Integrated Sistem Pemantauan Aduan Agensi Awam
  MAKLUMBALAS BARU   SOALAN LAZIM
  SEMAK MAKLUMBALAS   PEGAWAI DAFTAR
picture PROSES MEMBUAT ADUAN    
Aduan dipantau oleh Biro Pengaduan Awam, Jabatan Perdana Menteri
Majlis Perasmian Logo Baru, Cawangan Model Dan Pusat Mikro Kewangan Zon Utara Bank Simpanan Nasional Cetak Emel


MAJLIS PERASMIAN LOGO BARU, CAWANGAN MODEL DAN
PUSAT MIKRO KEWANGAN ZON UTARA
BANK SIMPANAN NASIONAL


UCAPAN

YB TAN SRI NOR MOHAMED YAKCOP
MENTERI KEWANGAN II


BAGAN AJAM, PULAU PINANG
29 SEPTEMBER 2007



Encik Tajuddin Atan
Pengurus Besar / Ketua Eksekutif
Bank Simpanan Nasional
Ahli-ahli Lembaga Pengarah BSN,
Datuk-datuk, Datin-datin
Hadirin yang dihormati sekelian,

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera

Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurniaNya, dapat kita bersama di Majlis Perasmian Logo Baru, Cawangan Model dan Pusat Mikro Kewangan Zon Utara Bank Simpanan Nasional (BSN). Saya juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak Pengurusan BSN yang telah menjemput saya untuk merasmikan Majlis  ini.

2. Bank Simpanan Nasional Malaysia telah ditubuhkan sebagai sebuah Institusi Kewangan Pembangunan untuk menumpukan kepada perbankan runcit, bertujuan menggalakan penabungan dikalangan rakyat.  Sesungguhnya, BSN mempunyai sejarah yang begitu lama. Saya difahamkan sejarah BSN telah bermula  seawal tahun 1902, dimana Bank Simpanan Pejabat Pos Negeri-negeri Selat telah wujud di Pulau Pinang, Melaka dan Singapura, manakala Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu telah mempunyai Bank Simpanan Pejabat Pos masing-masing beberapa tahun sebelum Perang Dunia yang Kedua.

3. Sejarah perkembangan Bank Simpanan Pejabat Pos memang membanggakan. Pada tahun 1949, Bank Simpanan Pejabat Pos mempunyai 230 ribu penyimpan dengan jumlah kredit sebanyak 47 juta ringgit. Pada tahun 1974, apabila Bank Simpanan Nasional Malaysia diwujudkan, bilangan penyimpan meningkat lebih lapan kali ganda kepada 2.5 juta dan jumlah pinjaman, lebih 11 kali ganda kepada 537 juta ringgit. Saya percaya banyak daripada kalangan kita yang masih ingat dengan Bank Simpanan Pejabat Pos. Pada ketika itu, bagi kebanyakan rakyat Malaysia, akaun BSN bukan sahaja merupakan akaun bank pertama tetapi juga menjadi satu kayu pengukur kesejahteraan mereka.

4. Alhamdullilah, setelah lebih tiga dekad BSN mengambil alih Bank Simpanan Pejabat Pos, BSN telah berjaya berada di landasan yang lebih kukuh. BSN kini mempunyai hampir 8 juta penyimpan dengan jumlah simpanan terkumpul sebanyak 8.3  billion ringgit. Peranan perbankan BSN juga telah bertambah luas dan, pada masa ini, menyediakan  khidmat kewangan yang lebih komprehensif serta menawarkan produk kewangan yang lebih pelbagai, termasuk perbankan Islam. Disamping itu, BSN mempunyai rangkaian cawangan yang meliputi kawasan bandar dan juga luar bandar, dengan bilangan sebanyak 375 buah cawangan.

5. Dalam konteks ini, saya ingin mengucapkan syabas kepada pihak pengurusan dan semua warga BSN yang telah menyumbang tenaga untuk memberikan perkhidmatan yang berkualiti dan lebih efisien kepada para pelanggan. Kemajuan yang dicapai  telah membolehkan BSN menyumbang kepada pertumbuhan pesat ekonomi negara dan perkembangan mantap sektor kewangan negara, khususnya,

6. BSN juga telah banyak menyumbang kepada usaha Kerajaan untuk mempertingkatkan kesejahteraan rakyat serta merangsang pembangunan ekonomi negara. Dalam Bajet 2008 yang telah dibentangkan oleh YAB Perdana Menteri baru-baru ini, dana sebanyak 50 juta ringgit telah disediakan sebagai jaminan untuk memberi kemudahan pinjaman perumahan kepada golongan berpendapatan rendah yang tidak dapat membuktikan kepada bank bahawa mereka  mempunyai pendapatan tetap. Memandangkan BSN mempunyai rangkaian cawangan pejabat yang luas di seluruh negara, ianya telah dipilih sebagai salah sebuah bank untuk melaksanakan initiatif ini. Pemilihan BSN ini juga selaras dengan usaha berterusan BSN dalam memberi akses kewangan kepada komuniti setempat tidak kira sama ada di kawasan bandar, mahupun di luar bandar. 

7. Kerajaan juga komited untuk memajukan lagi usahawan kecil dan sederhana supaya bukan sahaja memberi peluang kepada peniaga-peniaga kecil menambah sumber pendapatan mereka, bahkan juga menyumbang kepada perkembangan aktiviti ekonomi negara. Kerajaan sedar bahawa sebahagian besar daripada usahawan kecil dan sederhana, termasuk usahawan individu, menghadapi kesukaran, khususnya dari segi modal, kemahiran teknikal, jaringan perniagaan dan sebagainya. Untuk mempastikan mereka mempunyai aksesibiliti kepada pembiayaan perniagaan, Kerajaan telah menyediakan berbagai dana dalam bentuk pinjaman mudah, geran dan jaminan kredit, untuk membantu usahawan mendapatkan modal dengan lebih mudah.

8. Dalam hal ini, BSN telah memainkan peranan yang penting dalam mempastikan golongan usahawan kecil mempunyai akses kepada perkhidmatan kewangan melalui penyediaan kemudahan pinjaman Skim Kewangan Mikro. Skim ini bertujuan membantu usahawan kecil menjalankan aktiviti perniagaan. Pelancaran Pusat Mikro Kewangan Zon Utara di Bagan Ajam pada hari ini akan memudahkan golongan usahawan di Zon Utara untuk mendapatkan pinjaman di bawah Skim Kewangan Mikro BSN. Saya difahamkan  BSN akan juga menubuhkan pusat-pusat mikro kewangan, iaitu di Batu Pahat bagi Zon Selatan, Jerteh bagi Zon Timur dan juga di Sabah dan Sarawak. Saya percaya Skim ini akan dapat menambah dan melengkapkan lagi dana-dana sedia ada yang telah diwujudkan oleh Kerajaan untuk membantu perkembangan pengusaha-pengusaha kecil dan sederhana.

Hadirin sekelian,

9. Dalam kita melangkah maju kehadapan, keberkesanan BSN melaksanakan  fungsinya menjadi lebih mencabar, terutamanya dalam persekitaran dimana pelanggan telah menjadi lebih berpengetahuan dan menuntut perkhidmatan kewangan yang lebih cekap, disamping sektor perkhidmatan kewangan yang lebih kompetitif. Dalam persekitaran sebegini, tumpuan kepada membina tenaga kerja yang berpengetahuan dan mahir dalam perkhidmatan kewangan adalah penting sebagai pelaburan masa hadapan BSN.  Dalam hal ini, saya mengalu-ngalukan usaha pengurusan BSN untuk mendidik, melatih dan menggalak kakitangan untuk membangunkan potensi mereka sepenuhnya, dengan menyediakan peluang memajukan kerjaya kakitangan.
 
10. Pelancaran logo baru serta Cawangan Model di Bagan Ajam pada hari ini melambangkan kesungguhan BSN untuk meningkatkan imej dan identitinya kearah menambah baik kualiti penyampaian perkhidmatan serta memantapkan lagi kemampuan untuk memenuhi kehendak pelanggan. Saya berharap Cawangan Model ini akan diperluaskan lagi ke semua cawangan diseluruh negara.

11. Saya yakin semua warga BSN akan terus berusaha untuk memberikan perkhidmatan yang berkualiti kepada para pelanggan, dengan menumpukan kepada usaha mencapai kecekapan operasi berterusan dan meningkatkan produktiviti serta inovasi. Sebagai warga korporat yang bertanggungjawab, teruskan usaha untuk berkongsi kejayaan bersama masyarakat.

Hadirin sekelian,

12. Akhir kata, saya ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada pihak pengurusan dan semua kakitangan BSN dalam usaha mereka memantapkan lagi perananya  dan terus menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

13. Dengan ini, saya dengan sukacitanya melancarkan logo baru, Cawangan Model dan Pusat Mikro Kewangan Zon Utara Bank Simpanan Nasional.
Terima kasih.

Wabillahi Taufik Walhidayah
Wasalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatu.

Kementerian Kewangan
Putrajaya

29 September 2007

Terakhir Dikemaskini Isnin, 13 Februari 2012 11:35
 

Paparan terbaik menggunakan pelayar Mozilla Firefox 3.6 dan Internet Explorer 8.0 dengan resolusi skrin 1024x768.
Anda memerlukan perisian Adobe Flash Player   dan Adobe Acrobat Reader untuk paparan sesetengah aplikasi di portal ini.
Hak Cipta © 2011, MOF. Hakcipta Terpelihara
Dibangun dan disenggarakan oleh Bahagian Pengurusan Teknologi Maklumat, Perbendaharaan Malaysia.


logo