wrapper

Topik Popular

TEKS UCAPAN

YB. DATUK JOHARI BIN ABDUL GHANI
TIMBALAN MENTERI KEWANGAN

SEMPENA

PERASMIAN
SEMINAR DASAR PEMATUHAN BARU
EJEN KASTAM 2016

Masa : 9.00 Pagi
Tempat : Dewan Plenari, PICC Putrajaya
Tarikh : 16 Februari 2016 (Selasa)


YBhg. Tan Sri Dr. Mohd Irwan Serigar Bin Abdullah
Ketua Setiausaha Perbendaharaan

YBhg. Dato’ Sri Khazali Bin Haji Ahmad
Ketua Pengarah Kastam Malaysia

YBhg.Dato’ Haji Matrang Bin Suhaili
Timbalan Ketua Pengarah Kastam
(Penguatkuasaan Dan Pematuhan)

YBhg. Dato’ Haji Abdul Rahman Bin Othman
Timbalan Ketua Pengarah Kastam
(Pengurusan)

YBhg. Dato’ Subromaniam Tholasy
Timbalan Ketua Pengarah Kastam
(Perkastaman Dan GST)

YBhg. Dato’ Haji Hassan Bin Ibrahim
Penolong Ketua Pengarah Kastam
(Penguatkuasaan)

Dif-dif jemputan, para peserta seminar, tuan-tuan, puan-puan serta hadirin yang saya hormati sekalian,

Assalamualaikum w.t.b, salam sejahtera dan salam sehati sejiwa.

PENDAHULUAN

1. Alhamdullilah, marilah kita mengucapkan syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin-Nya, kita semua dapat berkumpul pada hari ini. Terima kasih dan tahniah saya ucapkan kepada Jabatan Kastam DiRaja Malaysia atas penganjuran Seminar Dasar Pematuhan Baru Ejen Kastam 2016 yang julung kalinya dianjurkan dalam skala yang besar.

2. Penganjuran seminar berskala besar seperti ini telah membuktikan bahawa Jabatan Kastam telah melangkah setapak ke hadapan melalui pendekatan smart-partnership dalam memberi pendedahan dasar pematuhan baru ejen kastam, terutamanya dalam aspek pengikraran kastam yang berkualiti.

3. Saya difahamkan sebagai permulaan, Jabatan Kastam akan melaksanakan seminar ini di Zon Tengah sahaja yang akan melibatkan 920 ejen sebelum diperluaskan ke seluruh negara dan akan dilaksanakan mengikut zon iaitu Zon Utara, Zon Selatan, Zon Timur serta zon Sabah dan Sarawak.

CABARAN EKONOMI BAGI TAHUN 2016

Para hadirin yang saya hormati sekalian,

4. Tahun 2016 dijangka tahun yang lebih mencabar berikutan pertumbuhan ekonomi global yang dijangka akan lebih perlahan, iaitu daripada 3.6 % kepada 3.4%. Perdagangan dunia juga dijangka menyusut iaitu daripada 4.1% kepada 3.4%. Ini adalah kerana kebanyakan ekonomi negara seperti Afrika Selatan, Amerika Syarikat, Brazil dan China juga dijangka berkembang dengan lebih perlahan.

5. Bukan itu sahaja, negara kita turut berdepan dengan penurunan harga minyak mentah yang amat ketara. Harga purata minyak mentah Brent telah menjunam daripada USD98.94 setong pada tahun 2014 kepada USD30.80 setong pada Januari 2016. Di samping itu juga, pengukuhan kadar tukaran dolar Amerika berbanding mata Ringgit telah menyebabkan nilai Ringgit telah menyusut kepada 4.15 ringgit berbanding dolar Amerika pada Januari 2016.

PENGUBAHSUAIAN BAJET 2016

Hadirin sekalian,

6. Perkembangan senario ekonomi semasa ini ternyata memberi kesan signifikan kepada hasil negara dan tempiasnya turut dirasai oleh ekonomi domestik serta memberi kesan kepada peningkatan kos sara hidup rakyat.

Sehubungan dengan itu, pada 28 Januari 2016 yang lalu, Kerajaan telah mengumumkan pengubahsuaian Bajet 2016 bagi memastikan ekonomi dan kewangan negara kekal pada jajaran yang betul serta paling utama untuk menjaga kebajikan rakyat.

7. Sebanyak 11 langkah akan diambil dalam pengubahsuaian Bajet 2016 yang memberikan penjimatan sebanyak RM9 bilion. Langkah ini turut dilihat sebagai langkah proaktif, telus dan realistik bertunjangkan kepada prinsip shared responsibility di segenap lapisan masyarakat.

8. Di antara langkah tersebut termasuklah meningkatkan jumlah dan kecekapan kutipan hasil yang pastinya akan memerlukan kerjasama daripada pelbagai pihak termasuklah Jabatan kastam dan para ejen iaitu:

  1. Menggandakan usaha pematuhan dan pengauditan terhadap pengelak cukai atau tax evaders.
  2. Memberi pertimbangan khas dengan mengurangkan penalti kepada pembayar cukai bagi menggalakkan pembayar cukai tampil melaporkan pendapatan tahun ke belakang. Tunggakan cukai perlu dilangsaikan sebelum 31 Disember 2016.
  3. Menstrukturkan semula saluran jualan rokok dan minuman keras, untuk dihadkan kepada kedaikedai Bebas Cukai yang dilesenkan oleh Jabatan Kastam bagi mengurangkan ketirisan yang mengakibatkan kehilangan hasil hampir RM1 bilion.
  4. Memperketatkan pengecualian cukai kenderaan import di Pulau Bebas Cukai (penstrukturan ini tidak akan melibatkan penduduk tempatan dan pelancong di pulau bebas cukai).

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

9. Hasil Kerajaan Persekutuan pada tahun 2016 dianggarkan antara RM216.3 billion hingga RM217.9 billion. Hasil kutipan GST sahaja bagi tahun 2016 di anggarkan meningkat kepada RM39 billion berbanding RM27.126 billion pada tahun 2015.

10. Pelaksanaan GST pada peringkat awal dilihat sebagai tidak popular, kini telah dilihat sebagai ‘penyelamat’ ekonomi negara kerana telah menampung hasil Kerajaan kesan daripada pengurangan hasil berasaskan minyak. Kejatuhan harga minyak yang dijangka kekal rendah pada tahun 2016 menjadikan sumbangan GST amat penting bagi memastikan kedudukan defisit negara kekal pada paras 3.1% daripada KDNK.

11. Saya ingin menegaskan bahawa Jabatan Kastam merupakan agensi terpenting kepada kutipan hasil negara bagi cukai tidak langsung termasuklah duti eksais, duti import, duti eksport dan GST. Kecekapan Jabatan Kastam dalam melakukan tugas dan tanggungjawab mereka jelas telah dapat membantu Kerajaan menguruskan kedudukan fisikal yang mapan dalam mengejar cita-cita menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020. Syabas dan tahniah kepada Jabatan Kastam.

PENUTUP

12. Saya percaya, langkah proaktif yang diambil oleh Jabatan Kastam melalui hubungan bestari dan harmonis dengan ejen-ejen kastam ini akan memberi faedah kepada kedua-dua pihak dalam memantapkan usaha ke arah meningkatkan kutipan hasil negara.

13. Saya turut mengambil kesempatan ini merakamkan penghargaan kepada ejen-ejen kastam yang hadir ke seminar ini dengan komitmen serta kesediaan yang tinggi bagi memastikan input daripada seminar ini akan dapat dijadikan panduan supaya hasil dapat dipungut dengan betul dan tepat serta mengelakkan kehilangan hasil Kerajaan.

14. Dengan lafaz Bismillhirahmanirrahim, saya dengan ini merasmikan Seminar Dasar Pematuhan Baru Ejen Kastam 2016.

Sekian, wabillahitaufik walhidayah assalamualaikum w.b.t

Terima kasih.


Muat Turun PDF