wrapper

Topik Popular

Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (Islamic Financial Services Act 2013, IFSA) telah memperkenalkan dua klasifikasi utama produk yang bertujuan untuk menerima wang daripada pelanggan oleh institusi perbankan Islam, iaitu:

  1. Deposit Islam; dan
  2. Akaun pelaburan.

 

Perbezaan ini membolehkan institusi perbankan Islam membangunkan rangkaian produk yang lebih luas bagi kedua-dua klasifikasi untuk memenuhi keperluan pelanggan yang pelbagai. Oleh itu, pelanggan akan berupaya untuk menilai sesuatu produk yang ditawarkan oleh institusi perbankan Islam dengan lebih baik dan membuat keputusan berdasarkan maklumat yang mencukupi berhubung dengan pilihan produk perbankan Islam.

Dua tahun tempoh peralihan

Di bawah Akta Perbankan Islam 1983 (Islamic Banking Act 1983, IBA) yang dimansuhkan, semua wang yang diterima daripada pelanggan diklasifikasikan sebagai deposit Islam, yang terdiri daripada produk deposit dan produk pelaburan.

Sehubungan dengan itu, institusi perbankan Islam dikehendaki mengklasifikasikan semula deposit Islam masing-masing di bawah IBA kepada deposit Islam dan akaun pelaburan di bawah IFSA. Bagi memastikan proses mengklasifikasikan semula ini berjalan lancar dan efektif, tempoh peralihan selama dua tahun sehingga 30 Jun 2015 telah diberikan kepada institusi perbankan Islam.

nstitusi perbankan Islam akan berhubung dan berbincang dengan pelanggan mereka untuk memberikan maklumat dan penjelasan tentang perbezaan antara produk deposit Islam dengan akaun pelaburan serta pilihan yang ada kepada mereka sama ada untuk mengekalkan simpanan mereka dalam deposit Islam atau memilih akaun pelaburan. Institusi perbankan Islam akan memberikan tempoh masa yang mencukupi kepada pelanggan untuk membuat keputusan.

Dalam tempoh peralihan itu, semua deposit Islam (yang diterima di bawah IBA) akan terus dilindungi oleh Perbadanan Insurans Deposit Malaysia. Institusi perbankan Islam juga akan memastikan hak pengguna dijaga sepanjang tempoh peralihan.

Institusi perbankan Islam akan menyediakan talian penting, pusat panggilan dan staf barisan hadapan di ibu pejabat dan cawangan-cawangan masingmasing untuk memberikan maklum balas terhadap pertanyaan lanjut oleh pelanggan.

Orang ramai juga boleh menghubungi Persatuan Bank-bank Islam (Association of Islamic Banks in Malaysia, AIBIM) di talian 03-20268002/ 8003 dan BNMLINK Bank Negara Malaysia di talian 1-300-88-5465.

Bank Negara Malaysia
19 Mac 2014

 Muat Turun PDF