oleh pertumbuhan upah dan guna tenaga, dengan dorongan tambahan daripada pengumuman langkah-langkah Kerajaan untuk meningkatkan pendapatan boleh guna. Aktiviti pelaburan akan terus diterajui oleh projek-projek infrastruktur yang sedang dilaksanakan dan perbelanjaan modal dalam sektor perkilangan dan perkhidmatan. Dalam sektor luaran, pertumbuhan eksport dijangka kekal lemah berikutan permintaan yang lembap daripada negara perdagangan utama Malaysia. Secara keseluruhan, ekonomi diunjurkan berkembang seperti yang dijangkakan pada tahun 2016, dan kekal pada landasan pertumbuhan yang stabil pada tahun 2017.

Inflasi keseluruhan menjadi sederhana kepada 1.1% pada bulan Julai. Inflasi dijangka berada pada paras lebih rendah dalam julat 2 hingga 3% bagi tahun 2016 dan kekal stabil secara relatif pada tahun 2017 memandangkan persekitaran harga tenaga dan komoditi dunia adalah lembap, dan inflasi global pada amnya rendah.

Keadaan kewangan domestik kekal stabil sejak mesyuarat MPC yang lalu dengan pasaran kewangan terus berfungsi dengan teratur. Institusi kewangan terus beroperasi dengan modal dan penampan mudah tunai yang kukuh serta peningkatan pembiayaan kepada sektor swasta yang sejajar dengan kadar perkembangan aktiviti ekonomi. Mudah tunai sistem perbankan kekal lebih daripada mencukupi.

Pada kadar semasa OPR, tahap akomodatif monetari adalah konsisten dengan pendirian dasar untuk memastikan ekonomi dalam negeri terus berada pada landasan pertumbuhan yang mampan dalam keadaan inflasi yang stabil, disokong oleh pengantaraan kewangan dalam ekonomi yang terus kukuh. MPC akan terus memantau dan menilai keseimbangan risiko terhadap prospek pertumbuhan domestik dan inflasi.

Bank Negara Malaysia
7 September 2016


Diterbitkan oleh:
Jabatan Komunikasi Strategik, Tingkat 14, Blok B, Bangunan Bank Negara Malaysia,
Jalan Dato’ Onn, 50480 Kuala Lumpur, Malaysia.
Telefon: +60(3) 2698 8044 Faksimili: +60(3) 2693 6919
Web: www.bnm.gov.my