wrapper

Topik Popular

KENYATAAN AKHBAR YAB PERDANA MENTERI
DI MESYUARAT MAJLIS KEWANGAN NEGARA TAHUN 2016

1. Mesyuarat Majlis Kewangan Negara ini diadakan selaras dengan Perkara 108 Perlembagaan Persekutuan. Mesyuarat ini bertujuan untuk membincangkan perkara yang melibatkan pengurusan kewangan Kerajaan Negeri dan isu-isu yang berkaitan dengannya. Mesyuarat pada hari ini telah membincangkan beberapa perkara yang menyentuh kepentingan bersama Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.

2. Majlis Kewangan Negara bersetuju supaya Kerajaan Persekutuan menyediakan caruman kepada Kumpulan Wang Rizab Negeri (KWRN) sebanyak RM330 juta iaitu caruman bagi Tahun 2018 bagi membiayai Pemberian Kepada Negeri-Negeri Yang Menghadapi Kekurangan Wang Dalam Akaun Mengurus dan juga bagi membiayai Pemberian Berdasarkan Tahap Pembangunan Ekonomi, Infrastruktur Dan Kesejahteraan Hidup (TAHAP). Untuk rekod, caruman yang telah diluluskan pada tahun 2016 ialah sebanyak RM580 juta manakala pada tahun 2017 sebanyak RM530 juta.

3. Majlis Kewangan Negara telah bersetuju dengan cadangan Jawatankuasa Hasil Negeri supaya Kerajaan Negeri mengambil langkah proaktif secara berterusan untuk mengurangkan tunggakan kutipan hasil negeri. Secara purata, jumlah tunggakan hasil negeri bagi tempoh tahun 2011 – 2015 melebihi RM2 bilion setahun. Antara inisiatif yang telah dilaksanakan oleh Kerajaankerajaan Negeri termasuk pemberian insentif pembayaran cukai awal sebanyak 10% serta penyediaan van kaunter hasil bergerak. Usaha semua Kerajaan Negeri dalam mengurangkan tunggakan hasil ini akan dipantau dari semasa ke semasa dan dilaporkan kepada Majlis Kewangan Negara.

4. Majlis Kewangan Negara juga telah bersetuju supaya Jawatankuasa Pemulihan Pinjaman (Loan Recovery Committee (LRC)) ditubuhkan dengan diterajui oleh Kementerian Kewangan. Terma rujukan yang telah digariskan adalah mengenal pasti pinjaman yang tertunggak dan mencadangkan tindakan penyelesaian. Di samping itu, Jawatankuasa tersebut hendaklah memantau dan melaporkan kepada ahli Majlis berkenaan tindakan penyelesaian tunggakan pinjaman yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri.

5. Majlis Kewangan Negara juga telah menerima laporan akan kedudukan prestasi perbelanjaan Pemberian Penyenggaraan Jalan Negeri (Pemberian MARRIS) oleh Kerajaan Negeri adalah semakin baik. Pada tahun 2015, prestasi perbelanjaan adalah sebanyak 110.4%, lebih tinggi berbanding tahun 2014 sebanyak 91.3%. Oleh itu, adalah diharapkan agar semua Kerajaan Negeri komited untuk meningkatkan prestasi penggunaan Pemberian MARRIS dan memastikan pemberian tersebut dibelanjakan untuk tujuan yang disasarkan demi menjamin keselamatan dan keselesaan rakyat.

Kementerian Kewangan
PUTRAJAYA
14 Jun 2016

 Muat Turun PDF