wrapper

Topik Popular

KENYATAAN YB DATO’ SERI AHMAD HUSNI HANADZLAH, MENTERI KEWANGAN II

KERAJAAN KOMITED MELAKSANA KONSOLIDASI FISKAL

1. Kerajaan komited melaksana konsolidasi fiskal ke atas kewangan Kerajaan Persekutuan 2016 dalam menghadapi cabaran semasa ekonomi global yang tidak menentu.

2. Pertumbuhan ekonomi dunia dijangka lebih perlahan daripada 3.4% kepada 3.2% seperti diunjurkan oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan ini akan memberi impak kepada ekonomi domestik. Namun, Kerajaan komited untuk meneruskan langkah konsolidasi fiskal dan defisit fiskal negara dijangka dapat dikurangkan kepada 3.1% daripada KDNK pada tahun 2016.

3. Kerajaan akan terus mengoptimumkan perbelanjaan dan menyusun semula projek pembangunan mengikut keutamaan. Kementerian dan agensi pula dikehendaki melaksanakan perbelanjaan yang lebih berhemat seperti berikut:

  1. Penyusunan semula program dan projek mengikut keutamaan;
  2. Pengurusan pengambilan penjawat awam secara lebih berhemat. Tiada pewujudan unit atau institusi baharu;
  3. Pelantikan perunding luar tidak dibenarkan kecuali bagi projek berteknologi tinggi yang memerlukan kepakaran khusus; dan
  4. Pematuhan kepada Garis Panduan Langkah-langkah Mengoptimumkan Perbelanjaan Kerajaan antaranya:
    1. Lawatan rasmi dan bilangan pegawai ke luar Negara dihadkan;
    2. Keutamaan penganjuran majlis di premis Kerajaan;
    3. Penglibatan sektor swasta dan penganjuran program Kerajaan secara corporate social responsibility; dan
    4. Mengurangkan kos pentadbiran seperti percetakan dan pembekalan.

 

4. Kerajaan akan terus melaksanakan projek-projek pembangunan berimpak tinggi seperti MRT, LRT dan Lebuh raya Pan Borneo yang mempunyai kesan pengganda yang besar kepada ekonomi. Kerajaan juga akan terus melaksanakan projek-projek yang memberi manfaat kepada rakyat keseluruhannya.

5. Kerajaan akan turut memantau secara rapi perkembangan ekonomi domestik dan melaksanakan inisiatif bagi merancakkan sektor eksport, industri pelancongan serta meningkatkan pelaburan dan penggunaan swasta, antaranya seperti berikut:

  1. Mengurangkan non-tariff barriers di kalangan negara ASEAN;
  2. Meningkatkan akses pasaran secara agresif seperti di India, Timur Tengah dan Eropah Timur;
  3. Meluaskan peluang pasaran dalam “Rebalancing of China” termasuk industri halal, kewangan Islam, perkhidmatan kesihatan, pelancongan dan produk pertanian;
  4. Menyediakan Blueprint pembangunan Ekonomi Digital merangkumi garis panduan dan kawal selia untuk pengusaha dan pelabur;
  5. Memperluas fasiliti e-visa ke negara-negara lain seperti Russia dan India;
  6. Mempromosi produk pelancongan khusus seperti eco-tourism, health tourism dan tempat bersejarah;
  7. Menggalakkan pelaburan daripada luar negara melalui kerjasama di antara MIDA, MITI, Invest KL dan pejabat kedutaan di luar negara; dan
  8. Menggalakkan penggunaan swasta melalui peningkatan pendapatan boleh guna.

 

6. Dengan langkah-langkah tersebut, Kerajaan yakin unjuran pertumbuhan ekonomi domestik antara 4% hingga 4.5% boleh dicapai pada tahun ini.

Kementerian Kewangan Malaysia
Putrajaya
9 Jun 2016