wrapper

Topik Popular

Akta Penghasilan Bersih Perjanjian Kewangan 2015 berkuat kuasa hari ini. Akta ini memperuntukkan suatu rangka kerja perundangan ke atas penghasilan bersih penamat bagi transaksi kewangan di Malaysia yang selaras dengan amalan antarabangsa. Penghasilan bersih penamat merupakan suatu mekanisme pengurusan risiko penting yang digunakan oleh institusi-institusi kewangan dan peserta-peserta pasaran kewangan yang lain dalam transaksi derivatif kewangan dan transaksi beli semula. Akta ini memberi jaminan bahawa mekanisme penghasilan bersih penamat bagi transaksi kewangan boleh dikuatkuasakan di bawah undang-undang. Ini dapat mengurangkan risiko kredit dengan membenarkan pihak-pihak di bawah perjanjian transaksi kewangan untuk menjelaskan (“net off”) pendedahan risiko kredit dengan nilai bersih dan bukannya nilai kasar, seterusnya menambahbaik keberkesanan operasi dan mengurangkan risiko sistemik di dalam pasaran kewangan.

Dengan penguatkuasaan Akta ini, keberkesanan pasaran kewangan di Malaysia dapat dipertingkatkan memandangkan bank-bank di Malaysia dapat berurus dengan pihak-pihak antarabangsa secara lebih kompetitif dan menawarkan instrumen-instrumen perlindungan baru dan produk-produk kewangan yang inovatif untuk kegunaan syarikat-syarikat korporat, perniagaan dan para pengguna. Akta ini akan menggalakkan perkembangan pasaran kewangan yang lebih pesat dan berdaya saing di Malaysia.

 

Kementerian Kewangan Malaysia
Putrajaya
16 April 2015

Download PDF