wrapper

Topik Popular

Mulai Oktober 2013 Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) akan mempergiatkan usaha untuk mengenal pasti pembayar cukai yang gagal menjelaskan amaun cukai tertunggak mereka.

Selain daripada pengeluaran surat peringatan dan notis cukai tertunggak kepada pembayar cukai yang ingkar, LHDNM juga akan menguatkuasakan tindakan melarang mereka meninggalkan negara di bawah Seksyen 104 Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP 1967) dan Seksyen 22 Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah 1976 (ACKHT 1976) sehingga cukai tersebut dibayar sepenuhnya.

Tindakan larangan meninggalkan negara ini umumnya akan dikenakan hanya setelah pelbagai usaha pemungutan diambil namun masih gagal akibat daripada kedegilan pembayar cukai sendiri.

Justeru, bagi menjamin keadilan sistem percukaian kepada semua pembayar cukai, LHDNM terpaksa mengambil langkah drastik ini agar tidak ada yang terlepas daripada tanggungjawab untuk menjelaskan cukai yang dikenakan ke atas mereka.

Pembayar cukai yang mempunyai masalah dalam menjelaskan baki cukai tertunggak mereka sepatutnya tidak mengambil sikap berdiam diri apabila menerima surat peringatan daripada LHDNM, sebaliknya mereka dinasihatkan agar menghubungi LHDNM supaya jadual ansuran bayaran boleh diproses dengan kadar segera.

Pembayar cukai hendaklah memahami bahawa cukai yang dikutip membantu kerajaan menyediakan kemudahan-kemudahan serta infrastruktur pembangunan seperti yang dirancang. LHDNM percaya bahawa negara yang berjaya mampu memberikan kemakmuran untuk dikongsi oleh setiap rakyatnya dan juga generasi masa hadapan.

Teruslah menyumbang untuk kesejahteraan dan pembangunan negara.

 Muat Turun PDF