wrapper

Topik Popular

TALKING POINTS
YAB DATO’ SRI MOHD NAJIB BIN TUN HAJI ABDUL RAZAK
PERDANA MENTERI MALAYSIA
MAJLIS ANUGERAH PERKHIDMATAN CEMERLANG
PERBENDAHARAAN MALAYSIA TAHUN 2015
PADA 31 MEI 2016 (SELASA), JAM 3.00 PETANG
BERTEMPAT DI DEWAN UTAMA
KEMENTERIAN KEWANGAN, PUTRAJAYA

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Satu Malaysia.

Yang Berhormat Dato’ Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah;
Menteri Kewangan Kedua,

Yang Berhormat Datuk Chua Tee Yong;
Yang Berhormat Datuk Johari Abdul Ghani;
Timbalan-Timbalan Menteri Kewangan,

Yang Berbahagia Tan Sri Dr. Mohd Irwan Serigar bin Abdullah;
Ketua Setiausaha Perbendaharaan,

Dif-dif Kehormat dan penerima-penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2015.

Tuan-tuan dan Puan-puan yang saya hormati sekalian,

1. Bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana dengan keizinan dan kurniaNya jua, kita dapat bertemu dalam Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2015 yang diadakan pada hari ini.

2. Dalam usaha kita ke arah transformasi negara, perkhidmatan awam merupakan komponen penting dan penghubung dalam menterjemahkan visi Kerajaan kepada program-program yang boleh dilaksanakan.

3. Justeru Kerajaan akan meneruskan Agenda Transformasi Negara yang telah dilaksanakan sebelum ini, melalui Program Transformasi Kerajaan (GTP), Program Transformasi Ekonomi (ETP), dan Program Transformasi Sosial. Program-program ini telah dan akan terus dijadikan landasan untuk kita bergerak ke hadapan, demi mencapai Wawasan 2020. Kerajaan komited untuk bersama-sama memastikan manfaat daripada usaha ke arah negara maju ini dinikmati oleh semua lapisan masyarakat.

PERKEMBANGAN EKONOMI NEGARA SEMASA

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

4. Ekonomi Malaysia berkembang pada kadar 5% pada tahun 2015 berbanding tahun sebelumnya. Ekonomi negara terus berkembang pada suku pertama tahun ini dengan mencatat pertumbuhan sebanyak 4.2% berbanding tempoh yang sama tahun lalu. Sektor perkhidmatan merupakan penyumbang terbesar kepada ekonomi pada masa ini dengan pertumbuhan pada kadar 5.1%.

5. Di samping sektor perkhidmatan, sektor perkilangan juga terus memainkan peranan yang penting kepada ekonomi Malaysia sebagai penyumbang kedua terbesar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Pada suku pertama tahun ini sektor perkilangan berkembang sebanyak 4.5% dengan output dan jualan masing-masing sebanyak 4.3 % dan 1.8%.

6. Pendapatan Kerajaan bagi suku pertama tahun ini menurun sebanyak 5.3% kepada 48.8 billion Ringgit berbanding tempoh yang sama tahun lepas. Di sini, saya ingin menyeru agar warga Perbendaharaan perlu sentiasa mengamalkan perbelanjaan berhemah terutama dalam suasana kewangan awam yang mencabar sekarang ini. Walaupun pendapatan Kerajaan merosot pada tahun ini akibat kejatuhan harga minyak, Kerajaan tetap memberi perhatian kepada kebajikan demi kesejahteraan penjawat awam. Pada tahun ini semua penjawat awam akan menerima satu kenaikan gaji tahunan pada bulan Julai nanti.

7. Usaha-usaha Kerajaan selama ini telah membuahkan hasil yang patut kita semua banggakan. Jika kita bandingkan pada tahun 1970 dahulu, pendapatan Kerajaan hanyalah berjumlah 2.4 billion Ringgit sahaja. Menjelang tahun 1990 ia meningkat kepada 30 billion sebelum berganda kepada 61 billion pada tahun 2000. Dan pada tahun lepas (2015) pendapatan Kerajaan telah melebihi 220 billion yang kita gunakan untuk perlbagai program dan projek demi meningkatkan kesejahteraan rakyat.

8. Peningkatan hasil Kerajaan saban tahun ini, membuktikan kita dapat mentadbir kewangan negara dengan baik dan berhemah walaupun kita perlu bergelut dan berhadapan dengan cabaran ekonomi dunia. Dalam hal ini, Perbendaharaan Malaysia telah memainkan peranan yang penting dan saya boleh katakan efisien. Kita sentiasa memantau dan mengambil langkah proaktif dalam berhadapan dengan cabaran ekonomi semasa, bagi memastikan ekonomi negara kekal stabil dan mampan.

LAPORAN WORLD BANK EASE OF DOING BUSINESS 2016

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

9. Malaysia telah menunjukkan pencapaian yang membanggakan dari sudut ekonomi secara keseluruhan. Melalui laporan terkini World Bank Ease Of Doing Business Report 2016, World Bank meletakkan Malaysia di tangga ke-18 negara yang mudah melaksanakan urusan perniagaan. Pencapaian ini menunjukkan prestasi daya saing negara di peringkat global masih kukuh lagi.

10. Laporan IFC World Bank Doing Business 2016 ini, yang meliputi 189 negara, meletakkan Malaysia di hadapan Switzerland (ke-26), Perancis (ke-27), Netherlands (ke-28), Japan (ke-34) dan Thailand (ke-49). Malaysia berkedudukan kedua antara negara-negara ASEAN dan kelima antara Negara-negara Asia selepas Singapura, Hong Kong, Republik Korea dan Taiwan.

PENGORBANAN PENJAWAT AWAM DALAM PELAKSANAAN CUKAI BARANG DAN PERKHIDMATAN (GST)

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

11. Pegawai dan kakitangan Kementerian Kewangan sememangnya telah menunjukkan tahap profesionalisma yang tinggi, berpengetahuan luas dan mempunyai daya tahan dalam melaksanakan tugas harian bagi merealisasikan agenda negara. Ini dapat dilihat apabila negara berjaya melaksanakan GST pada tahun 2015.

12. Kegigihan dan komitmen pegawai Kementerian Kewangan termasuk Jabatan Kastam Diraja Malaysia di dalam memastikan GST bukan sahaja dapat dilaksanakan pada 1 April 2015, tetapi dilaksanakan tanpa sebarang masalah yang besar dan mencapai sasaran yang ditetapkan amat dihargai. GST telah terbukti sebagai langkah tepat diambil oleh Kerajaan dan kena pada masanya dalam memastikan kedudukan kewangan dan ekonomi negara terjamin ekoran dari pengurangan hasil cukai petroleum. Pada tahun 2015, kutipan hasil GST adalah sebanyak RM27.01 bil dan jangkaan kutipan GST bagi tahun 2016 adalah sebanyak RM39 bilion.

PENGHARGAAN KEPADA PENJAWAT

13. Justeru, pada hari ini sekali lagi saya dapat bersama-sama untuk meraikan 81 orang penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2015 Perbendaharaan Malaysia. Saya ingin mengucapkan tahniah kepada 81 penerima anugerah pada hari ini. Sesungguhnya anugerah ini diberi sebagai menghargai anggota Perbendaharaan yang telah menunjukkan prestasi cemerlang pada tahun 2015.

14. Jadikan anugerah ini sebagai pemangkin untuk terus berusaha lebih gigih bagi menghasilkan kualiti kerja yang cemerlang. Semoga anda semua mendapat suntikan baru untuk terus memperbaiki prestasi dan meningkatkan hasil kerja masing-masing.

15. Selain untuk diri sendiri, penghargaan juga adalah sebagai simbolik penghargaan kepada Kerajaan yang telah memberi banyak kemudahan dan manfaat kepada anggota perkhidmatan awam.

PESANAN

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

16. Saya suka menekankan di sini bahawa, penjawat awam dan institusi perkhidmatan awam merupakan kumpulan yang sangat penting dalam menentukan segala yang telah dirancang dan dibentangkan sebagai agenda utama dan dasar negara, dapat dilaksanakan dan kesan atau impaknya dapat sampai kepada kumpulan sasar dan rakyat keseluruhannya.

PENUTUP

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

17. Kita akan menyambut Bulan Ramadan Al Mubarak tidak lama lagi dan saya ingin mengucapkan Selamat Berpuasa kepada semua rakyat Malaysia yang beragama Islam amnya dan warga Kementerian Kewangan khasnya.

18. Akhir kata, tahniah sekali lagi diucapkan kepada penerima-penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2015 dan seterusnya selamat maju jaya.

Sekian terima kasih.

Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.