wrapper

Topik Popular

Satu sesi dialog di antara wakil-wakil rakyat dengan Kementerian Kewangan telah diadakan semalam untuk mendapat pandangan, cadangan dan maklum balas sebagai input Bajet 2016 yang akan dibentangkan pada 23 Oktober 2015 oleh YAB Datuk Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Malaysia.

Perkembangan ekonomi global yang lebih mencabar, kejatuhan harga komoditi utama seperti minyak, kelapa sawit dan getah serta penyusutan nilai ringgit telah dibangkitkan. Keadaan ini sedikit sebanyak akan memberi tempias kepada ekonomi domestik. Oleh itu, perancangan yang rapi perlu diberi penekanan seawal mungkin.

Antara perkara yang dibincangkan termasuk touch points yang memberi tumpuan kepada kos sara hidup, infrastruktur, pembangunan seimbang antara bandar dan luar bandar serta Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak. Selain itu, kemudahan bekalan air dan elektrik luar bandar serta pembinaan jalan-jalan kampung juga diutarakan. Kerajaan disaran memberi tumpuan kepada rakyat luar bandar, golongan B40 dan golongan pertengahan.

Aspek mengenai penyediaan perumahan mampu milik dan selesa telah dibincang terutama bagi golongan berpendapatan rendah dan menengah. Oleh itu, disarankan lebih banyak rumah mampu milik dan mesra rakyat dibina.

Memandangkan ekonomi dunia dan domestik dijangka berkembang perlahan, keutamaan akan diberikan kepada program dan projek berpaksikan rakyat. Agensi-agensi kerajaan perlu bekerjasama bagi mengelakkan berlakunya pertindihan fungsi dan program. Dengan itu, agensi kerajaan akan dapat mengurangkan pembaziran dan melaksanakan program yang memberi impak tinggi.

Kerajaan akan mengotakan akujanji yang telah dibuat dan dalam masa yang sama, memastikan pertumbuhan ekonomi serta kedudukan kewangan kekal mapan. Segala saranan, cadangan dan pandangan wakil rakyat diteliti untuk dijadikan input Bajet 2016.

 

Kementerian Kewangan Malaysia
30 September 2015

Muat Turun PDF